Saturday, August 18, 2012

Lebaran Bermakna

Malam ini adalah malam lebaran untuk kesekian kalinya buat Mbah.

Tiada lagi terawih lapan atau dua puluh, yang sering ditelingkahkan setiap kali Ramadan menjelang.

Tiada lagi jemaah yang melimpah memenuhi masjid yang sanggup menanti sehingga habis witir baru melangkah pulang.

Tiada lagi kumpulan tadarus yang membentuk bulatan menghabiskan 30 juzuk al Quran sepanjang Ramadan.

Tiada lagi selingan tazkirah saban malam.

Puas sudah diingatkan agar istiqamah dalam ibadah yang dikerjakan kerana itu hikmah Ramadan.

 
Di rumah, Mbah ditemani Lubna dan Nu'man, menikmati takbir 1 Syawal dikumandangkan.

Hanya mereka tempat tumpahnya rindu Mbah setelah ketiadaan Mbah Wedhok dan Sayuti, anaknya.

Mereka juga meraih kasih sayang seorang datuk merangkap ibu dan bapanya yang telah meninggalkan mereka dua tahun yang lalu.

Mbah terus pulang ke rumah bersama Nu'man kerana ada tetamu yang akan datang berkunjung.

Persiapan lebaran kali ini ringkas sahaja.

Sekadar hidangan nasi himpit bersama kuah kacang, ayam masak merah dan sedikit rendang daging.

Kuih muih juga ala kadar sahaja. Apa yang penting kerepek ubi pedas kegemaran Mbah pasti dalam list hidangan.

Lubna mempersembahkan ramuan resepi ibu yang diperturunkan sebagai juadah hidangan.

"Lubna...udah-udah dulu.." seru Mbah.

"Ya Mbah, dah siap dah ni." jawab Lubna.

Kelihatan lampu kereta menyuluh ke arah laman rumah Mbah.

"Assalamualaikum.."

"Wa'alaikummussalam wbt." Nu'man menyahut.

"Oo..Ridhwan...masuk-masuk."

"Apa khabar Man..lama tak jumpa.." Che Read menghulurkan salam sambil memeluk erat Nu'man tanda ukhuwwah yang erat.

"Ini Danial dan ini Anas...budak yang aku ceritakan hari tu." Che Read memperkenalkan.

"Ya-ya...sila masuk." senyum Nu'man membimbing mereka ke dalam rumah.

Mereka di bawa ke ruang tetamu yang sederhana besar berlatar dekorasi nusantara. Lampu neon yang agak malap mewarnai kunjungan mereka.

"Assalamualaikum." Mbah memberi salam.

"Tetamu jauh yang jarang-jarang pulang." gurau Mbah yang dituju kepada Che Read.

Sambil menghulurkan salam dan berpelukan tanda kerinduan...mereka kembali duduk di kerusi jati beralaskan kusyen nipis khas dari Indonesia.

Nu'man meminta diri ke dapur menyiapkan hidangan buat tetamu.

"Man..Man..tak payah susah-susah Man, kami dah madang kat rumah tadi...kenyang lagi ni." adab orang yang bertandang tidak mahu dipersusahkan atas kehadiran.

"Itu kat rumah kau, rumah aku lain." jawab Nu'man tersenyum.

Mbah tersenyum sambil duduk di kerusi bertentangan dengan Che Read.

Mbah puas melihat Che Read, setelah ditarbiyyah dengan izinNya, dia berubah menjadi hamba yang taat dengan suruhanNya.

"Sihat kamu Ridhwan.."

"Alhamdulillah Mbah...Mbah sihat?."

"Alhamdullilah, beginilah seadanya..." Mbah tersenyum menampakkan giginya yang teratur segar.

Q & A

Mereka seronok bersembang tanpa menyedari Che Read harus membawa pulang Danial dan Anas kerana mereka berjanji akan pulang pada malam hari raya menjelang.

"Mbah.." Danial memotong.

Meraka juga menggunakan gelaran Mbah untuk memudahkan berkomunikasi.

"Ya Dani.."

"Kalau boleh Mbah beri kami sikit tips, macamana kami nak sambut hari raya nanti."

Anas mengangguk, setuju dengan soal Danial.

"Mbah bersyukur kerna kamu bersikap terbuka menerima perubahan...nasihat...lebih-lebih lagi kamu bisa keluar dari kepompong yang ada...bukan mudah tu...alhamdulillah."

"Begini...pertamanya jangan kamu kembali kepada kehidupan sosial yang maksiat seperti dulu...kumpulan motor kamu okay tetapi ubah kepada yang lebih bermanfaat...jangan ada gadis yang dibonceng...jangan ada lumba yang berbahaya...dan jangan habiskan wang saku kamu hanya sekadar menghabiskan masa pada yang sia-sia."

"Anas Mbah...selalu buat tuh.." Danial menuding ke arah Anas.

"Wei!...Aku pula?" Anas terkejut.

Mbah tersenyum dan melanjutkan.

"Esok...sunnahnya, bersihkan tubuh dahulu...mandi...pakai pakaian yang cantik tetapi tidak semestinya baru, yang terbaik bagi kamu."

"Baju macam ni boleh tak Mbah." Anas menunjukkan t shirtnya yang bertulisan Inggeris.

"Jauhkan pakaian yang bertulisan...harusnya yang plain...kosong."

"Kemudian makanlah sedikit sebelum bersolat sunat Eid al Fitr."

"Bukan sikit Mbah, kami perabih.." sengeh Anas, spontan.

Mbah tergelak kecil melihat aksi Anas yang mengembangkan mulutnya tanda makan banyak.

"Takbir...agungkan kalimah Allah sehingga solat hari raya." sambung Mbah.

"Berucaplah tahniah...taqabballahu minna wa minkum... maksudnya semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua...atau ucapan apa-apa yang baik."

"Ucapan selamat hari raya, maaf zahir batin tu bolehlah Mbah?" Anas bersemangat untuk bertanya.

"Ya, ianya baik...boleh..."

"Tapi ada orang kata, zahir je...batin mana ada kena mengena..." Anas bertanya, memaknakan sesuatu yang lain tapi malu untuk meluahkannya secara jelas.

Mbah seakan faham sambil mengurut-ngurut janggutnya yang bercampur warnanya, antara putih dan hitam.

"Ya...batin itu konteksnya luas...bukan hanya persentuhan antara lelaki dengan perempuan semata...kamu faham bukan.." tanya Mbah sambil merenung Anas dan Danial.

"Malah, soal batinlah yang paling patut didahulukan...kerna terkandung masalah hati...penyakit hati sesama manusia...hasad dengki sesama manusia...dendam kesumat...kesemuanya itu adalah batiniah...maka seharusnya kita pohon maaf atas itu...mengerti?" Mbah menekan lembut.

"Nah...yang ini harus diungkapkan ketika memohon maaf...agak sukar...tetapi itu yang menepati..."

"Maksudnya Mbah...kita kena cakap apa salah kita kat orang itu..." soal Anas.

"Ya..itu yang paling tepat...bukan sekadar...kosong-kosong.." Mbah merespon.

"Pehh!...payah tu Mbah..." Danial berkerut.

Mbah senyum dan mengangguk.

"Nah! Akhirnya pergi dan balik ke masjid pada jalan yang berbeza...dan yang terbaik berjalan kaki." Mbah menokok.

"Naik motor tak boleh ke Mbah.." Danial teruja menanya.

"Ya boleh...berjalan kaki itu yang terbaik...sunnahnya." jawab Mbah sambil menghirup sedikit kopi panas yang tersedia di atas meja.

Lebaran Bermakna

Di dalam kereta, Anas agak kelu seperti memikir-mikir sesuatu.

"Lu apasal?" tanya Danial.

"Ntahlah, wa tak tahu nak kata...banyak benda wa fikir..." Anas menjawab agak kesah.

"Wa pun macam tu gak, raya tahun ni, lain gila..."

Che Read tersenyum melihat reaksi mereka sambil melayan laungan takbir berkumandang di radio.

"Balik nanti kirim salam pada keluarga, abang akan balik semula ke kampung selepas solat hari raya di Masjid Tanjung Malim." Che Read mematikan lamunan mereka.

"Bang, terima kasih banyak-banyak bang...banyak yang abang dah bantu kami...tapi kami masih perlukan bimbingan abang.." rayu Danial.

Anas mengusap-ngusap kepala.

"InsyaAllah, apa yang termampu abang akan bantu...dah memang itu tanggungjawab abang." Che Read memberi kepastian.

"Sudahlah Anas, kamu terkesan dengan laungan takbir ni tak..tu yang jadi tak ketahuan tu." Che Read bergurau.

"Ya lah bang...sedih pilu...macam nak menangis pula." balas Anas.

"Apalah lu...tak rock langsung." Danial menolak bahu Anas yang sedang melayan emosinya.

Che Read sekadar tersenyum dan mengharapkan lebaran yang mereka lalui kali ini memberikan makna yang mendalam kepada mereka.



Azhan Rashid
Amma, Jordan


madang - makan malam








1 comment:

  1. Sememangnya lebaran ini maknanya mendalam buat mereka..

    ReplyDelete