Friday, July 6, 2012

Islah Satu Tuntutan

Mbah membelek kitab Syarah al Hikam pemberian Nu'man, sempena kelahirannya. Kitab kerohanian yang dibacanya berdikit-dikit agar enak dihadam.

Allah SWT Mengatur Segala Urusan, bab ke-4 dari Syarah al Hikam.

Sore yang tenang, sesekali angin sepoi-sepoi bahasa mengulit wajah tua Mbah yang semakin dimamah usia.

Matanya masih awas. Berkat petua lama mungkin, melihat tumbuhan hijau seawal pagi...berkesan.

Hidangan secangkir kopi panas bikinan sendiri tersedia di atas meja rotan, ruang anjung rumah.

Saban sore, Mbah melazimi diri menelaah kitab-kitab yang ada di mini perpustakaan rumahnya.

Jam menunjukkan lima setengah petang. Maghrib masih jauh.

Anjung rumah lama yang cukup luas untuk berehat di sore yang damai itu dikelilingi rimbunan pepohon buah-buahan tropika dan diselangi sekali-sekala kokokan ayam,nun di kejauhan menambah keseronokan untuk menikmati karya Ibn Athaillah Askandary.

*******
Mbah membeli sebidang tanah ibu mertuanya untuk dijadikan  rumah perteduhan mereka suami isteri sekembalinya daripada menyantri di Ponpes Gontor, Ponorogo, Jawa Timur.

Mbah pernah ditawarkan untuk mengendali salah satu ponpes di  Dusun Mandungan, Desa Widang, Kecamatan Widang, Tuban, Jawa Timur. Namun hatinya lebih berat untuk kembali menabur bakti di tanah airnya sendiri...Tanah Melayu.

Bijak mengaturkan hidup, tidak pernah bergantung kepada sesiapa untuk hidup kerana sudah terbiasa dengan hidup sendirian.

Yatim piatu sejak di awal usia 4 tahun. Dididik terus oleh Kiyai Soleh...dihantar ke madrasah sekitar Damsyiq, Syria selama setahun, langsung menyantri di Ponpes Gontor sehingga tamat.

Hal yang pertama yang didahulukan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Tanah Melayu (Malaysia) ialah  mencari sumber bekalan hidup selain mengajar di beberapa buah surau.

Hasilnya, kembali kepada sunnah Rasulullah SAW... memelihara dua ekor kambing dan dua ekor lembu lalu membiak sehingga Mbah menjadi penternak yang berjaya.

Permintaannya lumayan terutama di musim udhiyah.

Berkat kegigihannya, Mbah kini tenang, menghabiskan hidupnya dengan berzikir...pengingat diri.

Tidak terlalu kaya tetapi hidupnya cukup selesa.

Kini urusan di ladang ternakan, diserahkan kepada Abdullah...pembantunya.

Kata-kata penguat diri

Sore itu, Nu'man menyinggah.

"Terus dari kampusnya barangkali.." Mbah menduga.

Senang Mbah melihat Nu'man, anak yang tabah...taat perintah Allah.

Memarkir motor EX5nya di laman anjung rumah Mbah.

"Assalamu'alaikum...Mbah." sedikit mencuka.

"Wa'alaikummussalam wbt." lembut Mbah menyahut.

"Monggo-monggo Man." sambil tangannya di kucup Nu'man. Mbah seakan faham tujuan Nu'man.

"Maaf Mbah."

"Kamu mengapa toh, Man."

"Mbah sibuk ke sekarang ni...saja je balik ni, sambil-sambil nak menyembang."

Mbah tersenyum. Mengerti benar Mbah dengan telatah si Nu'man cucu angkatnya.

"Gini Mbah, saya dilantik menjadi presiden persatuan fakulti baru-baru ini... saya tak mahu Mbah, tapi seakan terpaksa untuk bersetuju." melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan Mbah.

"Ya bagus...lalu?"

"Mbah...persatuan ni sosial lah Mbah, saya takut tak dapat handle nanti."

"Pemimpin yang sebegini lah harus dicari...malah harus ditaati."

"Tapi Mbah, saya ni sukar menggerakkan dan menghalalkan aktiviti-aktiviti yang saya kategorikan sebagai terlalu sosial...kalau saya menghalang pasti ada yang berkeras."

Senyap lima saat. Mbah berfikir.

"Usah terlalu jumud Man, masih banyak cara yang boleh disesuaikan. Bahkan inilah masanya untuk kamu mengubah...kuasa di tangan kamu."

"Yang kamu kategorikan sosial itu, kamu kendurkan sosialnya...itu semua kreativitas (sesekali terhambur juga lahjah Indonesianya)...kamu harus datangkan rasional...bahkan ini juga boleh menjadi satu medan dakwah untuk kamu."

"Tiada yang mudah untuk mengubah...semua harus pengorbanan idea dan keringat...mana mungkin Islam berkembang jika caranya tidak meladeni suasana tempat."

"Pastinya kamu punya al quwwah dan amanah, justeru mereka memilih...benar ndak."

Nu'man sekadar mengangguk...mengiyakan.

"Nu'man..."

"Ya Mbah."

"Ketika ini kamu punya hak selaku pemimpin."

"Kamu berhak ditaati selaku pemimpin selagi mana kamu tidak melanggar syariatNya....kamu juga berhak mendapat kerjasama dari pendokong-pendokong kamu...dan kamu juga berhak di tegur dan dinasihati... gitu."

"Bagaimana bisa Islam dapat dianut di rantau nusantara ini jika para pendakwah tidak menjiwai suasana tempatnya...lihat, tarian kuda kepang itu dulu digunakan untuk berdakwah..."

"Bermakna harus ada kewajaran dalam pertimbangan...nah! kamu perlu menyelami suasana...insyaAllah dipermudah."

"Kamu harus ada sikap bisa menerima pendapat...terbuka...seperti Rasulullah menerima cadangan Salman al Farisi ketika perang Khandak..."

 "Kamu kan sedang mengambil sarjana...bererti kamu udah matang Man...Udahlah, usah di runsingkan...اللهم يسّر"

"Nah! Man, minum kopi panas ni..."

"Ya...terima kasih Mbah."

Nu'man menghirup perlahan.

"Kamu tolong Mbah kupaskan mangga...ada di dapur sana...tolong bikinkan sekali kopi Mbah...yang kamu minum itu Mbah punya tadi..." tersengeh Mbah.

"Baik Mbah..." membalas sengehan.

Kejatuhan Mubarak, Kemenangan Mursi

Sambil berlalu ke dapur, sempat Mbah menyambung.

"Kamu baru di kampus...nah! di sana Mursi pasti pening dengan negaranya...puluhan tahun negara ditadbir penuh korup.."

Nu'man mendengar di kejauhan.

Jelas...tetapi sayup dengarnya.

"Bukan kerja sehari dua mahu dibangun Mesir...hendak menyental daki-daki kotor yang sudah lama melekat...pasti memakan masa...ya Allah."

Mbah menarik nafas dalam, melepaskan resah.

Di dapur, Nu'man membalas. "Negara firaun Mbah..."

Mbah tersenyum.

"Benar...tinggalan sejarah yang begitu banyak, kawasan yang cantik...tapi sayang bila ditadbir orang yang tidak beriman, ia tidak memberi bekas pada rakyat."

"Mbah ni...guna ayat kitab kuning pula." Nu'man tersenyum sendirian.

Sempat Nu'man bertanya Mbah "Mangga ni nak kupas berapa biji Mbah?"

"Habiskan semua...udah tinggal sedikit tu... yang tidak elok dibuang saja."

Nu'man akur.

Selang beberapa minit.

"Jemput Mbah" Nu'man meletakkan dulang berisi kupasan mangga dan kopi panas di atas meja.

"Penindasan harus dihentikan...benda yang nyata batilnya harus ditentang...perubahan harus berlaku."

"Lampu kalimantang ini mungkin tidak menyala dengan dua sebab...samada lampunya udah terbakar atau starternya perlu diganti." sambil jari telunjuk Mbah mending ke arah lampu di siling.

Beranalogi.

"Justeru...harus ditukar salah satunya...atau mungkin kedua-duanya...begitu juga dengan pemerintahan...samada sistem atau presiden...salah satu atau keduanya...islah harus dilaksanakan"

Nu'man faham.

"Antara Islam dan bangsa...macamana Mbah." Nu'man menyoal lanjut.

Mbah diam beberapa ketika.

Lalu menyambung.

"Kenderaan tetap perlukan enjin...biar bertukar bentuk sekalipun kenderaannya...rupanya tetapi enjin tetap nyawa kepada kenderaan...begitu juga dengan Islam, biar berlainan sekalipun kulit rupanya...pertuturannya, namun Islam tetap pemangkin salahsilah bangsanya."

"Jadi, Islam dulu...bukan bangsa." Nu'man meminta keyakinan.

"Nabi itu membawa rahmat sekalian alam Man...bukan satu alam."  meleret senyuman Mbah.

Nu'man mencapai mangga separuh masak yang sudah dikupas tadi, dicicah dengan kicap berpatahkan cili.

Enak...kegemaran Mbah.

Mbah menghirup kopi.

Sehirup, lantas menyambung.

"Man, jangan di buai dengan pujian...kerna pujian itu ibarat pedang di kerongkongan..."

"Memimpin itu juga berat...harus gayat dengan ketinggian pangkat, biar sentiasa beringat dan memerhati apa yang ada dan berlaku di bawah."

Mbah menoktah.

Nu'man tahu dan selesa dengan kata-kata hikmah Mbah.

Ringkas...namun menjentik hati.

Bicara atas ilmu dan pengalaman.

Kerana itu arwah bapak berguru.

Mbah tidak popular.

Tidak pula mempunyai pangkat doktor.

Namun, sudah cukup buat Nu'man berasa lega dengan kata-kata azimatnya.


"Aku sayang kamu kerana Allah...Mbah, jangan engkau tinggalkan aku sebelum engkau habis mencurahkan ilmu dan pengalamanmu kepada kami berdua (aku dan Lubna) Mbah...hanya engkau pengganti arwah bapak...Ya Allah rahmatilah usia Mbah." luncuran kata-kata hati Nu'man menakung air mata di kelopak matanya.

Mbah senyum melirik sambil menggosok-gosok belakang Nu'man.

Lega hati Nu'man di sore itu.

Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban yang bakal ditanggungnya selama satu penggal kepimpinannya.

Azhan Rashid
Amman, Jordan







"





No comments:

Post a Comment