Saturday, April 20, 2013

Al Kisah Emak dan Anak

Azman seorang anak yang hidup berjauhan dengan keluarganya. Anak tunggal dan yatim semenjak usianya 10 tahun. Berkat usaha perit jerih ibunya yang sanggup berjuang demi amanat suami yang tercinta, Azman berjaya disekolahkan dan dididik hingga ke menara gading. Dia berasa sungguh bertuah. Agama tidak pernah dikesampingkan. Lahirnya Azman menjadi anak yang soleh dan bertanggungjawab kepada ibu yang membesarkannya.

Ibunya tinggal berseorangan di Kampung Hujung. Menghabiskan sisa usianya dengan mengajar anak-anak kampung mengaji dan kelas fardu ain. Inilah bekalan ilmu yang digunakan hasil daripada sistem pengajian negeri yang tidak hanya memberati ilmu duniawi bahkan ukhrawi. Tiada bosan walau hidup berseorangan.

Namun ibunya Azman seorang yang sangat klasik dengan dunia politik, bersemangat kebangsaan.

Azman...walau hidup di tengah kotaraya metropolitan yang hiruk pikuk, tidak pernah melupakan untuk bertanya khabar kepada ibunya yang tercinta. Setiap minggu pasti berdering telefon, tidak pagi...pasti petang, kadang-kadang malam.


"Emak...apa khabar?" Soalan yang tidak pernah jemu-jemu ditanya setiap kali menelefon ibunya.

"Baik Man...kamu di mana ini?

"Di masjid mak, sementara tunggu solat Isyak, Man telefonlah mak."

"Macamana di sana sibukkah?"

"Kerja tidak pernah habis mak, esok kerja lagi, habiskan apa yang tidak siap." Azman tersengeh menjawab.

"Bukan kerja kamu, orang tengah sibuk hendak berpilihanraya..."

"Ooo, maksud mak ceramah politik dekat sini banyak atau tidak." Azman mengurut-urut janggutnya yang menebal sejemput, tidak menyangka ibunya bertanyakan soalan sedemikian.

"Kamu jangan terpengaruh dengan politik adu domba dalam ceramah-ceramah itu, dia orang ini tidak lain tidak bukan hendak menggugat keamanan...dah aman-aman, dia pergi buat orang keliling berserabut...ishh! Janganlah kamu terlibat Man." Ibunya seperti runsing dengan keadaan yang ada. Azman faham dengan kedudukan ibunya.

"Mak usah risau,anak mak ini ada pendirian, tidak mungkin digugat walau badai merintang." Azman berseloka dengan ibunya. Bergurau.

"Baguslah begitu Man, tenang hati mak, sejuk perut mak dengar kata-kata kamu."

"Jangan lupa pangkah barisan...sudah lama kita hidup aman Man, mustahil keamanan kekal selama ini kalau tidak kerana jasa mereka." Ibunya seperti ingin meraih undi Azman, seperti berkeyakinan yang anaknya sependirian dengannya.

Azman mengangkat kopiahnya, menggaru-garu kepalanya. Rambut yang kemas jadi berselerak. Ada yang tidak enak menurut Azman.

"Mak...yang lama atau yang baru tidak menjadi hal, jika sifat amanah itu dipegang bukan didagang." Azman berlapik dalam berkata-kata. Masih samar-samar maknanya.

"Itulah yang emak maksudkan, amanah yang sudah lama dipegang...sudah nyata didepan mata terbukti pencapaiannya, mana mungkin yang baru boleh tertanding." Ternyata ibunya juga punya kata-kata yang bertenaga. Maklumlah orang yang alert  dengan perkembangan semasa.

Akhirnya terluah juga di mulut Azman, yang dia tidak sependirian dengan ibunya.

"Maaf mak, Man rasa yang lama ini sudah terlalu bermasalah, terlalu banyak amanah yang diabaikan, demi kepentingan puak-puak mereka saja mak."

"Man! Sanggup kamu cakap begitu, lama mana kamu hidup...sampai boleh kamu permain-mainkan orang yang banyak berjasa kepada bangsa, negara dan agama?" Ibunya sedikit meninggi kepada Azman.

Jika ikut dek rasa amarah muda, mahu sahaja di balas kata-kata ibunya, tetapi dia tiada kehendak.

"Tidak apalah mak, Man tidak menghalang, pangkah sajalah mak...yang penting kita sudah menjalankan amanah...ikutlah hendak pangkah apa pun."

Azman mengendur.

"Dia orang yang sudah banyak jual tanah kepada Cina, kata kamu itu perubahan yang bagus, ishh...kamu ini belajar saja tinggi-tinggi, itu pun tidak terfikir."

Belanar Azman hendak berhujah, tetapi sekali lagi dia tiada keinginan ke arah itu. Ibu tetap ibu. Anak tetap anak, selagi boleh berlebih kurang, berkuranglah.

Baginya, percaturan media yang disajikan setiap malam yang terlalu bias ternyata ampuh untuk kekal dengan pendirian lama.

Media ditusuk hidungnya seperti lembu. Yang betul tidak dipaparkan bahkan mana-mana yang menguntungkan ditayang siarannya selama yang mungkin demi meraih populariti dan undi.

Berat sebelah. "Aku tetap ABCD." bermonolog.

"Sudahlah mak...pangkah saja pilihan kita, Man tidak mahu bengkeng mak, sudahlah itu. Mak dah makan ubat tahan sakit lutut?"

Azman mengubah topik sepontan.

"Huh...baru terasa sakit kaki mak, lepas ini mak pergi makanlah. Aduh!"

"Pergi cepat mak, nanti melarat pula."

"Yalah, yalah..."

"Mak, maafkan Man ya, doakan man dipermudah segala urusan ya."

"Yalah, mak tiap-tiap malam doakan kamu, tidak payah risaulah."

"Terima kasih mak...nanti apa-apa Man call   lagi, jaga diri mak baik-baik."

"Yalah...kamu pun sama, solat jangan sesekali tinggal."

Azman mengangguk, membenarkan kata nasihat ibunya.

Itulah satu-satu ibu kesayangan yang dia ada. Tidak mampu dia hendak melawan apa yang merenggangkan, menyakitkan apatah lagi menyedihkan hati kecil ibunya. Baginya berpada-pada dalam berkata itu lebih murni daripada berbalah hingga ranap kasih yang sedia terpatri.

"Assalamualaikum mak."

"Wa'alaikumussalam."

Nilai-nilai murni
1. Bertanyalah khabar berita orang tua kita.
2. Beralah tidak bererti salah, menjaga hati orang tua adalah lebih mulia.
3. Biarkanlah pendirian mereka yang sedia ada, tidak perlu bertegang urat semata-mata mempertahankan pendirian yang berbeza.


و قضي ربك ألآ تعبدوا ألآ اياه و بالولدين احسَناً إما يبلغن عندك الكبر احدهما أو كلآهما فلآ تقل لهما أفّ ولآ تنهر هما وقل لهما قولآ كريماً ( الأسراء :23)
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sudah berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

*ABCD-asal bukan cap dacing




Azhan Rashid
Amman, Jordan


No comments:

Post a Comment