Saturday, July 28, 2012

Ramadan...'Saka' Bermaharajalela

Gambar hiasan
Senja hampir menjelang tiba.

Waktu pejabat kakitangan kerajaan diawalkan dalam bulan Ramadan.

Satu kelegaan bagi yang sudah berumahtangga, namun bagi yang bujang ia semacam bonus masa.

Che Read mengemas-ngemas fail yang ada di atas meja, ingin bergegas awal ke bazar Ramadan Taman Wangsa Jaya berdepan dengan Pasaraya Billion.

"Nak beli apa yek?" tanya hati Che Read.

Tinggal dia dan Farah, salah seorang pegawai di jabatannya, yang lain sudah membawa haluan masing-masing...mencari juadah berbuka puasa mungkin.

"Eh! awak tak balik lagi ke Farah."

"Sekejap lagi kot...tunggu Liza kat bangunan akademik...kita orang nak pergi sekali ke bazar Ramadan..." jawab Farah.

"Che Read tak ke bazar ke? tanya Farah.

"Nak pergi juga ni, tengah kemas-kemas meja sikit." Che Read sedikit teragak-agak.


"Nah! ni ada sikit info pasal Ramadan." sambil memberi helaian hijau kepada Farah.

"Ooo...terima kasih... Check List di Bulan Ramadan...eh! ni macam menyindir saya je ni." Farah tersenyum membelek helaian yang diberi.

"Opps! saya tak berniat nak menyindir, ada lebih, saya bagilah kat awak...apa yang kurang kita tambah, yang dah baik kita tambah-tambah lagi." Che Read membalas.

Dengan helmet full face dan jaket kulit hitamnya, dia melangkah keluar pejabat.

"Assalamualaikum." sempat dia memberi salam.

Farah menjawab salam di kejauhan.

Pernah beberapa kali cubaan untuk dimatchingkan antara Farah dengannya. Tapi banyak kali ditolak Che Read.

"Entahlah, aku rasa tidak sesuai dengan dia..."jawapan yang selalu di beri bila disoal berkenaan Farah.

Farah bukan gadis yang tidak mempunyai rupa, malah boleh dikategori Top 5 UPSI... ramai yang tergila-gila...tapi dia tiada berkenan dihati.

Bagi Che Read, nilaian berkenan itu abstrak.

"Harap-harap ada perubahan..amin." sambil menghidupkan enjin motor Honda Wave Dash SEnya.

Memang Che Read sengaja menghulurkan helaian info Ramadan tadi kepada Farah.

Biar dibaca...biar dicari mana yang salah...biar ada keluh kesah mencari jalan yang terarah.

Peristiwa @ Bazar Ramadan

Bazar Ramadan sudah dikunjungi ramai.

Di celah-celah rumah Taman Wangsa Jaya  diparkir motorsikalnya.

"Kat sini je lah...dekat sikit." getus hatinya.

Dalam perjalanan menempuh manusia banyak, Che Read hanya terliur ke gerai murtabak.

"Aku nak belanja RM5 sahaja, tak boleh lebih." tekad Che Read.

"Cukup la hari ni dengan murtabak...lepas tu cari lauk ayam masak sambal sikit...lain-lain tu kat peti ais ada lagi...cukuplah" bisik hatinya.

"Murtabak daging satu.."

Nampak si penjual mengangguk...tanda faham.

Ramai lagi yang menunggu...beratur menanti pasanan siap.

Selang tiga minit..."Bang...murtabak ayam abang." anak si penjual menyerahkan bungkusan.

"Maaf dik, saya punya daging..."

Berubah wajah anak si penjual.

"Abah! abang ni daging bah, bukan ayam"

"Daging lambat sikit bang...sebab kat sini semuanya  ayam...10 minit lagi boleh bang? Sorry bang ya" soal si penjual.

Sudah menjadi adab, Abang menjadi panggilan hormat walau rupa dan gaya ketara berbeza.

Sejuk mendengar ucap maaf.

"Emm...ok lah." Che Read agak lambat menjawab.

Che Read menelek-nelek jam di tangan, masih punya waktu senggang.

Dia lari ke penjuru gerai lauk-pauk, mengelak asap yang menusuk hidung.


Sambil menunggu murtabaknya siap, terserempak Che Read dengan Farah rakan sepejabatnya yang diberi helaian hijau tadi.

Che Read tersenyum.

Farah berdua dengan rakannya, Mazlina.

Mereka tersenyum, membalas.

Mereka menegur..."Dah habis membeli?"

"Tengah tunggu.."Che Read menjawab sambil menunjukkan arah jari telunjuk ke gerai murtabak.

Dia cuba melarikan pandangan secepat mungkin, mengelak dari terjerumus dalam golongan puasa orang awam.

Dia ingin berada setidak-tidaknya dalam golongan pertengahan, puasa orang khawas...yang menjaga pandangan, pendengaran dan perbuatan.

Mereka berdua yang berpakaian ala pramugari MAS berlalu melewati gerai-gerai makanan yang lain.

Orang yang datang semakin ramai. Bak semut mengerumuni gula. 

Waktu-waktu inilah pahala dan dosa bergantung pada iman di dada.

Berhimpit-himpit dalam kesibukan, atas alasan meninjau-ninjau makanan...ada juga pemangsa yang cuba mencari habuan walau diketahui ini bulan Ramadan.

Che Read perasan banyak mata yang memandang dua wanita berkenaan, mereka seakan model yang sedang berjalan di atas pentas memperagakan pakaian rekaan terkini pereka tempatan...dalam pada memperaga kebarung idaman,rupa-rupanya ada yang sedang mengambil kesempatan.

Mereka, Farah dan Mazlina mencuri tumpuan.


Di celah-celah selitan manusia, Che Read seakan terarah kepada sosok yang mencurigakan.

Gayanya semacam budak umur belasahan,mundar-mandir dengan seorang rakan.

Gelak-gelak mereka seakan ada suatu yang tidak kena.

"Ahh!" terdengar jeritan dari arah gerai air buah-buahan.

Memang ramai sekali orang menunggu disitu kerana airnya special yang gerai lain tidak jual.

 "Woi...woi...woi..." entah suara siapa.

Sah! muncul budak yang diperhati Che Read tadi keluar dalam kesesakan.

Terdengar bunyi suara gerai sebelah "Dah ada yang kenalah tu.."

"Oh! ada modus oprandi sulit ni." monolog Che Read.

Kelihatan Farah dan rakannya, Mazlina ke arah budak berdua tadi.

Che Read tidak jelas,tapi dia terpanggil untuk mendekati.

"Kenapa Farah?"

"Budak ni ha...buat benda tak senonoh." Farah menjawab penuh marah.

Mazlina mengangguk tanda setuju.

Orang ramai berkerumun menyaksikan.

Budak berdua tadi seakan khayal tanpa segan silu tergelak tanpa mempedulikan ramai yang memerhatikannya.

"Buat apa? hah...cakap,cakap...kita orang buat apa." mereka ketawa lagi.

Farah seakan teragak-agak untuk menjawab, "Ishh!.......kau orang me..meraba." berkerut muka Farah, merah padam.

Mazlina pula seakan terkedu.

"Laa, ada luak ke minah." budak berambut perang dengan selamba menjawab.

"Cis! kurang ajar." Farah mengangkat tangannya seakan ingin melempang budak yang berambut perang, menampakkan keputihan lengannya.

Che Read menunduk...istighfar.

"Hah! lempang-lempanglah...tadi saya yang pegang, nah! lu pegang pulak pipi gua yang halus mulus ni,' mereka makin tergelak sakan.

Che Read mencari pertimbangan.

Terasa diri tidak kuat...mulut pula seakan pucat...denyutan jantung makin menguat.

"Bro...bro meh kita ke sana jap." ajak Che Read ke penjuru tembok sebuah rumah yang agak lengang.

Disuruhnya Farah dan Mazlina beredar menyelesaikan yang belum sudah.

Disuruhnya juga orang ramai yang sakan menonton filem pendek tanpa edit tadi bersurai.

"Apahal lu." budak bertindik di telinga mendengus.

"Lek la bro...lepak la kat situ jap...sekejap je."Che Read menyerap bahasa mereka...seakan ada sedikit kekuatan untuk betindak wajar.

"Hah! apahal.." sombong si rambut perang.

"Gini...apa yang kau orang buat ni, sampai satu bazar kecoh." Che Read cuba menegur.

"Apa lu kisah...lu bapak gua, abang gua...blah lah." budak berambut perang berlagak samseng.

"Mestilah aku kisah, budak perempuan tu tadi adik aku...kau orang tahu ke?" Che Read memudahkan kisah.

"Hah! jambu siut adik lu...nak jadi ipar lu lah."si bertindik telinga pula membuat lawak.

"Oh! abang, terimalah aku sebagai adik iparmu." mereka semakin melampau.

Budak-budak itu tadi seakan berada di alam luar sedar.

Tengah Hi.

Cara percakapan mereka tidak ada filter langsung.

Che Read mencari kaedah mudah untuk solusi.

"Ok..boleh-boleh...meh lah datang meminang...sekarang lagi bagus."

"Hah! kat mana rumahnya...tak sangka abang iparku sempoi." mereka tergelak.

"Ala senang je...tahu tak bangunan niaga MARA, depan dia je rumah kita orang."

"Depan bangunan niaga MARA eh...sebelah dia bomba kan?"

"Ha! betul la tu." pantas Che Read.

"Depan balai bomba tu...masjid... sebelah dia...balai polis...balai polis tu la depan banngunan niaga MARA..."

"Hah! betul lah tu...jom ikut saya...kita settle balai."

"Wo..wo..wo...lu cerita apa...bulan-bulan puasa ni nak sumbat gua kat balai pula...apa hal.'

"Eh! tahu pula sekarang bulan puasa...yang kau orang buat tadi tu tak ingat pula bulan puasa...jom!"

Entah kekuatan dari mana Che Read dapat, dia mencengkam lengan baju budak berambut perang tadi untuk bergerak.

Berkebetulan dengan memakai jeket kulit hitam, Che Read nampak sasa, ditambah dengan ketinggian yang sama sekali tidak sama dengan orang-orang biasa, sedikit menjentik kegerunan kepada kedua budak jalanan tadi 


"Ok..ok..bang...lek lu bang...lek lu bang..." gentar si budak berambut perang tadi setelah cuba dicekak Che Read.

Kelihatan Che Read sudah menguasai keadaan.

"Balai la senang...nanti bapak kau orang boleh jamin.."

"Bang...kita orang suka-suka je...dah memang sempit lorong tadi bang, kebetulan pula tu jambu...apa lagi bang...pekenalah"

Mereka seakan kembali waras. Lebih-lebih lagi si berambut perang.

"Kau orang puasa tak hari ni?"

"Emm, niat dah bang...tapi tak bangun sahur...tak tahan la bang..."

"Sekolah kat mana?"

"Tu je bang...Khir Jo.." sambil menudingkan jari telunjuk ke arah jalan.

"Tapi dah kena gantung 2 minggu." tambah si budak berambut perang.

Che Read menggeleng, tidak mahu memanjangkan bual, tapi cuba memberi pesan.

"Kamu ada kakak perempuan tak?"

"Saya ada, dia tak ada." jawab si telinga beranting-anting.

"Kamu suka ke adik atau kakak kamu kena raba?"

Tunduk tanda tidak suka.

"Kamu tahu tak yang kamu raba tadi tu kakak orang lain...mungkin adik orang...dia orang suka tak agaknya kamu buat macam tu? Che Read menekan.

"Kita belum selesai lagi..,jom ikut buka puasa kat rumah abang."

Mereka berdua seakan enggan mengikut, tetapi balik ke rumah masing-masing pun penuh dengan seribu satu masalah...lalu mengiyakan kemahuan untuk menurut.

Iftar @ Rumah Che Read

Lima belas minit sebelum berbuka.


Mereka berkumpul menghadap makanan. Daripada dua orang budak samseng di bazar Ramadan tadi, kini menjadi dua budak yang tunduk yang inginkan curahan pengetahuan.

"Kenapa agaknya, kita boleh berbuat kejahatan sewaktu bulan puasa, sedangkan syaitan dibelenggu pada bulan Ramadan ni."

Si berambut perang menggaru-garu kepala yang tidak berkutu, si bertindik telinga pula memegang-megang hidung seakan memicit jerawat batu.

"Sebab ada saka." respon Che Read.

Mereka berdua terperanjat.

"Abang biar betul bang...macam cerita hantu je bunyi."

"Ya lah...saka yang kita tahu hantu lah kan?...saka ni asalnya dari nenek moyang yang menggunakan bantuan makhluk ghaib bagi membantu mereka menguruskan kerja-kerja pembukaan tanah baru yang penuh dengan pokok-pokok besar yang susah nak ditebang jika hanya mengunakan kudrat manusia semata, tak mampu ...sebab itu bantuan diperlukan."

Mereka mendengar dengan penuh khusyuk.

"Cuma masalahnya bila si pemakai tadi ajalnya sudah sampai, makhluk ini bertukar tangan...anak-anak atau cucu-cucu merekalah tempat menjadi tumpang...dia dah tiada, tapi  makhluk tu tetap ada sebab punya tempat yang baru untuk hidup."

"Apa kena mengena dengan bulan Ramadan ni?...Ramadan, syaitan tiada, tapi nafsu tetap ada...nafsu tu lah yang dikatakan saka  si syaitan ni..."

"Yang kamu buat tadi adalah saka si syaitan yang telah berjaya menguasai nafsu kamu untuk melakukan kejahatan."

"Habis tu macam mana nak buang dia bang...rasa lain lah pulak ni...macam ada benda dalam badan ni.."tanya si bertindik.

Disambut gelak si rambut perang.

"Caranya dengan dekatkan diri dengan Allah, selalu bersama dengan orang-orang alim, selalu mengisi ruang  senggang dengan pengetahuan agama, amalkan selalu membaca al Quran dan banyak lagi...InsyaAllah boleh berubah..."

"Allauakbar...Allahuakbar..."

Laungan azan berkumandang.


"Jom! buka...dah azan...Allahumma..." Che Read mengambil inisiatif mendekatkan diri dengan mangsa-mangsa saka ini.

Jika dibiar, mereka tetap tidak berarah.

Mujur mereka menurut.

"Harap-harap mereka berubah." doa Che Read di dalam hati.



Azhan Rashid
Amman, Jordan




      















1 comment:

  1. Amiin..mudah=mudahan mereka berubah, mungkin lebih baik daripada Che Read.

    ReplyDelete