Monday, January 7, 2013

Nawaitu

Dalam kelas Bahasa Arab Tinggi, Ustaz Saleh sedang menyampaikan pengajarannya di hadapan pelajar-pelajar tingkatan lima Nuruddin al Zanki. Seperti biasa kebanyakan mereka kurang mengambil endah. Sindrom ini bukan setakat tingkatan mereka sahaja, malah kesemua tingkatan lima yang ada sudah tuli dan beku dengan subjek bahasa ini. Entah di mana silapnya, tidak ramai yang peduli, hanya kerana subjek  ini sudah menjadi wajib ambil kepada warga Sekolah Menengah Islam ini, jika tidak, mungkin ia telah dibakul sampahkan sahaja.

Banyak usaha telah dilakukan untuk menarik minat pelajar, namun dari tahun ke tahun subjek ini mengundang kepada tohmahan ibubapa kerana ia penyebab keputusan SPM anak-anak mereka cacat.
Sekolah yang diteraskan atas asas al Quran dan al Sunnah ini dapat menarik minat ramai kalangan ibubapa yang terpelajar agar anak-anak mereka dididik dengan deen al Islam. Majoriti mereka adalah orang yang mampu yang bergraduat dari bumi barat yag cenderung dengan Islam.

Tidak kurang juga ibubapa yang menjadikan sekolah bagai bengkel kereta. Anak yang sudah jauh dari landasan disiplin adab ketimuran, maka sekolah ini juga adalah tempat yang terbaik untuk ditempatkan.

Maka, bercampurlah ragam pelajar yang dihadapi guru. Paling terbeban adalah subjek Bahasa Arab Tinggi.

Guru Arab digaji, guru-guru Bahasa Arab sudah diberi motivasi malah sudah diberi kursus agar ada kreativiti. namun hasilnya masih belum boleh dipuji.

Walau ramai yang tidak berminat, masih ada segelintir yang tekun dan bersemangat. Itulah satu-satunya yang boleh diberi motivasi untuk menaikkan prestasi Bahasa Arab di mata Ibubapa.

"Tahun ini Bahasa Arab Tinggi target berapa point  ustaz?" Tanya pengetua kepada Ustaz Razak selaku Ketua Panitia Bahasa Arab.

Sambil tersengih dia menjawab "InsyaAllah kurang...tiga InsyaAllah."

"Tinggi lagi tu ustaz, dua tak boleh ke."

"Kami cuba tuan haji, InsyaAllah."

Begitulah getirnya tekanan kepada guru-guru Bahasa Arab, disamping cuba memupuk minat kepada pelajar-pelajar, pada masa yang sama juga harus merendahkan pointer pencapaian kerana semakin kecil pointer, semakin cemerlang subjek berkenaan.

***
Waktu petang, usai sesi persekolahan, Ijal masih berada di kelas untuk mengulangkaji pelajaran. Dia sudah berjanji dengan Hatim untuk belajar bersama. Adam sedar akan perubahan rakan baiknya kebelakangan ini. Ijal banyak mengelak pujukannya.

Dulu mereka bersama meredah pusat snooker, bersama belajar bermain gitar, bersama menghabiskan masa ke pusat bowling...kini tidak lagi.

Adam perasan.

" Ijal, rilek la dulu, jangan serabut sangat dengan buku kau ni...kesian aku tengok kau." Adam menggoda rakannya yang tekun mengulangkaji pelajaran.

"Weh, aku takut la Dam, tahun ni SPM...bapa aku dah sound dah hari tu, kalau ujian dengan trial exam aku tak bagus, duit poket aku dan semua alat-alat entertainment aku semua akan hapus...seksa wo."

"Dengan aku-aku sekali engkau nak sisih."

"Alamak, kau ni...merajuk pulak bagai...aku kena cari orang yang pandai ajar aku, kalau tak fail aku...tak adalah aku nak sisih kau, faham-fahamlah bro."

Adam mencebik tidak puas hati. Dalam hatinya bertaut rasa kehilangan rakan hedonis yang selalu bergandingan dengannya.

Adam juga sedar akan peperiksaan besar yang bakal ditempuhinya. Tapi...entah kenapa dia belum rasa terpanggil untuk berusaha kuat bagi mengatasi masalah berpoya-poyanya. Terkini keputusan akhir tahun tingkatan empatnya, tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan, hanya boleh bergantung harap kepada Bahasa Inggerisnya sahaja. Bahasa Arabnya, amat memalukan bahkan dia seperti mencipta musuh dengan guru Bahasa Arabnya.

Sikap kurang ajarnya dan tiada rasa hormat kepada para pendidik sekolah sering menjadi bahan bualan guru-guru.

"Sudahlah ustaz, biarkan sahaja si budak tu, dia rasa dia dah cukup segala-galanya mungkin, sebab tu dia macam tu." Pujuk Ustaz Saleh kepada Ustaz Razak.

"Ana bukan apa ustaz, kalau dia tak minat belajar untuk dia seorang tak apa, ini tidak dia pengaruhi kawan-kawannya yang lain...itu yang nak naik angin tu." Ujar Ustaz Razak yang sangat geram degan keperibadian Adam yang semakin hari semakin menjadi perangai buruknya. Pada masa yang sama dia juga ditekan untuk memastikan PNG Bahasa Arab lebih baik daripada tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya tidak ada yang gagal.

"Dia anak orang kaya ustaz, sebab tu dia tak pandang kita ni."

" Itu yang ana tak suka, kita ni ambil budak yang sudah ada masalah di luar, masuk sekolah ni...masalahnya disiplin sekolah jatuh dek pengaruh budak macam ni...habis semua terpalit."

"Tak apalah ustaz, anggap sajalah dia tabung pahala kita."

"Terima kasih ustaz, ana kalau nak ikutkan hati panas ni, habis budak tu ana kerjakan...ke balai polis pula nanti ana." Dalam geram Ustaz Razak sempat tenang dan berseloroh.

***
"Dam! hari ni ada kelasa tambahan Bahasa Arab, engkau tak join."

"Peh! Kau ni buat aku nak muntah rasa, tak pernah-pernah aku tengok orang bersemangat macam kau ni Jal...kau kirim salam jelah kat ustaz Razak tu...esok-esok jelah aku join."

"Kau ni Dam, sudah-sudahlah tu benci kau kat ustaz Razak...dia bertungkus-lumus nak pastikan anak-anak muridnya berjaya, kau pula tolak mentah-mentah...tak berkatlah Dam."

"Peduli apa aku, macam bagus je ustaz tu...dia ingat dia siapa...kau tahu Jal, kalau tak ada yuran kita ni, tak adalah gaji dia...hah! Baru padan dengan muka."

"Wei! Aku rasa engkau ni dah betul-betul marah kat dia, aku takut Dam, tak berkat ilmu aku nanti...kau punya statement tu angkuh gila...cuak aku."

"Betul apa, gaji ciput pun nak berlagak."

"Aku tak mahu campur tanganlah, aku fikir satu je...SPM aku, itu je."

"Kau ni manut betullah, kalau kau pergi pun kelas ustaz berlagak tu, kau faham ke."

"Sebab aku tak fahamlah aku kena pergi kelas, kalau dah faham buat apa kau nak pergi kelas dia...kau ni pun."

"Ok-oklah, kau pergi je la...aku belajar sendiri nanti...tak pun, mak aku carikan guru home tuition nanti."

Adam dan Ijal sedikit bertegang urat namun masih dapat dikawal. Habis usaha Ijal untuk mengajak Adam turut serta dengannya. Tampak Adam masih keras dengan egonya.

***
Keputusan peperiksaan percubaan sudah diperolehi. Adam datang mendekati Ijal di sudut pintu kelas belakang.

"Ijal! Amacam kau punya result."

"Masih banyak kena usahalah."

"Ada yang fail ke."

"Tak ada, cuma Bahasa Arab aku kena baiki lagi...cukup-cukup makan je."

"Aik! Punyalah datang kelas tambahan, tapi cukup-cukup makan je..."

Sindiran Adam agak memedihkan hati Ijal, tetapi dia mendiam. Tidak ada gunanya bertekak hanya sekadar perkara picisan. Dalam hatinya dia ingin jadikan sindiran itu satu motivasi kejayaan. "Aku akan pastikan Bahasa Arab aku cemerlang." Hatinya berkata.

"Aku dah kata dah, tak ada maknanya kau pergi ke kelas tambahan tu, ustaz tu buat duit semata, buktinya result kau..."

Panas telinga Ijal mendengar kata-kata pedas Adam. Dia cuba bertenang.Tidak mahu terlalu sensitif dengan kata-katanya.

"Dam, kira ok lah ni,sebab sebelum ni aku fail, yang ni kredit je...yang kau tanya aku, kau punya macamana."

Adam mendiamkan diri, diam seribu bahasa.

"Dam, jangan kau cakap macam tu, tak berkat ilmu kau nanti...Ustaz Razak buatkan aku minat dengan subjek Bahasa Arab,walau aku rasa susah... " Ijal mengulang-ulang persoalan keberkatan. Dia amat takut akan murka Allah kerana balanya boleh ditimpa bila-bila.

Ijal cuba bertindak tenang, cuba meredakan. "Dam, aku ingat lepas ni aku nak ke timur tengah sambung belajar...kau?"

Adam yang merenung kosong di kejauhan bagai tersentak. "Aaa...aku tak tahu lagi lah...tapi kalau ada kawan ke sana, aku  pun nak juga sambung ke sana."

"La pula, ikut aku ke."

Adam sekadar menyengeh. Dia mengakui dia tidak mempunyai haluan dan impian yag hendak digapai. Semuanya sudah cukup baginya, berpenat-penat untuk ke menara gading yang diidami belum tercatat dalam kamus hidupnya.

Dia nol.


***
Ijal menangis selepas mengambil keputusan SPM beserta sijil dan skrol ala-ala graduan konvokesyen universiti daripada tangan pengetua di atas pentas hari penyampaian kecemerlangan pelajar.

Dia mencium tangan pengetuanya. Tidak disangka perkara yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Dia tersenarai antara sepuluh pelajar cemerlang. Walaupun dia bukan pelajar contoh sekolah namun dia tetap berbesar hati kerana hasil motivasi diri yang tinggi untuk berubah, akhirnya dia memperolehnya.

"Ijal, kamu memang layak mendapat keputusan ini, Allah memberkati usaha kamu, tahniah sekali lagi." Ustaz Razak mengucapkan tahniah kepada Ijal di hadapan kedua ibubapanya yang sangat gembira dengan anugerah yang diterimanya. Ijal memeluk ustaz Razak sebagai tanda syukur dan kasih kerana telah banyak bertungkus lumus memberikan dia motivasi dan tunjuk ajar sehingga dia berjaya ketahap ini.

Jika dinilai keputusannya,boleh sahaja dia ke bidang kedoktoran, namun hatinya sudah beralih arah ke bidang syariah dan negara yang ingin ditujunya adalah timur tengah.Tapi yang pastinya, cabaran tanpa biasiswa. Dia tahu dan ibubapanya mampu.

Adam? Dia sekadar lulus. Mujur lulus kerana masih boleh menyambung pelajaran.

***
"Eh! Kau tak ke dewan ke Dam...aku dah siap ni." Tanya Ijal setelah melihat Adam masih belum siap untuk ke slot Pengurusan Kewangan dalam aturcara pelajar baru pada Minggu Haluan Siswa.

"Kau pergi je lah, aku malaslah..."

"Apahal pula kau ni...tahulah kau tu tak ada masalah kewangan, tapi kita kan freshie, sekurang-kurangnya ada juga sedikit tips boleh diguna...kita kat tempat orang ni Dam."

Adam mencebik. "Macam bagus je...kita kan dah besar, tahulah nak hidup macamana."

"Adam, kau masih belum berubah lagi kan...aku rasa kau dah ke tahap bongkak dah ni...cukup-cukuplah tu." Ijal menutup pintu rumah dan meninggalkan Adam.

Tidak disangka Adam menuruti Ijal ke bumi Syam untuk menyambung pengajiannya di bidang Syariah. Di universiti tertua umpama Universti Malaya di Malaysia, Ijal berasa teruja. Walau dia tidak punya pembiayaan daripada mana-mana badan kerajaan tetapi dek minatnya yang mendalam di dalam bidang Syariah dan ingin menimba pengalaman serta curahan ilmu daripada ulama-ulama besar di bumi Syam, dia nekad untuk ke luar negara.

Adam pula hanya mengikut rentak Ijal. Hakikatnya, dia tiada masalah untuk menyambung belajar ke mana-mana, ibubapanya mampu, tetapi dia ibarat melancong ke tanah Syam tanpa ada tekad kuat di hati untuk menimba ilmu. Pandangan hidupnya agak celaru, rasa hormatnya kepada senior-senior tiada, apatah lagi dengan ustaz-ustaz yang berpost-graduate di sini, langsung tidak diendah. Sombong.

"Bosan gila-lah aku dengan kuliah sana, kuliah sini...kau tak bosan ke Jal, dah lah tak faham apa benda."

"Baguslah tu, itulah kena pergi dengar, awal-awal ni memang susah nak tangkap butir yang dicakap...biasalah tu, lama-lama ok-lah."

"Cukup-cukuplah dengan kuliah kat kelas, nak tambah lagi dengan kuliah syeikh-syeikh ni...memenatkanlah."

"Kau kalau tak mahu hadir sudah, orang lain tak bising, kau seorang je yang bising...duduk je lah kat rumah." Ijal seperti malas hendak melayan kerenah Adam.

Hidupnya sekadar bergaya dan enjoy ke sana sini. Tiada intipati dalam diri. Dia terus hanyut melayan kemaruk diri, berada di dunianya sendiri, orang lain tidak dipeduli. Mujur pesona timur tengah tidak sama dengan dunia penuh salji, tanah barat. Jika tidak mungkin berbeza yang bakal terjadi.  

***
Dalam tempoh fasa imtihan, ada riak rasa Adam yang berbeza. Dia terperosok di penjuru bilik Ijal, menyelimutkan diri dengan hiram. Sugul. Tidak bermaya dan kosot masai wajahnya. Seperti ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

"Ijal, aku nak cakap kat kau sikit ni."

"Apa dia?" Ijal sedang mengemaskini nota yang dibuatnya. Minggu imtihan bermula.

"Aku rasa aku tak bersedialah nak ambil exam ni, aku tak faham apa benda pun...pergi kelas, balik kelas kosong, tak ada benda yang aku faham. Macam mana ni Jal."

"Ok aku tolong mana yang mampu, apa yang kau tak faham."

"Ini bukan tak faham sikit-sikit, semuanya aku tak faham...aku rasa aku tak boleh survive kat sini..."

"Sabar Adam, ada masa lagi ni, boleh ulangkaji."

"Tak Ijal, aku rasa kosong je pergi balik kuliah...datang sini rasa macam nak menunjuk je, tak ada apa-apa kat aku, ilmu tak ada, sombong je ada."

Ijal menyedari keinsafan Adam. Dia berempati dengannya, namun agak sedikit terlambat, dia tidak bisa mengubah nasib Adam melainkan sekadar menasihatkannya untuk berubah. Tetapi itu dulu, sekarang?

Adam gagal dalam peperiksaannya, dia hampa dan nekad untuk pulang ke tanahair Malaysia setelah menghabiskan masanya di bumi Anbia' dengan sia-sia.

Ijal meladeni nasib Adam ini dengan penuh simpati, dia terfikir...mungkin ini terjadi akibat tiada keberkatan ilmu. Ijal menyelongkar semula peristiwa-peristiwa lalu ketika dia bersama Adam di sekolah dan pada masa dia (Ijal) sedar dari lamunan, Adam masih membuai diri dengan hiburan yang melekakan.Bertambah sombong dengan keberadaan. Tiada satu kelumit ucapan syukur kepada Allah pemberi rezeki. Mujur Allah menarik sedikit sedar dengan kegagalan, tidak lebih buruk daripada itu...Allah Maha Penyayang. Moga air matanya yang diseka itu bisa mengoreksi diri.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

*PNG - purata nilai gred
  Manut - mengikut/ lurus bendul
 


No comments:

Post a Comment