Thursday, February 14, 2013

Cinta Kopiah Dan Tudung Labuh

Puan Kamariah, ibu Ridhwan menyiapkan hidangan makan malam di dapur. Malam ini dia lapang. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, lewat tengah malam baru sampai ke rumah. Itulah gaya seorang wanita berjawatan. Apatah lagi jawatannya adalah jawatan yang berkepentingan kepartian.

Ridhwan ada meluahkan kebimbangan kepada ibunya. Tetapi ibunya tidak mengambil endah.

"Ibu! Ibu itu perempuan. Tinggal pula keseorangan di rumah yang besar begini. Wan bimbanglah ibu."

"Usah kamu risau, ibu ada pembantu setiap kali ibu keluar. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan."

"Zaman sekarang ini ibu, semuanya ada kemungkinan. Cukuplah arwah ayah sahaja yang terlibat dengan politik."

Ibunya buat dengar tidak dengar. Acuh tidak acuh.


"Ridhwan? Mari makan. Sudah lewat ini."

Ridhwan tersedar dari lamunan. Dia yang tadi sedang asyik menonton, berdiri mengeliat membetulkan urat-urat badan sambil menuju ke arah suara panggilan, ibunya, di dapur.

"Makan Wan." Pelawa ibunya.

"Wah! Lauk kegemaran." Ridhwan tersenyum lebar menatap hidangan santapan. "Special Ibu."

"Sesekali kamu pulang, ibu tempah dengan Mak Tipah ikan senangin di pasar pagi tadi, takut habis. Susah hendak cari, kalau ada pun mahal. Mujur ada."

Ibu memang amat mengerti kegemarannya. Dimasak pula asam pedas daun kesum. Terliur Ridhwan dibuatnya. Naluri ibu, sering memahami.

"Kebetulan ibu tidak ada appointment hari ini, bolehlah masakkan untuk kamu. Lepas ini carikan ibu menantu yang boleh masak macam ini...senang, boleh gantikan ibu di dapur ini." Ibu seakan memberikan isyarat dan syarat tidak rasmi. Tetapi masih tidak jelas.

"Manalah larat ibu...kena uji masakan setiap calon yang adakah, maksud ibu."

"Ya, kalau perlu. Sebab itu adalah salah satu faktor suami tidak lari. Kalau nasibnya baik, suami ke restoran saja, nasib tidak baik, suami berpaling, cari yang lain." Ibunya memberikan nasihat padat.

"Ishh! Ibu ini. Macam itu sekali. InsyaAllah ibu, anak ibu ini tidak begitu."

"Jangan cuba nafi-nafi. Inilah kes yang banyak di mahkamah sekarang. Kesnya nampak kecil, tapi impaknya sampai berpatah arang. Masa memilih dulu tidak difikir habis-habis. Akhirnya memalukan diri, nama keluarga dicaci-maki." Ibu lancar bertutur, memang gaya orang politik. Ridhwan patuh mendengar. Sabar.

"Laparlah ibu...Allahumma..." Ridhwan memotong ceramah ibunya.

Tekun Ridhwan mencubit isi ikan senangin kegemarannya. Manis isinya. Pedas. Secukup rasa.

Sambil ibunya menuangkan air masak ke gelas. "Kalau di tempat kamu tiada calon yang kamu berkenan, ibu ada calon cadangan. Anaknya Datin Safiah."

Ridhwan tersedak mendengar cadangan ibu. "Ibu...air ibu...alhamdulillah..lega."

"Makan jangan gelojoh sangat. Itu yang tersedak."

"Empat puluh kali kunyah ini ibu, baru Ridhwan telan. Sudah hendak tersedak, hendak dibuat bagaimana." Ridhwan menafi dia gelojoh. Sedikit berseloroh.

"Dia baru balik dari Amerika, pandai masak, cakap sahaja jenis masakan, eastern...western, semua boleh."

"Ibu, masakan itu sahaja ukuran untuk jadi calon menantu ibu."

"Maksud kamu?"

"Bagaimana dengan akhlaknya, cukupkah solat wajibnya, fahamkah agama?" Ridhwan tegas dalam lembut.

"Sedari kecil bersekolah agama, masakan tidak tahu."

"Tahu dengan amal, lain ibu."

"Ibu percaya dia taat agama, kalau kamu hendak ibu boleh temukan...mahu?"

Terasa tindak balas adrenalina bergerak pantas. Tidak diketahui kenapa. "Eh! Ibu...jangan dulu."

"Sudah kamu terlalu banyak soalan, tengoklah terus...depan mata, baru tahu berkenan atau tidak." Seperti melepaskan geram dengan kerenah Ridhwan.

"Wan hanya ingin beramal dengan ilmu yang ada. Walau ada rupa, pangkat dan harta, agama tetap pilihan utama."

"Habis, kalau sudah ada semuanya, kamu hendak menolak?"

Ridhwan gamam. Rentak kata kaku. Aliran darah bagai laju mengalir laju di kepala, berfikir sesuatu.

"Ibu macam sudah putuskan untuk satukan Wan dengan dia saja."

"Ibu kenal keluarganya dan ibu berkenan..."

"Tudungnya labuhkah ibu?"

Ibunya pula tergumam. "Tolong capaikan ibu air itu." Jari telunjuknya menuding ke arah air masak di dalam gelas di tepi meja bersebelahan Ridhwan.

"Ridhwan, cuba kamu beritahu ibu, apa bezanya bertudung biasa dengan bertudung labuh itu."  Baru selesa ibunya menelan.

"Syariah compliance-lah ibu." Lirih si Ridhwan.

"Apa?" Sedikit meninggi dek tidak dapat mendengar kata-kata Ridhwan.

"Satu ikut syarak, satu lagi tidak."

"Habis tudung macam ibu ini tidak ikut syarak, begitu maksud kamu?"

Bagai tersekak tulang. Ridhwan terdiam.

***

Subjek Fizik hari ini, Cikgu Kalsum tiada. Ada mesyuarat ketua-ketua panitia kawasan. Kelas di arahkan ke perpustakaan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Dua masa senggang.

Hampir usai tugasan. "Dani! Engkau tengok sana." Suruh Anas.

Dani terpinga-pinga. "Tengok apa?"

"Dia..."

Mata Danial statik seketika. Dipandang semula Anas. "Engkau jangan buat perangai lama."

Anas menggeleng. Tanda nafi. "Tidak...aku hendak minta komen engkau. Kalau kau tidak tengok, hendak komen macam mana?"

"Komen apa?" Tanya Danial.

"Cantik?"

Danial mengangguk. Tersipu.

"Agak-agaknya, sudikah engkau kalau dia jadi kekasih." Anas serius.

"Ini bukan fizik."

"Jawab sajalah."

"Berbekal sedikit agama yang aku ada ini, si dia bukan yang terpilih."

"Kenapa?"

"Tidak senang hidup. Takut cemburu. banyak sangat mata memandang."

"Kalau dia bertudung?"

"Bertudung labuh boleh, tudung biasa, sama saja."

"Kenapa pula tudung labuh boleh, tidak tudung biasa?"

"Tudung biasa itu fesyen, tudung labuh ada agama."

"Apa bezanya?"

"Bila ada agama, bukan sahaja diri dia terjaga, suaminya serta anaknya terbela. Kalau bertudung biasa, fitnahnya hebat seperti orang yang tidak bertudung. Ditambah dengan cantik, gayanya pasti ramai terpikat. Aku tidak mahu."

"Oh! Maksud engkau sama macam ayat 26, surah an Nur inilah...(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." Anas membacakan terjemahan.


"Sempat kau tengok terjemahan?"

"Sudah siap kerja, belek-beleklah sedikit terjemahan." Anas tersenyum. "Baru aku tahu naluri sahabat aku yang seorang ini." Tersengih.

"Siapa yang tidak mahu yang terbaik." Danial bersambilan menjawab, tangan menconteng nota tugasan.

"Aku tidak kata aku sudah baik, tapi tetap berdoa hendak yang terbaik." Dia menambah.

"Betul-betul." Anas tergelak kecil melihat riak Danial, yang pastinya ia bukan main-main.

***

"Lubna!...Mbah tahu kamu orang yang pasrah. Usah khuatir, Allah menjaga orang yang suka mendampingiNya."

"Tapi Mbah, antara Farhan dan Ridhwan..." Lubna mendesir kerisauan. Mbah menyantuninya lewat malam setelah melihat Lubna seperti tidak keruan dengan lamaran Farhan dan Ridhwan.

Di ruang tamu, di bawah cahaya neon kekuningan, Lubna mendakap al Quran, cuba menyantuni jiwa yang sedang kelemahan. Mbah mampir dari arah anjung hadapan. 

"Cuba istikharah, tenangkan fikiran...yang pastinya pilihan Allah itu berkufu, si kopiah untuk si tudung labuh. Apa yang Mbah maksudkan dengan kopiah itu adalah lelaki yang baik. tudung labuh juga itu Mbah maksudkan perempuan yang baik. Begitu yang Allah aturkan. Tetapi tidak semesti ia terlepas daripada ujian. Ujian itu akan datang sesuai dengan tahap keimanan. Cuma jangan berputus harap dengan Allah al Rahman."

Lubna mengangguk. "Terima kasih Mbah."

"Lewat malam sudah ini, pergi masuk tidur. Nanti kepagian subuhnya."

"Baik Mbah."

Lubna bingkas bangun ke arah bilik. Kata-kata Mbah tadi sudah cukup baginya diperhati molek-molek.



Azhan Rashid
Amman, Jordan.        

 













No comments:

Post a Comment