Friday, June 14, 2013

Pergolakan Turki: Sisipan Pandangan

Foto yang menjadi kemarahan ramai
Hampir setiap malam semenjak seminggu lepas, saluran CNN hangat memaparkan suasana gawat di Turki khususnya di Taksim Square. Ramai yang ditemuramah. Dari yang berkepentingan hinggalah mereka yang  baru pertama kali terlibat dengan demonstrasi.

"Ini pengalaman pertama saya berlawan dengan polis, saya tidak pernah melaluinya sebelum ini, sangat mengerikan." Ujar salah seorang demonstrator kepada wartawan CNN.

Kadang-kadang diulang-ulang siarannya sehingga muak menonton. Jemu.


Kenapa Boleh Berlaku?

Daripada dapatan pendapat dan pandangan yang ditemuduga, isunya seperti diperbesar-besarkan. Isunya, Taksim Square yang hendak di robohkan dan akta larangan minuman alkohol.

Ada juga pendapat yang mengatakan penggunaan perkataan yang agak religius oleh Erdogan juga menyebabkan demonstrasi itu berlaku.

Mereka (Rakyat Turki) hendakkan kebebasan pendapat dan bersuara. Mereka kini bagai di dalam penjara. Konon anggapan mereka.

Dimaklumkan, pada peringkat awal, demonstrator hanya dalam kelompok 200 orang sahaja tetapi apabila pihak polis bertindak ganas kepada mereka (demonstrator), maka berita ini berkembang biak di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Kelompok yang tidak berpuas hati semakin bertambah.

Masakan tidak, pejalan kaki wanita yang hanya berjalan melintasi juga disembur gas pemedih mata.

Rakyat bangkit menyokong demonstrasi menolak keganasan polis.

Jadi kelompok-kelompok demonstrator ini terpecah kepada beberapa puak. Ramainya mereka pada pelbagai latar sumber maklumat.

Ada yang tidak berpuas hati tentang plan Taksim Square dan larangan alkohol.

Ada yang tidak puas hati tentang kebebasan bersuara.

Dan, ada yang tidak berpuas hati dengan keganasan pihak polis.

Ahkirnya, mereka sepakat mengatakan Erdogan perlu meletak jawatan.

Kelompok pemerintah berkata, wujud kumpulan marginal (marginal group), atau kelompok kecil yang sengaja membuat onar dan disokong senyap-senyap oleh pihak pembangkang. Mereka (kerajaan Turki) tidak mahu berkompromi.

Sehingga kini, solusi aman yang sedang berlangsung adalah pertemuan 'dua mata' oleh pihak terbabit untuk merungkai ketegangan.

Sisipan Pandangan

Secara umumnya, Erdogan adalah imej Perdana Menteri yang bersih, yang baik dan yang berkebajikan.

Konsep kesederhanaan dalam menerap nilai-nilai murni ke dalam masyarakat sekular sangat berhikmah. Sehingga Mesir berusaha mengambil nilai-nilai itu untuk pembangunan mereka setelah jatuhnya pemimpin diktator mereka, Hosni Mubarak.

Kuasa Erdogan selaku Perdana Menteri Turki sangat luas, tiada batasan.

Nilai yang cuba diterapkan kepada masyarakat tampak cantik. Tidak mahu golongan muda yang majoriti itu lalai dengan hiburan. Dia ingin mengembalikan golongan ini kepada asal kejadian iaitu nilai seorang muslim.

Erdogan tidak meletakkan perkataan 'HARAM' kepada penggunaan alkohol tetapi dia meggunapakai akta dunia yang turut diguna pakai di negara-negara salib iaitu benua Eropah.

Ternyata benua Eropah juga gusar dengan para penagih alkohol yang terhoyong-hayang mengganggu ketenteraman awam. Mereka juga mengenakan peraturan dan hukuman. Turki sangat berhemah dalam hal ini.

Penggunaan 'morning-after pill' juga diperketatkan, cukup sekadar menurut preskripsi doktor. Turki ingin mewariskan kerajaan kepada generasi yang sihat bukannya generasi ketagih.

Isu Taksim Square yang hendak distruktur semula juga digembar-gemburkan untuk menghalang golongan muda bersosial.

Begitulah negara corakan si Mustafa Attaturk. Bertapaknya sekular sehingga sukar menilai erti kebaikan. Asal ia tepat mengikut perkiraan fikiran, maka ia tidak boleh ditentang. Hatta, ajaran agama sekalipun.

Sayang Turki yang indah, yang menjadi perbualan ramai melalui kegetiran seperti ini. Ramai yang hendak pergi melawat Turki yang permai dan terkenal dengan bumi konstantinopelnya ditambah lagi dengan pemimpin yang berjiwa Islam sederhana dan progresif.

Prinsip kesederhanaan yang diterapkan begitu manis. Ramai yang suka. Barat cemburu. Israel dengki. Jujur, penulis takut dengan pergolakan yang ada ini bertukar kepada kejatuhan Turki yang sedia ada.

Hanya doa sahaja yang ampuh menjadi senjata, menanti pertolonganNya agar damai menjelang dan pergolakan berakhir dengan aman.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

*Penulis menilai perkembangan Turki berdasarkan khabar dari Saluran CNN dan dapatan informasi dari laman sesawang yang berkaitan. Sebarang ketidaktepatan adalah kelemahan penulis.
















No comments:

Post a Comment