Saturday, December 1, 2012

Penyakit Ilmu

Seusai membersihkan kawasan belakang rumah, Mbah mencari tempat berteduh untuk berehat barang seketika. Pagi yang segar ini diambil kesempatan Mbah untuk mencari peluh. Tiada lagi aktiviti yang sesuai selain daripada berkebun untuk jangkauan usia sepertinya.

Lubna yang berada di dapur rumah memandang Mbah sedang berehat segera membikin teh panas untuk melegakan lelah.

"Mbah! Ini teh panas."

"Ya! Terima kasih Una, usah kau repot-repot dengan Mbah, ini ada air jarang Mbah sudah siapkan sedari awal." Mbah menyengih memandang Lubna.

Lubna sengaja membawa hidangan teh panas untuk mengambil kesempatan berbual dengan Mbah.

"Ayuh! Na, kita duduk di bawah pohon rambutan sana, mudah untuk diletakkan air teh kamu ini."

"Baik, Mbah."

Mereka menuju ke pohon rambutan yang rimbun dan rendang, juga telah tersedia di situ meja dan kerusi yang dibuat dari sisa batang-batang pokok yang terbuang.


"Nah! Di sini baru enak Una." Mbah seakan puas berteduh mengelak panas matahari. Lubna hanya tersenyum memrhati gelagat Mbah.

"Mbah! Minum dulu Mbah, nanti sejuk airnya tak sedap."

"Kok diberi air panas waktu panas-panas begini Una, harusnya air sejuk baru tenang."

"Bukan Mbah tidak minum ais?...Malah Mbah menolak minum ais walau panas cuacanya sekali pun."

Mbah ketawa besar kerana cucu angkatnya kenal sekali wataknya dan kegemarannya.

"Ya, Mbah minum...alhamdulillah lega, terima kasih ya Una."

"Tambah lagi Mbah." Lubna mencurahkan lagi air teh ke cawan Mbah.

Sambil Mbah mengesat-ngesat peluh di dahinya, Lubna melontarkan soalan.

"Mbah! Una nak minta pandangan Mbah sedikit."

"Tentang apa?"

"Hajat Una hendak sambung belajar lagi selepas habis degree ini." Perkataan Lubna dituturkan agak ragu-ragu.

"Kamu mahu ambil master?" Mbah menyoal.

Lubna sekadar mengangguk. "Bagus, Mbah sokong...sama seperti abang kamu Nu'man. Teruskan."

"Mbah juga tidak keberatan untuk menampung kamu berdua, itu sudah tanggungjawab Mbah."

Lubna tersenyum ceria mendengarkan kata-kata Mbah, perasaannya melonjak keriangan tidak terkata.

"Tapi Mbah ingin berpesan kepada kamu."

Terhenti sebentar ceria Lubna, menantikan kata-kata Mbah.

"Apa dia Mbah?"

"Ilmu itu wajib ditambah kerna ia memandu hidup tetapi harus diingat akan penyakit dan ujiannya."

"Maksud Mbah?"

"Kamu itu dibilang ustazah, orang yang punya ilmu agama...pakaian ilmu itu adalah amalannya dan penyakit ilmu itu juga pada amalannya...jangan sekali-kali kita berkata pada perkara yang kita tidak amalkan, orang sekeliling akan memandang kita persis apa yang kita katakan."

"Ustaz atau ustazah, orang sekeliling akan memandang tinggi sesuai dengan panggilannya, namun jika contohnya kita tidak pernah berjemaah di masjid paling tidak di waktu subuh, pasti orang akan kaget...kerna waktu-waktu lain mungkin masih kesibukan, waktu subuhlah yang menjadi penilaian."

Lubna membisu, khusyuk mendengar kata-kata Mbah.

"Sibuk dan payah bagaimana sekalipun, mereka harus menampakkan dirinya waktu subuh, ...mungkin mereka akan pendam tetapi kelak akan menjadi bahan bualan juga di khalayak ramai, begitulah pandangan orang"

"Semestinya orang agama ini seakan lengkap semuanya, namun hakikatnya tidak bukan? Itulah ujiannya."

"Manakala penyakitnya pula, pelbagai. Sombong, riak dan yang sekufu dengannya paling tidak sedikit akan tertumpah ke empunya badan, apatah lagi jika sudah popular gitu. Ini bahayanya."

"Musuh sebenar para ilmuwan agama ini adalah kalangan ilmuwan agama itu juga,saling berbantah dengan ilmu di dada, padahal ia harus diseiringkan bukan ditelagahkan...masing-masing sebenarnya tidak lengkap kerna itu mereka harus melengkapi."

Lubna merenung jauh kata-kata Mbah. Mbah menghirup perlahan air teh di cawan. Lega.

"Pernah berlaku, tidak pelik seorang penuntut ilmu bukan dalam agama, penampilannya dan perwatakannya lebih baik daripada seorang ustaz PhD dalam bidang agama, kerna apa? Itulah bezanya ilmu dengan amal berbanding ilmu dengan hanya di dada."

"Penghormatan orang kebanyakan terhadap ilmuwan agama jangan dilekehkan kerna oarang pasti akan berkata nanti, biarlah kita sentiasa merendah diri berganding dengan ilmu yang tinggi."

"Tapi Mbah, bagaimana pula dengan ilmuwan yang berpihak?"

"Wallahua'lam, itu perlu ditanya kepada tuan punya badan, atas dasar apa mereka berpihak. Jika berpihak atas dasar amanah ilmu bukan atas dasar perjuangan individu, itu kita harus besetuju tetapi tidak sebaliknya."

"Ringkasnya, Mbah melihat perkara ini berlaku kepada ilmuwan agama  iaitu Imam Jalaludin al Mahalli, penulis kitab tafsir Jalalain. Dia seorang ulama besar, cuma peliknya dia suka berkhidmat kepada janda-janda tua dan fakir miskin di kampungnya serta kerap menundakan kelas semata-mata berkhidmat kepada mereka. Bila ditanya kenapa berbuat demikian, beliau menjawab, beliau telah menggunakan sebahagian besar umurnya untuk ilmu,  padahal penyakit ilmu itu banyak. Jarang sekali orang yang terselamat daripadanya dan dia berdoa agar Allah mengampuni dosa-dosanya dengan rutin yang dilakukan itu."

"Sebab itu banyak juga yang mengelak daripada dipanggil ustaz ya Mbah?"

"Ya, mungkin salah satu daripada faktornya."

Lubna mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Udah, itu cuma sebagai peringatan untuk diri Mbah juga."

"Terima kasih Mbah atas ingatan Mbah...banyak ilmu yang perlu dikejar namun ilmu sebegini jarang yang tahu."

"Ya, ini peranan akhlaq terhadap ilmu." Ringkas Mbah.

Lubna termenung,  "Rupa-rupanya ilmu itu boleh menjadi penyebab dekat dan jauhnya dengan rahmat Allah. Ya Allah, lindungilah diriku daripada penyakit-penyakit hati dan penyakit ilmu."



Azhan Rashid
Amman, Jordan

Kisah ini diinspirasi daripada pojok santai berilmu dengan tajuk 'Penyakit Ilmu' di dalam majalah al Ustaz, isu no.8.




No comments:

Post a Comment