Wednesday, August 15, 2012

Bersabarlah...

Danial dan Anas kembali ke sekolah setelah digantung dua minggu.




Ramai mata yang memerhatikan gelagat mereka berdua. Dari rakan ke guru tingkatan, kelibat mereka sedikit sebanyak merimaskan.

Kononnya mereka bakal mengulang kembali tabiat lalu, ramai yang akan dipengaruhi dan macam-macam lagi...satu labeling yang tidak dapat dielakkan.

Cuma...

"Assalamualaikum, cikgu." serentak mereka memberi salam kepada Cikgu Rahim, Guru Disiplin merangkap Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

"Wa'alaikummussalam wbt." balas Cikgu Rahim.

Cikgu Rahim yang sedang mengemas-ngemas meja di pejabatnya tidak menduga suara yang memberi salam itu adalah mereka, Danial dan Anas.


"Eh! kamu...masuk-masuk...wah! dah lain penampilan sekarang...bagus, rambut kuning dah tak ada...anting-anting pun dah tak ada...macam mana dengan cuti." Cikgu Rahim sememangnya friendly dengan pelajar-pelajar sekolahnya namun tetap tegas dengan disiplin sekolah.


"Hah! ada apa-apa yang boleh saya bantu...atau nak tambah cuti." gurau Cikgu Rahim.

"Eh! tak cikgu...kami ke sini hendak meminta maaf." Danial bersuara.

Cikgu Rahim nampak kaget dengan kata-kata yang didengarinya.

"Kami berjanji selepas ini tidak ada lagi peraturan sekolah yang akan kami langgar dan kami akan berusaha menjadi pelajar yang cemerlang selepas ini." satu ayat skema yang menarik pandang Cikgu Rahim daripada Danial.

Mereka menunduk menunggu respond.

"Wah! taiko sekolah minta maaf?" seperti hendak tergelak lagaknya Cikgu Rahim sambil mengusap-ngusap misai jarangnya.

"Okay, tak apa...saya terima maaf kamu, tapi kamu masih dalam perhatian..." sambil menuding jari telunjuk dan jari hantunya ke arah mata.

"Terima kasih cikgu." balas Anas.

"Hah..sudah lah, pergi masuk kelas...saya pun ada kelas sekarang..." dalam hatinya masih sangsi dengan perubahan anak muridnya namun menarik untuk diperhati.

Sambil berjalan keluar daripada kantornya, sempat Cikgu Rahim bertanya "Puasa tak hari ni."

Danial dan Anas tersipu-sipu untuk menjawab "Aaa...mmm...puasa-puasa cikgu...insyaAllah."

"Emm...bagus pula ayat yang digunakan...susah nak dengar sebelum ni." monolog Cikgu Rahim sambil berlalu meninggalkan mereka.

Peristiwa Di Kantin

Danial dan Anas berjalan melintasi kantin sekolah setelah tamat subjek Biology  menuju ke kelas 4 Bistari.

Gerak-geri mereka diperhati seawal pagi tadi oleh Amran, rakan kelasnya yang sememangnya kamcing dengan mereka. Tetapi hari ini tidak seperti biasa.

Peristiwa di bazar Ramadan dua minggu lepas menyebabkan mereka, Danial dan Anas semakin rapat dan bertekad tidak mahu tersasar lebih jauh lagi.

Kalau dulu mereka selalu membuat bising di kelas, kini tidak lagi.

Kalau dulu mereka sering duduk di belakang, kini mereka memenuhi ruang duduk yang paling dekat dengan guru agar mudah memahami.

Kalau dulu mereka sering didenda bangun dalam kelas, kini tidak lagi.

Ramai yang tertanya sehingga menjadi buah mulut ke bilik guru.

Seperti biasa, ada yang mencebik...ada juga yang terharu...bahkan ramai juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Dani...Anas, lek la lu...man-man la wei." Amran menyapa.

Amran merupakan pengawas sekolah yang sering menjadi informer kepada mereka jika berlaku spot check di sekolah.

Bersama Amran megekori dari belakang adalah Burhan dan Taufiq.

Mereka juga pengawas sekolah dan ketua tingkatan yang rapat dengan mereka sebelum peristiwa penggantungan mereka, Danial dan Anas dua minggu lepas.

Danial dan Anas memperlahankan jalan sambil menoleh ke arah Amran yang memanggil.

Salam dihulur.

"Huyoo...botak seh." gelagat Amran mengusap-usap kepala mereka agak kurang disenangi mereka.

Disambut tawa oleh Burhan dan Taufiq.

Danial dan Anas sekadar berdiam.

"Lu apasal...senyap je...tak tegur kita orang pun... kelas tak ceria la...apa cer."

Jika dikira ukuran badan, memang layak Danial dan Anas mendapat gelaran taiko di tingkatan mereka.

Ukuran tinggi sekitar 170 ke 180 sentimeter, muka cengkung, berkumis tipis...Anas berparut di dagu, Danial pula ada parut kecil di dahi...cuma yang membezakan Danial dan Anas ialah alis matanya sahaja. Anas beralis mata tipis manakala Danial tebal.

Chemistry mereka secocok.

Danial senyum sumbing. Anas merenung tajam.

"Woo!, lu marah kat gua ke Anas...hah." melihat Anas seakan merenung benci kepadanya, Amran menolak perlahan bahu Anas.

"Gua tak marah, tapi gua meluat...ada faham." jengkel Anas.

"Pehal lak..hah." bahasa tubuh Amran seakan tidak puas hati.

Danial menarik Anas ke belakang sedikit.

" Kau apasal Anas, nampak tak puas hati je." Burhan bersuara di belakang.

" Kalau lu nak tahu, mamat ni pembelit besar...depan kita pijak semut pun tak mati, wa cakap lu...belakang...lu kena sembelih..." sambil menggayakan tangan sedang mengelar leher.

Suasana di perkarangan kantin agak riuh sedikit dek percakaran mereka.

"Heh! apa yang gua buat kat lu...hah."

"Lu kalau nak cakap belit, baik buang lah baju pengawas lu ni...ken**** kuat." Anas makin meradang.

Danial masih berdiam.

Rakan sekelas yang lain berlalu tidak mahu campur tetapi ekor mata masih memerhati.

Bahasa tubuh Amran menggambarkan ketidakpuasan hatinya ke atas kata-kata Anas tadi.

"Okay, kita settle luar kay...tunggu gua kat pagar sekolah balik nanti." perlahan Amran menjawab seraya menolak bahu Anas dengan jari telunjuknya.

"Tak payah...setakat nak jumpa dengan bawa abang lu sekali...itu lu nak jebak gua sekali lagi kena gantung sekolah...tak payah...sekarang ni, lu dengan lu punya hal, gua dengan dunia gua punya hal..."

"Pengecut..." cemek Amran.

"Lu la...pengawas paria punya level."

Amran seakan tidak boleh bertahan dengan penghinaan Anas.

Dia menolak tubuh Anas ke belakang, tanda tidak puas hati.

Tubuh Anas di tahan Danial, " Dah-dah...ni bulan puasa, habis pahala puasa macam tu je nanti." Danial bersuara.

"Pehh! bulan puasa siut...pertama kali wa dengar lu cakap macam malaikat...lu juga yang mentekedarah maggi kat belakang dewan hari tu...puasa konon." Amran mengejek.

"Tok sah cer banyak-banyak...lu juga yang jadi tokan kat sini...baik lu blah...sekadar yang gua boleh sabar ni...takut sememeh lu punya mata...nanti yang jadi lain, yang report lain" sambil menunjukkan penumbuk ke muka Amran.

Burhan dan Taufiq agak kaget dengan apa yang mereka sedang saksikan tadi. Tidak tahu hujung pangkal cerita.

Amran menunjukkan reaksi tidak puas hati, dia bagai memaksa langkahnya berlalu pergi namun hatinya tetap memendam untuk membalas atas kata-kata mereka, Danial dan Anas tadi.

Amran menunjukkan isyarat tangan lucah kepada mereka.

Danial dan Anas sekadar memerhati.

Di Pagar Sekolah

Motor yang dipacu Danial ditahan di depan pagar sekolah.

Mereka mengenali budak yang menahan mereka.

Dia adalah abang kepada si Amran, Jali.

Danial menuntun motornya ke arah bus stop berdekatan pintu pagar sekolah.

Ramai yang tidak perasan kerana peristiwa itu dibuat secara selamba tanpa melibatkan kumpulan motor yang mereka join, Pro Circuit.

"Lu ingat lu dah bagus ke...nak main-mainkan adik gua...hah." nada mengugut Jali.


Dia bercakap menghadap ke arah lain agar perbualan mereka dapat dipantau.

"Gua bagi peringatan kat lu, lu sentuh adik gua, lu mati..."sambil berlalu Jali menunjukkan jari telunjuknya ke arah mereka berdua, tanda awas.

Anas dan Danial saling memandang, seperti tidak memberi kesan kepada mereka.

"La tu je.." Danial selamba.

Jali datang kembali ke arah mereka. Dia terpaksa mendongak ke arah Danial, menunjukkan muka tidak puas hati.

"Apahal..." Jali menekan.

"Jali...ini antara kita orang dengan adik lu, tak ada kena mengena dengan lu...lu try bawa budak-budak lu tengok...lu mana ada kaki Jali...lu pun merempat dalam kumpulan gua la...ingat sikit la." amaran Danial kepada Jali.

Jali gumam.

"Dah lah, lu pergi bawa motor lu, jalan baik-baik eh...kereta banyak ni...takut accident pula nanti." Danial cuba mempersenda. Anas sekadar memperhati.

Jali beredar menghala ke motornya, kelihatan Amran diboncengnya.

Anas dan Danial memerhatikan gerak motor mereka...mereka sempat mengrem kuat ke arah Danial dan Anas, tanda tidak puas hati.

Seraya mereka memakai helmet, datang Cikgu Rahim menyapa mereka dari belakang.

"Malam ni datang rumah saya, kita berbuka sama." seru Cikgu Rahim.

"Alamak! tak bolehlah cikgu, kami dah janji nak berbuka dan qiam di Masjid Hulu Bernam sana." Anas menjawab.

"Ooo! kalau gitu tak apalah,bila-bila free datanglah rumah saya ya..."

"InsyaAllah cikgu."

Cikgu Rahim berpatah ke arah pintu pagar sekolah menuju ke parkir keretanya.


Tazkirah

Danial dan Anas mendapat kebenaran kedua ibu bapanya untuk bersama Che Read pulang ke kampungnya dalam Ramadan yang berbaki ini.


Kebetulan cuti sekolah sudah bermula. Mereka akan kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing sehari sebelum hari raya menjelang tiba.

Di dalam kereta Che Read, mereka berbual.

"Bang, semalam kami hampir-hampir bergaduh dek peristiwa kami kena buang hari tu." Anas memulakan bual.  


"Hilang tak pahala puasa kami bang?." tambahnya.


Sambil memegang steering kereta Gen-2nya, Che Read  membalas "Pahala...dosa tu urusan Allah, tapi kemarahan yang tidak terkawal itu boleh meluakkan pahala puasa...sebab puasa ni salah satu tuntutannya adalah bersabar..."

"Kenapa kau orang naik angin."


"Kita orang macam diperlekehlah bang.." Anas menjawab.

"Tapi lepas tu baru sedar puasa...itu pun kena perli bang." tambah Danial yang duduk di bahagian belakang.

"Memang bersabar tu nampak mudah, bila kita melaluinya baru terasa payah." jelas Che Read.

"Tak apa, selepas terlanjur kemudian beristighfar...insyaAllah Allah perkenan mengampunkan." tokoknya lagi.

"Cuba kau cerita sikit, macamana boleh jadi gitu."

"Kes kami dibuang bang...antara sebab utama selain rambut dan anting-anting...sebab thumb drive bang." Anas memberitahu.

"Memang kami dah bermasalah dengan penampilan kami, tapi ditambah dengan thumb drive tu terus kami sangkut."

"Kenapa dengan thumb drive tu?"

"Kawan kami yang nak pekena kami bang...thumb drive memang kami punya, tapi dipinjam si mamat kawan kami ni...lepas dia pulangkan,alih-alih ada spot check...biasa kami diberitahu, tapi tak untuk hari tu...apalagi kami pun kenalah bang...kami dikira bersubahat dengan menyimpan gambar porno bang...padahal kami tak tahu menahu pun...itu yang kami jaki kat mamat kawan kami ni."

"Inna lillahi..."

"Tak apa lah, benda dah berlaku...ada hikmahnya atas kafarah dosa kamu tu..."

"Kita qiam malam ni kat masjid kampung abang, panjatkan doa banyak-banyak untuk diri kita dan keluarga kita."

"Apa doa yang nak di baca bang?"

"Doa yang Nabi anjurkan bunyinya...اللَّهُمَّ إِنَّـكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي maknanya Ya Allah,sesungguhnya Engkau Maha Pengampun yang suka kepada pengampunan maka ampunkanlah aku."

"Lagi sekali bang?...lupalah pula."

" Tak apa, nanti abang tuliskan..." senyum Che Read melihat telatah mereka berdua.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

 

 


































1 comment:

  1. Mereka benar-benar ingin berubah, namun arus yang maha dahsyat perlu diredah. Moga mereka berjaya. amiin.

    ReplyDelete