Monday, January 21, 2013

Melihat Dan Menilai Watak-Watak Di Hadapanku

Pernah suatu ketika, berkursus di Kem Bina Insan, Institut Teknologi Mara (Kini UITM) di selatan tanahair. Seperti biasa pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan LDK. Kursus ini baru pertama kali diperkenalkan. Kami diberitahu, ia adalah arahan terkini dari pengetua yang baru dilantik. Ramailah yang mengeluh kerana cuti panjang mereka diganggu. Kursus ini adalah wajib.

Saya, pada ketika itu masih dikategorikan sebagai junior. Baru part two (semester dua), masih dalam tahun pertama. Tidak banyak bantahan daripada kami, si junior. Si seniorlah yang kedengaran bengkengnya. Tetapi, mahu tidak mahu ia adalah kursus WAJIB. Noktah.

Bercampur dalam kumpulan LDK yang terdiri daripada pelbagai course, barjaya menjalinkan tali silaturahmi yang renggang.

Yang tidak kenal, jadi kenal.

Yang belum pernah berkawan, jadi kawan.

Itulah lumrah pertemuan.

Salah seorang rakan saya ralit memperhatikan gerak-geri di sekitarnya. Mungkin itu sudah tabiatnya. Tetapi barangkali ia boleh menimbulkan kerimasan.

Pernah satu ketika dia ditegur tanpa diduga. "Kenapa awak asyik tengok saya saja." Tegur seorang ahli dalam kumpulan kami. Perempuan. Dia agak terkedu untuk menjawab. Tanpa disangka, tabiatnya yang suka merenung dan memerhati kelibat orang ditegur.

Saya pernah bertanya sambil bergurau. "Kenapa engkau suka perhatikan orang macam hendak makan." Dia lantas menjawab. "Entahlah, aku bukan tengok dengan mata kasar, aku seakan melihat dan menilai karektor orang yang aku lihat. Engkau jangan salah faham pula. Aku tengok bukan sebab aku bernafsu."

Jawabannya menarik perhatian saya. "Apa yang engkau nampak pada budak perempuan itu?"

Dia tersengih sumbing. "Kalau aku cakap, jangan pula engkau beritahu dia."

"Tidak, insyaAllah."

"Budak perempuan itu tidak tenteram jiwanya, mungkin baru putus, fikiran dia tidak ada dekat sini...mungkin terpaksa dan tastenya pun tinggi. Kalau engkau berkenan, aku nasihatkan tidak payahlah."

"Engkau patutnya ambil bidang Psikologi bukan Perbankan." Saya berseloroh.

"Eh! Engkau silap, orang macam akulah yang sepatutnya masuk dalam bidang Perbankan, supaya mudah mengesan penipuan." Dia menjawab sambil tergelak.

"Macam mana engkau boleh ada instinct macam itu."

"Entahlah, mungkin aku banyak berada dalam kelompok masyarakat yang aku tidak selesa dengannya...masyarakat yang kurang bertamadun, mungkin sebab itu aku seperti ini."

"Masyarakat sekeliling yang bikin engkau begini?"

"Ya, masyarakat yang banyak adu dombanya, masyarakat yang 'bak lembu punya susu, sapi dapat nama' dan macam-macamlah...jadi kita mesti ada pemerhatian kita sendiri. Tidak sememestinya betul, tetapi boleh menjadi pendinding."

Sikap yang terbentuk hasil daripada persekitaran. Menarik.

Bumi Syam

Tidak pernah menduga, kaki ini memijak bumi yang menjadi pusat perdagangan kabilah-kabilah Arab suatu ketika dahulu. Hidup dikelilingi masyarakat Arab yang kaya dengan budaya.


Budaya itu tetap sama, mungkin berbeza pada usianya.

Budaya meraikan teman, sahabat atau tetamu dengan pelbagai pujian sampai tidak tahu apa yang perlu dibalas, menguasai.

Tetapi.

"Engkau datang dari negara mana." Tanya si pemanu teksi.

"Aku orang Malaysia, engkau tahu Malaysia?"

"Tahu, tengok kereta ini, Nissan, di rumah aku ada radio Sony, televisyen aku Sharp...bagus semuanya."

Saya rasa tidak ada keperluan untuk saya membetulkan fakta. Perjalanan saya singkat sahaja. Biarkan sahaja pengetahuan si pemandu teksi itu. Nyata tiada ilmu alam (geografi) didadanya.

Saya lihat dan saya nilai.

Di hari yang lain.

"Engkau fahamkah apa yang aku cakap tadi." Tanya si Pemandu teksi berwarna kuning yang mengambil penumpang lain sedangkan peraturannya tidak membenarkan. Hendak mendapat duit lebih. Gayanya sahaja membenarkan andai-andaian yang berlegar difikiran saya ketika itu.

Biarkan sahaja.

Sebentar tadi si pemandu bertelagah dengan penumpang yang lain kerana masalah kenaikan harga minyak. Penumpang tadi melawan lalu minta diturunkan.

"Fahamlah sedikit-sedikit." Lahjah ammiahnya masih boleh ditangkap.

Di dalam hati melirih "Aku sudah silap pilih teksi ini."

"Engkau suka saluran mana?" Sambil tangannya menekan-nekan saluran radio di keretanya, pemanduan tidak menentu. Memaki-maki pemandu di hadapan. Suka-suka memotong laluan kenderaan lain, jika tidak diberi laluan 'abu kalb'lah makiannya. Saya sekadar mengambil endah tidak endah sahaja dan memulangkan pilihan saluran radio itu kepadanya.

"Engkau dengar saluran ini." Si pemandu mendengarkannya kepada saya.

"Ini saluran maksiat, begitu, begini...perempuan semata." Sambil menggayakan lenggok-lenggok tarian Arab barangkali. Saya olok-olok melayannya, padahal saya tidak mempedulikan.

"Ini saluran yang betul." Kedengaran suara qari mengalunkan bait-bait al Quran. Sangat merdu.

"Ini saluran Ikhwan, tiap-tiap kali mengingatkan Allah, beri peringatan...ini yang betul." Katanya sambil menyalakan sebatang rokok.

Saya mengangguk sambil lewa. Apa yang ada dibenak ketika itu ialah agar dapat sampai ke destinasi dengan selamat.

Sudah menjadi satu kelaziman karektor orang Arab, walau bercakap fasal Islam tetapi jari telunjuk dan jari hantunya masih mengepit nyalaan rokok. Begitu juga dengan tasbih. Sambil menyedut asap rokok, biji tasbih masih tetap bergerak. Begitulah.

Sampai di destinasi. Meter menunjukkan JD3.22. "Sudah sampai, tiga dinar setengah." Pinta si pemandu.

"Bukankah meter JD3.22"

"Tempat ini jauh...minyak sudah naik."

"Bukankah tadi baru sahaja bercakap fasal maksiat, Allah semuanya, ini minta lebih pula." Saya bermonolog.

Bukan tidak biasa memberi lebih kepada si pemandu, tika saya berasa dia layak mendapatnya, saya akan beri kerana masih ada pemandu yang sangat menghormati penumpang dan mesra. Tetapi si pemandu ini tidak termasuk dalam kategori itu.

Biarkan sahaja.

Bukankah ada satu lelucon, 'Jika terlihat ular bersekali dengan *****, bunuh ***** dahulu, kemudian ular.' Ingin sahaja saya menukarkan ***** itu dengan Arab, rasanya seperti ada kewajaran.

Saya lihat dan saya nilai.

Al Afasy TV

Sudah menjadi satu kebiasaan. Setengah jam sebelum azan maghrib berkumandang, pasti saluran Al Afasy TV menjadi pilihan.

Tidak perlu dikenalkan, Syeikh Masyari sudah dikenali seantero alam. Suaranya yang merdu mengalunkan ayat-ayat al Quran, pasti menggamit hati yang mendengarnya.

Beliau telah mendapat penghormatan daripada rakyat Turki untuk membimbing kalangan remaja yang menghafaz al Quran. Beliau bukan setakat seorang qari malah seorang munshid. Merdu nasyidnya.

Antara nasyid yang menarik bukan sahaja saya malah keluarga saya ialah Rahman Ya Rahman.


Ternyata Arab ini menjadi daya penarik untuk orang mendekati dan mendalami Islam. Wataknya menenggelamkan karektor umum masyarakat Arab di tanah Arab.  Turki mengorak langkah untuk mengembalikan khilafiah Uthmaniyyah. Mereka menyusun batu-bata yang telah diruntuhkan sejak Attarturk. Susunan itu menanti siapnya.

Arab? Masih lagi bertelagah. Yang di tampuk kuasa masih lagi mengikat diri menjadi kuli kepada barat.

Saya lihat dan saya nilai. 

Perkongsian
Saya melihat dan menilai watak-watak ini. Saya tidak menghukum mereka secara pukal. Ternyata mereka juga seperti masyarakat Islam yang lain. Punya budaya yang masih digunapakai, juga punya adat yang masih menebal.

Pengalaman-pengalamn yang dilalui ini sangat berbakti untuk menjadi garis panduan kehidupan akan datang. Bak kata pepatah 'lain padang, lain belalang', jika tidak berada di padang masakan dapat merasai bahang. Begitulah hakikatnya orang yang bermusafir. Semakin banyak musafirnya, semakin banyak pengalaman dan pelajaran luar kuliah yang diperolehnya.

Pengalaman ini juga menyumbang kepada sudut pandang yang mematangkan dan berbeza ketika melihat dan menilai watak-watak di hadapan saya.

Saya lihat dan saya nilai.




Azhan Rashid
Amman, Jordan


 








 



No comments:

Post a Comment