Friday, November 23, 2012

Sketsa Dunia

Ini adalah catatan isu dunia yang diwatakkan.*

Wak Sir amat mengasihani Pal yang hidup sebatang kara walau punya ramai adik-beradik yang kaya raya namun dek banyaknya komitmen kepentingan duniawi maka keadaan hidup Pal seakan terbiar buat sekian lama.

Hidup Pal sentiasa dianiaya oleh si Is yang tidak habis-habis menggunakan segenap kudrat dan tipu dayanya menghalau Pal dari tanah yang telah didudukinya hampir berabad lamanya.

Is berani kerana ayahnya Pak Amer adalah orang yang berpengaruh dan mempunyai kuasa yang sangat besar.

Wak Sir ingin  bertanya kepada Pak Amer tentang tindak tanduk Is yang sangat menjengkelkan. Kebetulan pada hari itu Pak Amer dan beberapa kawannya bertandang ke restorannya untuk makan tengahari. Seakan mereka baru selesai mengadakan pertemuan.

Wak Sir dengan selamba menyoal.

"Amer! Cuba engkau beri nasihat sedikit kepada si Is itu, aku lihat dia semakin melampau perangainya, bukankah engkau ayahnya?"


Sunday, November 18, 2012

Palestin Menangis Lagi...

Bezanya tangis kanak-kanak di Palestin dengan kanak-kanak di dakapan kita
"Saudaraku, bolehkah singgah ke rumahku sebentar, sebelum kita bersama menuju ke medan pertempuran?" Suhaib mengajakku.

Aku menjadi serba salah kerana keadaan sangat meruncing dek bedilan mortar di sana-sini. Tetapi apa aku boleh buat, aku hanya merakam situasi, jika tidak kerana Suhaib aku tidak tahu ke mana arah hendak dituju.

"Baiklah." Jawabku.

Kami menyelusuri lorong kecil di celah-celah bangunan untuk sampai ke rumah Suhaib. Lorong yang gelap gelita, hanya berpandu kepada lampu handphone Suhaib. Aku mengikut gerakan Suhaib, berlari perlahan sambil membongkok.

Menaiki anak-anak tangga untuk sampai ke rumah Suhaib. Tidak mengetahui tingkat berapa rumahnya, aku hanya mengekori.

Terasa lelah.

Kelihatan keluarganya sedang berkumpul di ruang tamu seperti sedang bersiap sedia menerima arahan daripadanya untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Saudaraku, sila tunggu di sini dahulu, aku ingin meninggalkan pesanan kepada keluargaku sebentar." Aku menunggu di pintu luar rumahnya untuk beberapa ketika.

Masih terdengar bedilan bom ke arah kanan telingaku, seperti tidak jauh dari kawasan tempat tinggal ini. Dada terasa berdebar-debar, aku sempat mengambil foto dan merakamkan kawasan persekitaran dengan suaraku yang agak sedikit bergetar. Aku hanya bergantung kepada viewcam jenama Sharpku. Baterinya masih penuh.

"Janganlah jadi apa-apa pada veiwcam ini."Monologku.

Lima minit kemudian, Suhaib keluar.

"Baba...baba." Anak kecil keluar berteriak menangis seakan ingin mengekori. "Baba...baba." Diulangi teriakan tadi. Kira-kira umurnya dalam lingkungan empat atau lima tahun. "Wahai Baba Mus'ab, berilah kucupan lagi kepada anak kita ini agar mudah lenanya kelak." Wanita berkerudung hitam litup memanggil Suhaib bagi meredakan tangis anaknya yang comel.


Sunday, November 11, 2012

Sinis Muharram

Pada cuti hujung minggu ini seperti lazimnya Che Read mengambil peluang membersihkan persekitaran rumahnya sedari awal pagi sambil mencari peluh setelah sepanjang minggu kerjanya hanya berada di kantor yang berhawa dingin dan menghadap komputer semata. Terasa peredaran darah tidak berjalan lancar. Sejuk dan beku. Apatah lagi kebelakangan ini hujan membasahi bumi sepanjang hari.

"Hmm, lega dapat menghirup udara pagi, segarnya...alhamdulillah." getus hatinya sambil menghadap ke arah banjaran Titiwangsa yang masih diselimuti kabus tebal dek hujan sepanjang hari kebelakangan ini.

Tangan dan lengannya digerak-gerakkan. "Satu, dua....lapan." Warming up.

Sedang hendak menjatuhkan diri menolak bumi, kedengaran bunyi motor di laman depan rumahnya.

Anas dan Danial datang menyinggah. Motor di parkir di hadapan pagar.

Che Read sengaja membiarkan mereka memberi salam terlebih dahulu sementelah dia menghabiskan kiraan sepuluh menolak bumi.


Tuesday, November 6, 2012

Diari Budak Nakal


Gambar Hiasan
Allahuakbar...Allahuakbar

Azan subuh sedang berkumandang. Rumah Anas berdekatan dengan surau, kira-kira lima tiang lampu TNB sahaja sampailah ke rumah Anas.

Suara azan subuh ini suara bilal Basar, warga vateran yang menginfaqkan tenaganya bagi mengisi ruang AJK surau yang ketandusan warga muda. Mana tidaknya, warga muda sedang asyik dibuai budaya leka. Ibu bapd mungkin boleh dipersalahkan kerana pentingkan ilmu dunia semata-mata berbanding ilmu akhirat, tidak menyeimbangkan kedua-duanya. Maka tiadalah pewaris yang hendak diwariskan.

Boleh juga disalahkan kepada warga tua kerana tidak memberi peluang kepada orang muda tampil ke hadapan menunjuk ilmu di dada, paling tidak pun menunjukkan caranya bagaimana.

Lalu tinggallah surau dengan bertunjangkan organisasi yang dimamah usia menunggu panggilan Illahi.