Sunday, December 30, 2012

Mengapa Saya Menulis



Buya HAMKA

Keinginan menjadi seorang penulis membuak-membuak dalam diri tanpa saya sedar bilakah ia bermula. Saya mula cenderung meminati novel kerana satu peristiwa yang terjadi secara tidak sengaja.

Jujurnya saya amat skeptik dan jelek kepada novel dan pembaca novel pada awalnya.  Saya  pernah  menulis  sebuah  artikel  di  blog  mengenai  perkara  tersebut. Saya menganggap membaca novel adalah ibarat menghisap candu kerana mereka yang membaca novel seakan mengizin dan menginginkan suatu harapan palsu dan harapan tersebut tiada dalam alam nyata.

Namun segalanya berubah apabila saya balik bercuti ke kampung pada suatu hari, saya terjumpa sebuah buku di dalam bilik saya yang kini diguna oleh adik-adik saya.  Kaver  buku  tersebut  begitu  klasik  dan  unik  memagnetkan  diri  saya  bagi mengambil dan membeleknya.

Persepsi  pertama  saya  adalah  ia  sebuah  buku  sejarah.  Ini  kerana  gambar pada  kulit  buku  tersebut  adalah  sebuah  kapal  yang  separuh  tenggelam  seperti Titanic.  Pengarang  buku  tersebut sebagaimana  yang  tertera  pada  kulitnya  adalah Hamka. Tajuk novel tersebut pula Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Siapa yang tidak kenal Hamka, saya sebagai salah seorang pengkagum baru Hamka  amat teruja dengan  buku itu.  Namun  rupanya saya  tidak  tahu satu hakikat mengenai  Buya  Hamka  iaitu  beliau  juga  adalah  seorang  sasterawan  yang mempunyai jujutan karya berbentuk novel! 

Di bawah saya sertakan senarai panjang karya-karya beliau berbentuk novel:

1.  Si Sabariah (1928)  
2.  Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.  
3.  Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi), 1934.  
4.  Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
5.  Tenggelamnya  Kapal  Van  Der  Wijck  (1937),  Pedoman  Masyarakat,  Balai Pustaka.  
6.  Di Dalam Lembah Kehidupan, 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.  
7.  Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.  
8.  Margaretta Gauthier (terjemahan), 1940.  
9.  Tuan Direktur, 1939.  
10. Dijemput mamaknya, 1939.  
11. Di dalam Lembah cita-cita, 1946.  
12. Sesudah naskah Renville, 1947.  
13. Menunggu  Beduk  berbunyi,  1949  di  Bukit  Tinggi,  Sedang  Konperansi  Meja Bundar.  
14. Ayahku, 1950 di Jakarta.  
15. Mandi Cahaya di Tanah Suci, 1950.  
16. Mengembara Di Lembah Nil, 1950.  
17. Di tepi Sungai Dajlah, 1950.

Sangka  saya,  “Ah,  Buya  Hamka  menulis  mengenai  sejarah  penentangan  rakyat Indonesia  terhadap  penjajah  mereka  yakni  Belanda,  pasti  menarik!”  Kebetulan bacaan yang menjadi kesukaan  saya  saat  itu  adalah bacaan  yang  bersifat  sejarah dan peristiwa serta riwayat tokoh-tokoh.

Buku tersebut saya ambil dan baca, sekalipun rasa pelik dengan susunan dan laras  bahasa  yang  digunakan  saya  teruskan  jua  membacanya  sehinggalah  pada suatu masa di tengah pembacaan barulah saya sedar bahawa buku tersebut adalah sebuah novel. 

Barulah saya sedar bahawa novel dan sastera juga adalah salah satu wasilah dan  wadah  kepada  para  ulama  dalam  menyampaikan  dakwah  dan  mesej-mesej Islam selain daripada berceramah dan menulis bahan-bahan ilmiah.

Saya semakin  teruja selepas mengetahui hakikat itu dan mula  mengkaji  dan membaca mengenai para ulama yang juga dalam masa yang sama adalah seorang sasterawan. Satu demi satu saya jumpa selepas mencari dalam internet dan buku-buku.  Saya  kemudian  jatuh  cinta  yang  teramat  sangat  kepada  sastera,  dakwah, novel sekaligus dunia penulisan umumnya. 
 
*Ini adalah perkongsian ilmu daripada isi e-buku yang dikarang oleh saudara ZAHIRUDDIN ZABIDI yang telah banyak menulis buku dan tulisannya juga banyak disiarkan di dada-dada akhbar utama dan majalah-majalah semasa. Semoga sedikit cetusan tinta pengalaman ini memberikan impak optimum kepada pembaca dan juga diri penulis. Terima kasih kepada beliau atas perkongsian ini.
 
Nukilan saudara Zahiruddin Zabidi boleh diikuti di alamat sesawang www.kalamkhalifah.com dan di www.bicaracintarindu.blogspot.com.
 
Selamat membaca.
 
 
 
Azhan Rashid
Amman, Jordan  









1 comment:

  1. La..ingatkan kenapa 'Azhan Rashid' menulis..Boleh buat satu post lain tuh..saya tunggu..

    ReplyDelete