Friday, November 23, 2012

Sketsa Dunia

Ini adalah catatan isu dunia yang diwatakkan.*

Wak Sir amat mengasihani Pal yang hidup sebatang kara walau punya ramai adik-beradik yang kaya raya namun dek banyaknya komitmen kepentingan duniawi maka keadaan hidup Pal seakan terbiar buat sekian lama.

Hidup Pal sentiasa dianiaya oleh si Is yang tidak habis-habis menggunakan segenap kudrat dan tipu dayanya menghalau Pal dari tanah yang telah didudukinya hampir berabad lamanya.

Is berani kerana ayahnya Pak Amer adalah orang yang berpengaruh dan mempunyai kuasa yang sangat besar.

Wak Sir ingin  bertanya kepada Pak Amer tentang tindak tanduk Is yang sangat menjengkelkan. Kebetulan pada hari itu Pak Amer dan beberapa kawannya bertandang ke restorannya untuk makan tengahari. Seakan mereka baru selesai mengadakan pertemuan.

Wak Sir dengan selamba menyoal.

"Amer! Cuba engkau beri nasihat sedikit kepada si Is itu, aku lihat dia semakin melampau perangainya, bukankah engkau ayahnya?"


"Pasal apa pula?" Pak Amer menyoal semula seakan ingin mengetahui kedudukan sebenar.

" Mustahil engkau tidak nampak, jelas-jelas dia menggunakan kuasa yang engkau ada untuk memastikan hajatnya tercapai."

"Hajatnya tercapai? Engkau tolong berbutir sedikit bila bercakap, janganlah berkias-kias, aku tidak faham."

"Cuba engkau lihat si Pal, dia sentiasa diancam oleh si Is, dek kerana tanah yang memang milik sah si Pal. Ada saja rancangan si Is itu aku tengok, kasihan si Pal...dia teraniaya Amer."

Pak Amer tersentak. Cerita  itu sudah menjadi buah mulut orang tetapi dia seakan membutakan matanya, memekakkan telinga.


"Kes terbaru, si Is memukul anak si Pal tanpa ada belas kasihan sedikit pun, bila aku tanya Is, dia jawab sebab budak itu menghalang kerja ukur tanahnya di kawasan sah milik Pal...begitukah Amer adab si Is bila bertandang ke kawasan orang?"

"Aku mesti bertanya kepada si Is dahulu tentang duduk perkara sebenar sebelum membuat sebarang komen, nanti engkau cakap aku bias pula."

"Eloklah itu, engkau tanyalah dia tapi aku berasa berita itu sudah sahih."

"Sudahlah dulu, tolong ambil order kami... kami sudah kelaparan benar ini." Pak Amer memberhentikan ngomelan Wak Sir untuk seketika.

Wak Sir sekadar mengangguk.

***

Di ruangan tamu rumah Pak Amer.

"Benarkah engkau memukul  anak si Pal tempoh hari." Pak Amer bertanya.

"Mana abah tahu?"

"Wak Sir cakap." Pak Amer menjawab pendek sambil memperlahankan volume televisyen.

"Wak Sir itu penyibuk abah, benda sedikit pun hendak dihebohkan."

"Benarkah?" Pak Amer sedikit menekan, meminta jawapan.

"Ya, benar tapi anak si Pal itu kurang ajar, itu yang Is beri amaran keras."

" Engkau apakan budak itu?"

"Pelempang sahaja."

"Berapa kali,  terukkah?"

"Banyaklah juga, lebam muka dan berdarahlah sedikit...Budak itu memang kena ajar abah, sebab si Pal itu tidak pandai ajar anak dia dengan betul." Is mempertahankan diri.

"Anaknya yang mana?"

"Rasanya anaknya yang kedua, tujuh tahun rasa umurnya."

"Apa alasan engkau buat begitu?"

"Mempertahankan diri." Is menjawab tanpa sebarang rasa bersalah. Pak Amer seakan ingin tergelak tetapi cuba mengawal.

"Dengan budak tujuh tahun pun engkau kata mempertahankan diri?" Pak Amer cuba meneka  sikap Is, anaknya.

"Yalah, mempertahankan diri sebelum anak si Pal itu melakukan perkara-perkara yang di luar duga Is, lebih baik Is belasah dia dulu." Lancar sahaja kata-kata Is, berasakan dia berada di pihak yang benar dan telah menggunakan tindakan yang bernas.

Pak Amer hanya mampu tergelak sahaja apabila mendengar luahan buah fikir Is, anaknya.

Pak Amer akui Is telah banyak membantunya daripada sudut kewangan dan pelbagai kemudahan kerana Is tergolong dalam kalangan orang yang bijak berbisnes dan berjaya. Lantaran itu segenap perwatakan Is tidak menjadi hal buatnya, jika bertanya sekalipun, bagai pepatah yang berbunyi 'Bak melepaskan batuk di tangga.'

***

"Anak aku kata dia hanya berbuat demikian kerana mempertahankan diri. Jadi tidak salah untuk dia berbuat demikian." Pak Amer memberitahu Wak Sir.

"Astaghfirullah Amer! Mempertahankan diri dijadikan alasan." Wak Sir menepuk dahinya kehairanan dengan alasan yang tidak masuk dek akal.

"Engkau tahukah, yang dia lempang sehingga budak itu di masukkan ke wad baru sahaja berumur tujuh tahun Amer." Wak Sir seakan ingin menangis bila memberi penjelasan.

"Aku yang hantar anak si Pal itu ke hospital, muka budak itu habis lebam, berdarah-darah, begitu juga dengan badan dan paling dahsyat lagi ialah kepala budak itu dibimbangi mengalami pendarahan...engkau kata Is buat demikian sebab hendak mempertahankan diri, ya Allah..." Jelas Wak Sir sepeti ingin berteriak.

"Ya lah, sebelum anak si Pal itu bertindak, lebih baik dia bertindak, itu juga mempertahankan diri."

"Mudahnya engkau bercakap, mari aku bawa engkau lihat budak itu dekat hospital, mari." Wak Sir geram dengan jawapan Pak Amer.

"Aku ada banyak kerja hendak diselesaikan, aku rasa tidak perlu untuk waktu sekarang, engkau sajalah yang pergi." Pak Amer mengelak daripada rasa bersalah lantas ingin meminta izin untuk pergi.

Dengan rasa penuh tanggungjawab, Wak Sir dan pada ketika itu juga ada bersamanya Pak Tur, sahabat baiknya berkata. "Selagi ada hayat dikandung badan, kami...aku dan Tuan Tur akan berhempas pulas mempertahankan tanah si Pal dan seluruh keluarganya, walau aku tahu ia penuh ranjau, tapi aku akan tetap akan memastikan si Is tidak akan beroleh apa-apa pun dengan tindakannnya yang rakus dan tamak itu...ini janji kami...Wallahi, Wabillahi, Watallahi." Dengan penuh semangat dia menggengam tangan ke udara menyatakan ikrarnya mempertahankan tanah Pal dan seisi keluarganya.

Pak Amer kelihatan gusar dengan pakatan itu lalu bingkas keluar daripada keadaan yang tidak mententeramkan.


Azhan Rashid
Amman, Jordan


* Ini adalah nukilan hati penulis yang menyaksikan kegawatan dunia dalam isu Palestin. Kisah ini adalah semata-mata  imaginasi penulis yang mewatakkan negara-negara yang terbabit.

Watak-watak ( Nama Negara)
Wak Sir - Mesir
Pak Amer - Amerika
Is - Israel
Pal - Palestin
Pak Tur - Turki

Semoga terhibur dengan pembacaan dan diharap dapat mengutip titipan keinsafan dan kebertanggungjawaban. Allahua'lam








 

  
 


2 comments: