Sunday, November 18, 2012

Palestin Menangis Lagi...

Bezanya tangis kanak-kanak di Palestin dengan kanak-kanak di dakapan kita
"Saudaraku, bolehkah singgah ke rumahku sebentar, sebelum kita bersama menuju ke medan pertempuran?" Suhaib mengajakku.

Aku menjadi serba salah kerana keadaan sangat meruncing dek bedilan mortar di sana-sini. Tetapi apa aku boleh buat, aku hanya merakam situasi, jika tidak kerana Suhaib aku tidak tahu ke mana arah hendak dituju.

"Baiklah." Jawabku.

Kami menyelusuri lorong kecil di celah-celah bangunan untuk sampai ke rumah Suhaib. Lorong yang gelap gelita, hanya berpandu kepada lampu handphone Suhaib. Aku mengikut gerakan Suhaib, berlari perlahan sambil membongkok.

Menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke rumah Suhaib. Tidak mengetahui tingkat berapa rumahnya, aku hanya mengekori.

Terasa lelah.

Kelihatan keluarganya sedang berkumpul di ruang tamu seperti sedang bersiap sedia menerima arahan daripadanya untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Saudaraku, sila tunggu di sini dahulu, aku ingin meninggalkan pesanan kepada keluargaku sebentar." Aku menunggu di pintu luar rumahnya untuk beberapa ketika.

Masih terdengar bedilan bom ke arah kanan telingaku, seperti tidak jauh dari kawasan tempat tinggal ini. Dada terasa berdebar-debar, aku sempat mengambil foto dan merakamkan kawasan persekitaran dengan suaraku yang agak sedikit bergetar. Aku hanya bergantung kepada viewcam jenama Sharpku. Baterinya masih penuh.

"Janganlah jadi apa-apa pada veiwcam ini."Monologku.

Lima minit kemudian, Suhaib keluar.

"Baba...baba." Anak kecil keluar berteriak menangis seakan ingin mengekori. "Baba...baba." Diulangi teriakan tadi. Kira-kira umurnya dalam lingkungan empat atau lima tahun. "Wahai Baba Mus'ab, berilah kucupan lagi kepada anak kita ini agar mudah lenanya kelak." Wanita berkerudung hitam litup memanggil Suhaib bagi meredakan tangis anaknya yang comel.
Suhaib kembali ke pintu rumah. Aku sekadar menyaksi.

"Ya Mus'ab, kamu kini sudah besar...bantu ibumu, dengar katanya...usah nakal-nakal, baba pergi sebentar sahaja, hal baba ini lebih penting...cuma untuk malam ini mungkin insyaallah." Suhaib memberi semangat kepada Mus'ab sambil mengesat air mata Mus'ab yang brcucuran lalu dikucup kapalanya.

Aku agak sebak kerana pemergian Suhaib banyak kebarangkaliannya.

"Wahai dinda, pelihara anak kita ini sebagaimana dinda menyayangi diri sendiri...berikanlah dia kata semangat di kala tangisnya merinduiku, usah jadikan mereka lemah dengan kemanjaan yang melalaikan...jaga juga kesihatan dan anak dalam kandunganmu ini, mereka pembela keluarga kita..."

"Andai kanda tidak kembali, kanda relakan engkau...selepas 'iddahmu, bernikahlah dengan yang lebih soleh daripadaku demi menjaga hayatmu dan anak-anak kita..." Agak bergetar suara Suhaib menitipkan ayat-ayat dibibirnya sambil menngucup kepala isterinya.

Suhaib ingin berlalu pergi tetapi tangannya ditarik erat isterinya manakala Mus'ab mendakap kukuh peha babanya, Suhaib.

Aku merakamkan detik-detik itu, bergenang kelopak mataku dengan air mata sebak...sayu.

"Kanda...mengapa kanda berkata demikian, dinda tetap percaya kanda akan kembali semula ke dakapan dinda."

"Kanda...Dinda juga ingin berpesan kepada kanda...andai berlaku apa-apa kepada dinda...dinda redhakan kanda memiliki isteri baru demi membiakkan lagi para mujahid di tanah penuh berkat ini..." Isteri Suhaib berkata sambil mencium tangan suaminya,Suhaib. Seakan masing-masing sudah mengerti istilah perpisahan yang akan mereka lalui.

Aku tidak tertahan, lelehan airmataku bercucuran lebat, turut terkesan dengan suasana yang penuh hiba. Dari sikecil, Mus'ab yang tidak henti-henti menangis hingga kepada isterinya, mereka saling berdakapan tidak dapat menahan sebak yang amat sangat, entahkan berjumpa ataupun tidak selepas ini.

"Ya Allah..." Aku hiba.

"Ayuh! Segera sahabatku." Suhaib bergegas meninggalkan keluarganya. Drama yang belum berkesudahan tetapi terpaksa ditinggalkan demi panggilan jihad.

Suhaib kelihatan mengelap airmatanya. Pastinya dia kesedihan.

"Baba...baba...baba." Mus'ab memanggil sayup, penuh dengan tangisan, aku masih sempat menangkap reaksi anak-beranak itu yang melihat kami meninggalkan perkarangan rumah mereka. Aku tidak malu menangis, seperti tidak sanggup.

*****

"Sahabatku, kawasan ini dinamakan kawasan al Rantisi,sempena nama ketua pergerakan kami, Hamas yang syahid dibedil Apache."

Aku faham. "Zionist La'natullah!!!" Aku memaki regim Zionist. Geram tidak terkira.

Kami menyusup dari lorong ke lorong, mengelak daripada dikesan pihak musuh.

"Sahabatku! berhati-hati kerana ramai yang berpakaian preman seperti kami, tetapi tidak semestinya mereka adalah sebahagian daripada kami."

"Maksudmu, mereka tali barut zionist?"

"Ya, ramai antara kami yang tertangkap adalah angkara si tali barut itu."

"Bagaimana mungkin Hamas punya ahli seperti itu?" Aku berkerut ingin tahu.

"Mereka itu munafik." Suhaib mengetap bibir, melepaskan geram yang berbuku.

Tidak sampai beberapa ketika derapan kaki kami terhenti dek letupan bom yang mengenai kenderaan di hadapan bangunan laluan kami. Sangat dekat.

Letupan yang sangat kuat, serpihan kaca kereta yang agak besar melayang terkena tepat ke kepala Suhaib. Aku juga terpelanting ke belakang dek letupan itu. 

Suhaib cedera parah, kepalanya berlelehan darah, belakang kepalanya juga berdarah akibat terhentak kuat ke bawah yang dasarnya dipenuhi bebatu kerikil kasar.

"Suhaib...Suhaib." Aku memanggil sambil menggoyang-goyangkan badannya. Aku masih mendakap keras viewcamku sungguhpun siku kananku terluka agak besar.

Amanah yang besar buat diriku untuk tatapan umat manusia di luar sana yang tidak merasai derita bumi berkat ini.

"Sahabatku, aku tidak boleh bergerak, tinggalkan aku di sini sementara aku mencari kekuatan untuk berjalan."

"Engkau cedera parah Suhaib, aku tidak sanggup meninggalkan engkau seorang diri di sini."

"Tidak...tidak sahabatku, ini sudah takdirku, aku khuatir  engkau dijejaki si pembelot tali barut kerana aku yang datangkan engkau ke sini untuk merakamkan suasana sebenar di bumi Palestin ini."

Aku serba salah. "Suhaib, engkau cedera parah, aku sanggup berdepan risiko untuk engkau sahabatku...engkau Suhaib...lihat kaca ini, mari aku perlahan-lahan keluarkannya...agak dalam Suhaib."

Aku baru terasa yang kaki kananku tidak dapat digerakkan. "Parah ini, aku tidak dapat bergerak."

Aku mengengsot-engsotkan badanku merapati Suhaib. "Suhaib! Bertahan Suhaib, aku tidak mahu kehilangan engkau...aku tidak tahu selok-belok kawasan ini...Suhaib! Bangun Suhaib."

Aku juga kesakitan. Viewcam masih ditangan, masih boleh merakam.

Aku memangku kepala Suhaib yang berlumuran darah yang amat banyak. Aku pun tidak sanggup melihatnya.

"Sahabatku, rakamlah kata-kata akhir aku ini...beritahulah kepada saudara-saudara di tanahairmu, kami tidak pernah meminta belas kasihan kamu semua, kami tidak meminta harta benda kamu semua dan kami juga tidak minta tenaga belia mudamu untuk perjuangan ini..."

"Cukup sekadar doakan kami di setiap solat kalian agar kami sentiasa dirahmati Allah dalam perjuangan ini dan jangan pernah sekali kamu berkomplot untuk membunuh kami...kamu pasti tidak tertahan dengan seksaan yang kami lalui selama ini...doakanlah kami..."

"Suhaib!...Suhaib!...bangun Suhaib, bangun...Ya Allah, bantulah saudara kami di bumi Palestin ini ya Allah...kami merayu kepadaMu ya Allah..." Aku seakan meraung-raung meminta pertolongan tanpa aku sedari.

Aku menangis melihat mayat Suhaib, tidak dapat aku uruskan dalam keadaan yang sempurna.

Aku tidak malu menangis meraung-raung seperti teriakan kanak-kanak.

Sejenak kemudian kedangaran bunyi derapan kasut menuju ke arah aku dan Suhaib. Mereka membawa Sniper. Mereka berpakaian preman.


Aku pula seperti tidak bermaya, kelihatan gelap pandanganku. Antara sedar dan tidak sedar.

"Oh! Engkaulah wartawan yang berani datang ke kawasan hitam ini, berikan viewcam itu."

Aku tidak bermaya untuk menahan. Tanganku longlai.

"Sudah banyak yang engkau rakam, mari sini aku jadikan engkau seperti sahabat engkau di sebelah."

Mereka menggunakan belakang sniper menghentak kepalaku sekuat-kuatnya. Aku tidak tertahan untuk  menahan, juga aku tidak terdaya hendak melawan.

Badanku ditendang sepuas-puasnya, ibarat menendang guni padi yang tidak berharga. Tanganku terasa titikan darah yang jatuh dari kepalaku.

Bibirku terasa tebal seperti disengat lebah hutan dek tumbukan bertalu-talu.

Mereka meneruskan penyeksaan terhadapku sehingga aku berasa pandanganku menjadi gelap gelita. 

*****

Terasa sejuk air disapukan ke mukaku. Diraupnya  perlahan-lahan.

"Ridhwan! Ridhwan...kamu kenapa Ridhwan." Ibu Che Read memanggil.

Aku tersentak.

"Astaghfirullahal 'adzim..."

"Kamu kenapa Ridhwan, risau ibu dibuatnya...tidak pernah-pernah kamu begini...menangis meminta tolong" Ibu risau.

" Ya Allah ibu, saya bermimpi rupanya ibu."

"Kamu basuh kaki tidak sebelum tidur, sudah baca doa?"

"Ya Allah...tidak mengapa ibu, saya ke bilik air ambil wudhuk."

"Sudah, ibu masuk tidur dulu, pagi lagi ini, kamu bawa berehat dulu ya."

Che Read mengangguk. "Terima kasih ibu."

Che Read meraup mukanya dan masih terkenang mimpi yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini. "Mungkin terlalu banyak tekanan kerja di pejabat atau mungkin banyak menonton berita Palestin baru-baru ini" Fikir Che Read.

Seusai wudhuk, dia terus menyempurnakan solat sunat dua rakaat lantas memanjatkan doa.

 "Ya Allah al Rahman...bantulah umat Islam Gaza yang ditindas. Hatiku sangat pilu kerana kami terdiri dari kalangan umatmu yang pengecut. Aku berasa sangat malu melihatkan umatMu di segenap pelosok dunia hidup dengan keselesaan hingga kami menjadi terlupa akan sejarah peperangan  Badar, Uhud dan pesanan dari khalifah Umar al Khattab r.a yang memberitahu adakah Allah & Nabi Muhammad SAW menyuruh kami untuk duduk dan menonton sahaja seperti seorang pengecut?... Engkau memerintahkan kami berjuang demi maruah Islam apabila kafir menyerang...Ya Allah berilah kami kekuatan untuk bekerja untuk agamaMu dan jauhkanlah dunia ini daripada pertumpahan darah... "




Azhan Rashid
Amman, Jordan







No comments:

Post a Comment