Thursday, October 30, 2014

Sedetik Aku MengingatiNya...

Sejak akhir-akhir ini aku banyak berfikir tentang perjalanan hidup. Bukan dulu aku mengabaikannya, tidak, tapi mungkin faktor kematangan, ia mengheret aku merenungkannya, bukan sekadar berfikir bahkan lebih dari itu.

Percaya atau tidak, hanya kini aku merasa nikmat kalimah La yukallifullahu nafsan illa wus'aha (al Baqarah:286), "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Ia menyelinap ke segenap alir darahku hingga aku benar-benar sedar, "Oh! Inilah jalan yang telah ditentukan."

Jika dicerita, ia seakan 'complicated', ada yang tekun mendengar, tidak kurang juga dengan yang ambil endah tak endah. Inilah situasi-situasi yang aku depani. Oleh sebab keacapan perkara itu berlaku, aku akan sentiasa meringkaskannya, cukup sekadar mereka tahu yang aku mengendung tanggungjawab dua orang anak yang besarku di sini, Malaysia, dan isteriku memikul tiga orang yang tengah hingga ke si kecil di bumi Syam, Jordan. Kenapa? Urusan belajar. Jika dicerita berlebihan, mereka akan hilang tumpuan kerana panjang berjela untuk disampaikan.

***

Isteriku menerima surat tawaran daripada University of Jordan, Jordan untuk menyambung pengajiannya di sana.Kami memang belum pernah keluar daripada Malaysia. Rasa teruja, gembira, cemas semuanya ada. Walaupun ia adalah pilihan kedua, tetapi ia tetap mengujakan. Berperantauan ke bumi yang asing, berhampiran negara-negara yang bergolak, semestinya punya perasaan yang bercampur baur.

"Belajar dekat dalam saja tak bolehkah?" Luah ibuku sewaktu mengkhabarkan berita itu. Gusar.

"Pengalaman mak." Aku mengendurkan kerisauan ibuku. Pasti dia risau, manakan tidak cerita dipaparan televisyen sudah cukup membuatkan naluri si ibu demikian. Tapi apakan daya, dia bukan pembuat keputusan.

Aku menumpang gembira kerana cita-cita isteriku untuk berkelana ilmu tercapai. Tidak ada yang boleh dibekalkan selain sokongan untuk terus ke hadapan.

Bait-bait syair Imam Syafie, "Berdiam diri, stagnan dan menetap di tempat mukim sejatinya bukanlah perisytiharatan bagi pemilik akal dan adab, maka berkelanalah, tinggalkan negerimu (demi menuntut ilmu dan kemuliaan).

Inilah kata-kata yang dilagu-lagukan isteriku, entah mungkin untuk meredakan hati yang bercampur-baur barangkali, sambil-sambil menguatkan keyakinan diri.

Aku biasa, walau hati agak gementar dek tempat yang hendak dijejak bukan tempat yang biasa-biasa.

Cita-cita ke Leeds terpaksa dilupakan, tiada keperluan untuk pengajian Islam ke sana, bukan subjek kritikal. Itulah alasan yang diberitahu isteriku, tawaran Leeds disampulsuratkan semula. Aku pun pernah berkira-kira jika ke Leeds, mungkin panjang langkahku. Dari sudut bahasanya, peluang-peluang yang boleh diteroka dan sebagainya.Tapi apakan daya, itulah kehendak Tuhan. Dia Maha Tahu akan titik kesudahan.

Kini kami mula merancang.

***

Detik-detik berkelana ini adalah debaran yang agak menggusarkan dek kerana isteriku juga sedang hamil dan pada masa yang sama akan berpergian dengan pengangkutan udara. Kami menyemak peraturan yang boleh menghalang kami daripada menaiki kapal terbang dalam keadaan hamil. Isteriku mengira bulan kehamilannya. Puas di'google' untuk mencari dan menambah maklumat.

Kegusaran ini ditambah lagi dengan peristiwa kehamilan isteriku dalam keadaan dia harus berpantang untuk tidak hamil dalam jangka masa tiga bulan selepas pemgambilan suntikan rubella.

Ini bermaksud isteriku hamil dalam keadaan dia tidak dibenarkan hamil kerana suntikan rubella.

'Rubella?" Soalku.

"Hari itu, waktu hantar awfa ke klinik kesihatan, misi ada offer untuk suntikan rubella." Terang isteriku.

"Una kata suntikan ini sudah diambil waktu sekolah dulu, tapi misi itu  kata itu dah lama. Entah, lepas itu lembut hati pula hendak mengambilnya."

"Ada kesan apa-apakah?" Tanyaku ingin tahu.

"Dia kata dilarang untuk hamil sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan ini." Perasaan aku mula bercampur-baur, kepalaku mula 'berangin' mendengarnya.

Aku senyap. Isteriku perasan. Dia tahu aku tidak selesa dengan keadaan ini. "Isteriku hamil dalam tempoh pantang untuk hamil? Apa ini?" Monologku.

"Macam mana bang?" Tanya isteriku. Aku keluar dari bilik untuk ke ruang tamu. Cuba menenangkan diri. Aku duduk di sofa. Isteriku mendekati.

Dalam keadaan yang kurang senang, aku cuba mengawal, "Apa kesan kalau hamil dalam tempoh-tempoh kritikal ini?"

Riak muka isteriku juga tidak enak, dia juga khuatir apa yang akan berlaku kepada kandungannya. "Nantilah Una tanya kak long." Kebetulan keluarga sebelah isteriku punya kakak yang berprofesyen seorang doktor.
 
Aku seorang yang 'angin'. Perlu mencari waktu sela untuk meredakan. Cuma mungkin kekurangan ini aku dapat kenalpasti sebab itu aku harus mengawal diri. Isteriku sudah lali.
 
Aku tidak mahu melepaskan marah dengan menaikkan suara kerana pada pandangan aku itu hanya membodohkan diri sendiri, aku cuma perlu sedikit masa. Ini perkara yang menguji jiwa dan emosi.
 
Isteriku memberitahu bahawa kandungan itu barangkali akan cacat disebabkan dos yang tinggi dalam pengambilan suntikan rubella. Itu lewat jawapan kakak iparku kepada isteriku. Dia mencadangkan agar kami pergi ke klinik berdekatan untuk mengambil ubat gugur.
 
"Ya Allah, apakah semua ini." Terpinar sebentar aku dengan gesaan itu.
 
Aku perlukan masa untuk berfikir. Kandungan sudah ada, tetapi harus menggugurkannya. Aku belum boleh hadam dengan kerenah ini.
 
Kupinta tempoh sampai esok untuk ketemukan solusi. Mujur fikirku masih ingatkan Yang Esa, tidak melulu membuta tuli, menghambur kata-kata yang tidak masuk akal. Bersyukur aku kerana masih punya si Dia tempat untukku melepaskan rasa hati yang hakiki.
 
Bukan soal aku sendiri dan isteri. Bahkan ini soal hidup mati. Kandungan yang dikurnia, digesa untuk dibuang, mati. Oh! Aku belum tergamak untuk bertindak semudah itu. Aku perlu menyendiri denganNya, Illahi.
 
...bersambung
 
 
Ibn Senawi
Seri Iskandar, Perak
 
 







 


2 comments:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete