Friday, July 20, 2012

Dulu Aku Begitu, Kini Aku Begini

Masjid Tanjung Malim
Sejurus zikir dan doa dipanjatkan oleh imam, Ridhwan atau nick namenya Che Read melangkah perlahan menuju ke kawasan belakang beranda masjid yang baru diubah suai oleh pihak masjid Tanjung Malim.

Dulu lantainya hanya simen.

Kini lantainya bertatahkan tiles yang menarik.

Dulu silingnya hanya zink.

Kini atas sumbangan banyak penderma, pihak pengurusan masjid memperbaiki mutu penampilannya dengan siling plaster atau siling kapur yang sangat molek.

Terasa lega dan dingin apabila berpijak di varandah luar masjid yang luas dek pengubahsuainnya yang terkini.

Che Read mengambil port menghadap keluar, membelakangkan kiblat dan bersandarkan kepada tiang seri masjid sambil berlunjur kaki.


Dia sekadar mengangkat tangan kepada rakan-rakan sepejabat seakan tidak mahu diganggu seketika...sekadar mahu menarik nafas lega.

Mulutnya berkumat kamit...berzikir.

Melontarkan pandangan mata ke seberang jalan masjid...kelihatan remaja cina sedang bermain bola keranjang di gelanggangnya, di sebelah kirinya bangunan niaga Mara manakala di kanannya Balai Bomba Tanjung Malim dan nun di sudut yang agak terpencil, tidak tercapai dek penglihatan mata kasar...gerai makanan Abu Ya, gerainya simple tetapi popular dikalangan student UPSI...ramai pelanggannya, lebih-lebih lagi waktu tengahari.

Sambil mengulit-ulit tasbih pendeknya, Che Read menyeluk keluar handphonenya...menelek-nelek mesej yang  mungkin masuk kerana telah disilentkan sewaktu solat berjemaah tadi.

"Ada mesej..." getus hati Che Read.

Ahlan Ya Ramadhan...moga tarbiyyah daripada madrasah Ramadhan berjaya mendidik diri sebagai insan yang berilmu dan beramal dengan penuh keikhlasan.

Sender yang tidak diketahui.

"Aku tak save nombor ni kot...tapi siapa ya?" fikir Che Read. 

Flashback 


Dilepaskan sahaja fikirnya melayang dengan mesej itu.


Dulu, mesej yang sampai tidak seperti ini.


Wats up bro! esok nak pose dah nih...jom pi uptown malam ni...sebulan kita cuti nanti bro..amacam?

Dia pasti membalas...


Wa ok je bro...

Menghabiskan masa, melempiaskan nafsu  yang tidak terhingga sempena menyambut Ramadhan yang bakal tiba.

Duit tidak cukup tidak mengapa...donate setiap seorang penutup acara.

Solat sunat tarawih ditinggalkan dengan alasan "Alah sunat je bro!.."

Sahur itu pun mujur, selalunya makan tengah malam dianggap sahur...dan Subuh selalunya terkubur.

Gitar menjadi penghibur lara, orang bersolat tarawih, dia sibuk berkaraoke.

Al Quran sekadar perhiasan, tidak dijadikan sebagai perisai dalaman. Khatam al Quran sekali cukup, langsung ditinggalkan.

Rokok amalan yang sukar direnggang, berbuka puasa dengan rokok sebatang sudah cukup, kurma sentiasa terkebelakang, kadang-kadang tidak dipandang.

Tiada yang menghalang anak tunggal  kepada ibu tunggal, Puan Kamariah Othman.

Ibunya seorang yang sangat aktif berpersatuan mahupun berpolitik. Demi mempertahankan daulat bangsanya, dia bisa terlupa dengan anaknya.

Terdengar sekali dek telinganya (Che Read)..."Dia ni cakap je berdegar, anak sendiri entah ke mana."

"Ini menyindir aku nih! apa aku tak ok ke, ok la ni.." monolog Che Read memasuk bakulkan dirinya dan mengangkatnya sendiri.

Che Read selamba, buat tidak tahu sahaja.

Siapa tak kenal Puan Kamariah Othman, wanita besi Kampung Tengah...sekali bersuara sehingga ke pejabat SUK negeri pasti berwaspada.

Cuma tika bertemu Nu'man rakan sekolah rendahnya di suatu petang di Warung Pak Leman, satu turning point ...dia mula berubah.

Entah bagaimana dia boleh berlembut hati mengikut Nu'man untuk berusrah di Masjid Kampung Tengah.

Ternyata Nu'man punya karisma...dia dibawa berusrah bermurabbikan Mbah.

Che Read mula berubah.

Mereka (Che Read dan Nu'man) berpisah setelah memilih sekolah berasrama, Nu'man ke Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, manakala dia ke MRSM Melaka Tengah. Seterusnya Nu'man ke UM manakala dia ke UiTM.

Tarbiyyah, di UM dan UiTM ternyata mempunyai jarak. Mereka berperwatakan bijak dan segak namun mempunyai jurang yang melebar berkenaan akhlaq.

Berkat usrah di masjid, Allah SWT memberinya hidayah, terbuka hati dan mula mengenali akan kebejatan ummah.

Sungguh!  U-turn yang dipilihnya itu tidak salah.

Ibu Berperang

Namun perubahan diri Che Read diperhati ibunya.

Ibunya menyelidik akan perubahan dirinya. Ditanya rakan-rakan dan jiran sekampung, akhirnya dia dikenalpasti berubah disebabkan menyertai usrah di Masjid Kampung Tengah.

Ibunya berang tidak terkira lalu ke rumah yang pasti tidak salah ditujui...rumah Mbah.

"Assalamualaikum..." keras suara ibu.

"Walaikummussalam.." jawab Mbah Wedhok.

"Nopo toh! kamu Siah...udah nampak tidak keruan saja...monggo-monggo...naik-naik...silakan."

"Tak payah, mana si Pak Lutfi...saya nak cakap sikit."

"Lo..ya sebentar, tengah bersolat sunat di dalam...naik dulu toh.."

Ibu mengeleng-geleng, tanda tidak mahu.

"Ya ada apa Kamsiah, nopo toh." Mbah muncul.

"Ni Pak Lutfi, saya nak kabo kat Pak Lutfi...lepas ni jangan pandai-pandai mengajak anak saya ber...ber...apa ke namanya...yang kat masjid tu apa.."

"Usrah.."

"Ha! usrah...lepas tu jangan suruh-suruh dia pasang-pasang bendera kat tiang-tiang semua tu..saya tak benarkan dan saya tak suka...ni gara-gara Pak Lutfilah , dia berperangai pelik kat rumah...biasanya dia tak macam ni."

Mbah Wedok tersenyum sambil memandang Mbah Lanang.

"Oh yang itu, tidak ada masalah...tapi yang memasang bendera di tiang-tiang itu bukan saya yang menyuruh, tapi dia sendiri yang berkehendak...tiada paksaan."

"Dah pandai nak membangkang-bangkang..."bebel ibu.

"Saya tidak pernah menyuruh Ridhwan menyanggah kamu , Kamariah."

"Asyik-asyik saya saja yang salah...dulu tak macam tu pun...Pak Lutfi lah yang ngajarnya...saya suka anak saya yang dulu...bukan yang sekarang..."

Mbah Wedhok tersenyum lagi.


"Ridhwan berubah tiga ratus enam puluh darjah...jauh sama sekali dengan Ridhwan yang dulu...jauh sama sekali, saya tidak suka.."ibu mengetap bibirnya, tanda geram.

"Kamariah...kalau dulu anak kamu merangkak-rangkak membaca al Quran, kini dia sudah lancar...kamu tidak suka?...kalau dulu solatnya tidak terjaga, kini sudah sempurna...kamu tidak senang?...Kamariah! mahu kamu nanti bila sudah dijemput Allah diimami anak kamu Ridhwan?"

"Itu saya punya suka."pantas ibu.

"Nah! jika Ridhwan yang dulu yang kamu inginkan, saya khuatir dia akan lari dari mengimami jenazah kamu, atau mungkin dia bisa tersalah untuk mengimami jenazah kamu...padahal dialah yang paling afdal untuk mengimami kamu...dia juga tali  hayat kamu ketika di alam barzakh sana.." jelas Mbah.

"Ah! Pak Lutfi saya tidak kira, yang saya tahu, Pak Lutfi jangan ganggu lagi hidup kami...Ridhwan." sambil berjalan menuju mercedes kompressornya.

Mbah Wedhok memandang Mbah Lanang.


"Astaghfirullah..." Mbah tenang.

Kereta ibu meluncur laju keluar daripada halaman rerumput hijau rumah Mbah.

Ayam-ayam di laman Mbah hampir dilanggar kereta mercedes ibu dek keberangan.

Keesokkan harinya, Mbah memberitahu Che Read akan pokok cerita.

"Saya tidak peduli Mbah, saya rasa saya dah benar...saya nak tambah ilmu lagi...saya dah banyak terlanjur."tekad Che Read.

"Taat kamu kepada ibumu masih ada, kendurkan amarah jika kamu bercanggah, biarkan tugasnya...hidayah itu ditangan Allah."Mbah mencerah.

Che Read mengangguk bersetuju.

Tersentak Dari Lamunan

"Woi! jom masuk pejabat...jauh menung." tegur rakan sepejabat Che Read.

Che Read tersenyum sambil mengangguk.

Rakannya memberikan tangan untuk Che Read bangun pantas.

"Aku tengok kat akhbar online tadi, ramai artis-artis perempuan la ni dah bertudung..."sembang rakannya sambil berjalan keluar.

"Emm...baguslah, doakan diaorang istiqamah."

"Ada yang dah isi borang masuk parti politik pulak tu."tambah rakannya.

Che Read tersenyum.

"U turn bro...dahsyat-dahsyat." kagum rakannya.

"Aku pun dulu begitu juga...aku pun boleh dikategorikan dahsyat lah juga..."bicara hati Che Read. Tersenyum sendiri sambil melangkah keluar meningalkan ruang beranda masjid.

Dulu aku begitu, kini aku begini.


Azhan Rashid
Amman, Jordan





"









.



 



1 comment:

  1. Moga yang kini kekal dan bertambah, amiin.. Terbaiiiik!

    ReplyDelete