Monday, January 14, 2013

Sukarnya Menjadi Seorang 'Aku'

Seronok mendengar pengalaman rakan-rakan sekelas. Mereka tidak lokek berkongsi malah bersemangat untuk bercerita tentang pengalaman masing-masing. Aku?

Aku sebenarnya berdoa agar guruku dihadapan tidak perasan yang aku tidak mengangkat tangan untuk perkongsian. Biarlah mereka sahaja yang bercerita. Usah pedulikan aku di ceruk ini.
Seorang sahabiah bercerita tentang bagaimana dia mendidik anak perempuannya untuk mengenakan 'hijab'. Dia memberikan 'makna' tentang hijab, kecantikan dan kewajaran untuk berhijab. Tetapi apa-apa pun dia serahkan pilihan itu kepada anaknya untuk memilih kerana padanya biarlah ia datang dari hati yang ikhlas kerana Allah. Yang menariknya, dua hari selepas peritiwa 9/11, anaknya yang baru berusia 10 tahun bertekad untuk menyarungkan hijab kerana dia mahu dikenali sebagai seorang Muslim. Sangat menakjubkan. Aku terkesan.


Semua orang diberikan pilihan. Tetapi tidak untuk aku.

Dalam pada aku tidak mahu disedari oleh orang lain untuk bercerita tentang pengalaman aku berhijab, rupa-rupanya guruku di hadapan perasan. Dia lantas melihat aku yang seakan-akan cuba mengelak.

"Bagaimana dengan kamu."

Aku menjadi serba salah. Tidak tahu di mana hendak dimulakan. Aku tidak mahu kerana aku...berputar ligat fikirku untuk memulakannya.

***
Ibuku memakaikan hijab seawal usiaku sepuluh tahun. ""Ibu! Kenapa saya harus pakai benda ini." Tanyaku. "Ini Amerika, dari sekarang kamu harus mengenakan hijab." Ibu menyematkan pin ditudung agar rapi. Aku tidak membantah.

Hatiku membentak rungut kerana aku harus berhijab setiap masa di luar rumah. "Aduh! Rimasnya."

Pernah terjadi perkara yang selama ini aku tidak mahu ianya berlaku. Sewaktu aku berada di Gred lima. Ada mata yang memandang pelik ke arahku. Seorang budak lelaki bertanya kepadaku. "Kenapa engkau pakai benda ini." Aku tiada jawapan untuk itu. Aku mula rimas.

Sewaktu rehat, rakan-rakanku bermain bola di padang. Suhunya panas dan pastinya peluh bakal meleleh. Aku juga tidak ketinggalan. Tidak semena-mena, seorang budak menjerit kepadaku, "Boleh tak kau tanggalkan benda itu, bau peluh kau tu busuk." Kemudian dia berlari kepada rakan-rakanku yang lain. Dia menggelarku 'Raksasa Busuk'. Tidak terkira aku menahan kebengangan.

Sewaktu pulang ke rumah, lekas aku menyoal kepada ibuku. "Ibu! Kenapa saya perlu memakai hijab."

Ibu tenang menjawab. "Kamu memakainya kerana itu suruhan Allah dan ia akan membuatkanNya  gembira."

Apa? Dek kerana sehelai kain yang menutupi kepalaku ini, sudah cukup membuatkan Allah gembira. Aku berpeluh meleleh-leleh sehingga baunya seakan khinzir, ini yang membuatkan Allah gembira? Berontak hatiku.

"Ibu...boleh tak kalau saya tidak pakai ini." Dua tanganku menarik-narik hijab yang dipakai.

Nada suara ibuku bertukar. "TIDAK! Kamu nak masuk neraka? Kalau kamu tidak patuh perintah Allah, neraka tempatnya." Herdik ibuku. Aku langsung tidak memahami kata-kata ibuku. Siapa yang hendak masuk neraka? Semenjak dari itu aku tidak pernah membangkitkannya lagi.

Peristiwa itu membuatkan aku kreatif. Di hadapan ibu, aku berlagak seperti malaikat dibelakangnya aku bertindak nekad. Katakan TIDAK pada hijab. Aku mula menyalahkan hijab sebagai punca masalah. Benci betul aku dengan benda ini.

BOOOOOOM! Bunyi satu letupan yang sangat kuat, siren kereta bomba kedengaran, hiruk-pikuk suara manusia kecemasan, seakan mahu menyelamatkan diri. Ketika itu aku di dalam kelas Pengajian  Sosial. Kelihatan rasa cemas pada wajah guruku. Dia bertindak mengarahkan kami keluar dan kami semua berderu menuju ke gym. Masing-masing dengan muka penuh pertanyaan.

"Menara berkembar dilanggar kapal terbang, Washington juga diserang." Jerit seorang budak lelaki.

"Oh tidak! Pentagon diserang. Ayah aku bekerja di bangunan itu." Seorang budak perempuan mula merintih.

Kejadian sebelas September memberikan impak mendalam kepada semua. Termasuklah aku.

Bermulalah hari-hari yang sukar kepadaku. Memakai hijab menjadi satu petanda buruk. Kelihatan mata-mata yang melirik tidak puas hati, mereka berbisik sesama mereka. Entah bagaimana, tanpa aku sedari datang seorang budak lelaki menerajang bukuku. Habis semua bertebaran ke lantai. " Engkau Muslim, ini semua kerja puak-puak engkau...engkau anak Osama Laden." Dia meludah ke arahku. Aku menunduk geram.

Peperangan Teluk juga tidak merungkai masalah.

"Hei! Anak Saddam Hussein, nyah kau dari sini." Jerit mereka. Aku tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Aku semakin pasti kenapa ini terjadi. Ini semua angkara hijab. Aku semakin membenci hijab. Hijablah yang telah menyebabkan mereka mengenaliku sebagai Muslim. Aku tidak mahu mendengar kata-kata nista dan cacian ini lagi. Semenjak itu, aku nekad untuk menanggal terus hijab tanpa pengetahuan ibubapaku.

Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Sangkaku tiada masalah yang akan aku hadapi, rupa-rupanya ibu mengetahui.

"Cuba kamu cakap jujur, betulkah kamu menanggalkan hijab kamu?" Ibu berang dan ditangannya  menggengam sebatang besi. Aku tahu ia akan membaham badanku jika aku mengaku dan mengetahui kehidupan dwi alamku. Aku menipu ibu. Lega. Aku terlepas.

Keadaan menjadi semakin merumitkan. Ibu memasang 'mata-mata' untuk memastikan aku terus berhijab sepanjang waktu persekolahanku. Aku pasrah. Aku tidak ada pilihan. Setiap hari aku memandang ke cermin pasti aku akan melihat seorang budak perempuan hodoh, kehilangan arah dan kecewa di hadapanku. Itulh AKU.

Ia berterusan sehingga ke kehidupan kampusku. Aku masih berdwi alam. Kadang-kadang aku pakai dan terkadang tidak. Banyak soalan yang menyerabuti fikiranku. Aku mengalami konflik diri. Siapa aku? Adakah aku gadis yang berhijab? Atau kedua-duanya? Sukar untuk mencari jawapan yang mantap.

Cuti musim panas bermula. Aku bermimpi. Aku menjejakkan kaki ke syurga di kelilingi bintang-bintang yang bersinar. Ada satu tenaga luarbiasa menguasaiku. Aura yang sangat bertenaga, terlalu berkuasa sehingga aku tersedar dalam kedinginan peluh dan menggigil.

Lewat tengah malam yang tenang. Aku membasahkan mukaku dengan wuduk. Bening airnya enak membasahi anggota tangan, dahi dan kakiku. Aku menunaikan solat sunat dua rakaat. Aku panjatkan doa ke hadrat Illahi. Doa yang mengubah fitrah hidupku tanpa diduga.

"Ya Allah. Jika benar engkau wujud, berilah aku petunjuk. Jika Engkau Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, bimbinglah diriku. Aku tahu aku banyak berbuat dosa dan mungkin akan Kau jerumuskan aku ke lembah neraka. Sepanjang hidupku penuh dengan penipuan dan aku selayaknya dicampakkan ke nerakaMu, tetapi aku percaya yang aku punya pencipta yang Maha Pengampun dan tidak mungkin aku diabai sebegitu rupa. Bimbinglah aku ke jalanMu yang benar Ya Allah. Pupuklah hatiku ke jalan yang engkau redhai agar aku bisa memilih sesuatu yang tepat. Tuntunilah daku untuk mendekatiMu. Tunjukkanlah diriMu kerana aku tidak mengetahui dan tidak mengenaliMu. Ya Allah, bantulah hambamu ini." Teresak-esak aku menadah doa, doa yang entahkan didengar entahkan tidak. Aku menunduk malu penuh berserah.

Keesokkan harinya, aku membuka al Quran. Subhanallah, aku didorong ke helaian yang berbunyi 'Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka menutup jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.' (al Ahzab:59)

Benarlah Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dari saat itu aku memulakan hidup baru. Tiada lagi dwi alam. Berhijab bukan kerana ibuku. Bukan juga kerana masyarakat. Aku ikhlas kerana Allah. Baruku sedar akan kecantikannya. Aku benar-benar berasa aku adalah hambaNya.

***

Aku menoktahkan kisahku kepada khalayak. Aku khuatir dengan persepsi sekelilingku. Kelas senyap seketika. Guruku akhirnya memecah kesunyian. "Adakah ia pilihan yang sukar untuk awak?"

"Ya, ia adalah pilihan yang paling sukar dalam sejarah hidup saya." Aku menggeletar tika menjawab.

Guruku tersenyum dan memberikan respon. "Saya sangat teruja dengan kejujuran awak. Memakai hijab menyelusuri pelbagai akibat amat memeritkan, saya sungguh kagum dengan pilihan awak. Saya sangat berterima kasih atas perkongsian."

Kelas bersurai dengan perasaan lega didada. Kini aku meniti hari demi hari dengan penuh rasa syukur kerana aku diberi pilihan dan aku telah membuat pilihan yang tepat.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

*Kisah ini diambil daripada pojok yang bertajuk The secret double life of a hijabi di laman sesawang www.suhaibwebb.com. Kredit kepada penulisnya Yeasmines.









 



  
 


No comments:

Post a Comment