Monday, January 28, 2013

Ditelan Mati Ibu, Diluah Mati Bapa

Asar itu agak mendung. Awan-awan gelap memayungi sekitar. Belum ada rintik-rintik air dirasa. Jemaah di masjid pula hanya dipenuhi tidak sampai sesaf penuh. Mbah mengambil tanggungjawab menutup rapat semua tingkap dan pintu masjid agar tidak kebasahan jika hujan turun sambil dibantu oleh seorang anak muda. Kelibatnya seperti dikenali.

"Mbah!" Sapaan lembut dari pemuda itu.

Mbah cuba mengecam.

"Subhanallah, Ridhwan. Kamu pulang ke kampung. Mbah hampir tidak mengenali kamu. Mengapa dibotak rambutnya." Tersenyum sambil tangannya dicium oleh Ridhwan.

Ridwan tidak menjawab.


"Yok! Ke penjuru sana, kita sembang...atau kita ke rumah, Lubna ada, boleh kita mengeteh petang ini." Ajak Mbah sambil memimpin tangan Ridhwan.

"Lubna ada...dekat sini sahajalah Mbah. Malulah saya."

"Sejak bila pula kamu malu-malu ini...ayuh! Jangan menolak. Banyak perkara yang boleh dibincangkan." Tangan Ridhwan ditarik rapi. Serba-salah Ridhwan dibuatnya.

Pintu utama masjid ditutup rapat. Begitu juga pagar kecil di berandanya. "Kamu terus ke rumah ya...Mbah tunggu."

Mbah hanya mengederai motosikal lamanya Honda EX5.  Ridhwan pula menyusuli dengan memandu kereta Proton Pesona-nya.

Perlahan panduan Ridhwan mengekori motosikal Mbah. Jalan tar yang kecil, dahulunya denai kecil, yang kalau hari hujan lebat, habis tenggelam jalan dan pasti hari itu hari cuti sekolah tidak rasmi. Seronok.

Kirinya pula parit yang tenang airnya, seperti tidak mengalir, tetapi alirannya menembusi hulu laut sana. Tenteram rasa melihat pohon-pohon hijau yang rendang. Masih boleh mengimbau kenangan di sebalik tanah-tanah yang berlalang tebal.

Ridhwan memutar semula kenangan lamanya di kampung.

***

"Yok! Ke dalam, sebenarnya di luar lebih enak, tapi hujan bakal turun. Tempias nanti." Aju Mbah menjemput Ridhwan. Dia hanya mengangguk.

"Bagaimana kamu Wan, sihat?" Mbah meletakkan kopiahnya di meja sisi. "Lubna! Buatkan kopi-nya ya."

"Alhamdulillah Mbah, saya sihat. Mbah?"

"Beginilah Wan, orang tua, sengal sana sini biasa." Senyum Mbah menjawab.

"Bagaimana keluargamu Wan, sihat ya."

"Alhamdulillah, sihat semuanya."

Terdengar suara Lubna dari arah dapur memanggil. Mbah pantas bangun menuju ke arah dapur. "Sebentar."

"Kenapa kamu botak Wan? Atau kamu baru pulang dari umrah." Sambil Mbah menghidangkan ole-ole petang kepada Ridhwan.

Ridhwan tersengih mendengar kata-kata Mbah. "Tidaklah Mbah, sengaja botak. Gatal kepala."

"Atau mungkin terlalu banyak perkara yang difikir." Mbah meneka. Seakan mengerti apa yang tersirat.

Ridhwan menghela nafas. "Entahlah Mbah, ada banyak yang berserabut di kepala saya."

"Apa dia Wan, kalau Mbah boleh berkongsi." Mbah menenangkan.

Air kopi panas diteguk. Berat untuknya menjelaskannya kepada Mbah. Cerita yang diberitahu Pak Ngah tempoh hari memberi kesan kepada emosinya. Tidak tenteram. Cerita yang membabitkan Mbah dan keluarganya. Adakah benar seperti apa yang diceritakan? Pak Ngahkah benar? Mbahkah angkaranya? 

"Mbah! Maaf jika saya agak tidak sopan..." Diam seketika. "Saya ada suarakan hajat saya untuk menjadikan Lubna surihati saya kepada ibu."

Mbah tenang. Reaksinya bersahaja. Seperti sudah dapat membaca. "Lantas."

"Ibu tidak setuju, malah Pak Ngah pun ada bercerita." Ridhwan cuba bertindak rasional dalam gementar.

"Apa yang diceritanya Ridhwan."

"Apakah benar Mbah berniat buruk terhadap keluarga kami? Sehingga kematian ayah saya juga dikaitkan dengan Mbah." Ridhwan meminta kepastian. Dia ingin meleraikan emosi yang berkecamuk di dalam kepalanya. Boleh sahaja dia membenarkan sahaja cerita Pak Ngah. Tetapi dia masih waras untuk menilai, apatah lagi ia mengaitkan Mbah yang mengembalikannya dia daripada dunia gelap kepada dunia putih. Dia harus mendapat penjelasan. Kisah berkenaan darah daging dan pembimbing.

"Astaghfirullah...Mbah bersyukur kamu bertindak waras. Mencari kebenaran dengan meminta penjelasan." Mbah cuba meredakan emosi Ridhwan. Perlahan dia menuturkan kata. Di dapur, Lubna mencuri-curi dengar.


***
"Luthfi! Ingat sini. Aku tidak mahu engkau meneruskan rancangan pembangunan pondok kau itu. Aku banyak kenalan di pejabat daerah. Kalau kau teruskan juga rancangan kau itu, kau akan berhadapan dengan pembaziran dan macam-macam lagi." Datuk Malik  dengan angkuh memberi amaran kepada Pak Luthfi (Mbah) sewaktu berada di ladang ternakan kambingnya.

"Datuk, apa salahnya dengan pondok ini. Ini sumbangan saya kepada masyarakat, tidak ada kena mengena dengan politik." Mbah mempertahankan pendirian.

"Kau jangan hendak temberang dengan aku. Sudahlah masjid engkau sibukkan dengan kuliah yang memekik-mekik, ini pula dengan pondok agama. Engkau sengaja hendak sebarkan ideologi kolot agama kau itu bukan?" Terbeliak mata Datuk Malik membalas.

"Datuk mahukah anak cucu akan datang hidup berkeliaran, mundar-mandir penuh dengan hiburan, leka dengan dunia tanpa agama? Namanya Islam, tapi hidup karam dan tenggelam. Datuk, saya hanya ingin berdakwah." Mbah cuba berlembut.

"Kalau aku beri laluan kepada engkau, bererti aku menyangkul tanah kubur aku sendiri. Karier aku sebagai ahli politik akan punah. Lihat! Dengan hanya tazkirah engkau itu sahaja, masyarakat sudah mula berpecah. Ini haram, itu haram...apa semuanya ini?"

"Yang benar saya kata benar, yang salah, pasti saya katakannya salah..."

"Kenapa ustaz-ustaz kami tidak pernah mambantah, kalau benar engkau katakan itu salah. Cuba engkau jawab."

"Allahua'lam, saya hanya pegang kepada amanah ilmu. Saya tidak punya kepentingan, tidak punya ganjaran apa-apa. Apa yang penting, ilmu itu saya sampaikan."

"Oh! Kau mendakwa ustaz-ustaz kami tidak amanahlah. Tinggi sangatkah ilmu engkau."

"Saya pinta Allah jauhkan saya daripada penyakit-penyakit hati."

"Sudahlah...aku sudah beri peringatan, terpulang kepada engkau."

Datuk Malik berlalu pergi dengan kereta four wheel drive-nya. Mbah memandang sayup deruan kereta keluar dari  kawasan ladangnya.

Mbah meneruskan usaha pembangunan pondoknya. Banyak yang menyumbang, baik keringat mahupun yang berbentuk wang. Usahanya berjaya. Dalam pada itu Mbah juga berjaga-jaga, jikalau ada yang membuat onar semasa pembikinan pondok barunya.

Jumlah permohonan untuk memasuki pondoknya mendapat sambutan menggalakkan. Seminggu berganti sebulan. Perjalanan pondoknya amat menggalakkan. Dibantu bekas santri-santri Mbah dari Pesantren Gontor yang memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak tempatan. Mereka sangat tekun.

Tepat dua belas malam bulan ketiga beroperasi pondok itu. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat. Api marak sehingga habis membakar asrama putra. Mujur pelajar-pelajar kesemuanya pulang ke kampung, bercuti hujung minggu. Yang ada cuma tiga orang guru pondok yang berkebetulan masih belum tidur. Mereka hanya sempat  menyelamatkan barang-barang yang dapat dicapai sahaja. Dek kerana bangunan pentadbiran, asrama dan kelas pengajiannya pada satu tingkat yang sama, maka kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan pondok Mbah. Pondok Al Huda.

Hasil siasatan polis, kebakaran ada unsur-unsur anarkis.Mbah pasrah. Dia teringat dengan kata-kata Datuk Malik. Adakah ini angkaranya?

Selang beberapa minggu berlalu, Sayuti anaknya dipukul oleh sekumpulan anak muda yang tidak dikenali dan dikatakan ia sudah dirancang.

"Abi! Abi!" Rintihan Sayuti mengetuk pintu rumah.

"Ya Allah, anakku, kenapa begini?"

Tidak ada jawaban yang diberi. Semuanya menjadi tanda tanya. Siapa punya angkara? Mbah sekadar membuat laporan polis dan menyerahkannya bulat-bulat kepada pihak berwajib untuk menyiasat.

"Sabarlah mas, Allah menguji kita...pohon Allah memberi ketabahan, pasti ada hikmahnya." Ibu Khadijah mententeramkan Mbah, suaminya.

Selepas sembuh anaknya, Sayuti. Mbah semakin bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja dakwahnya kepada masyarakat. Dia yang dibantu oleh Sayuti, anaknya, tidak kenal erti mengalah dalam perjuangan.

"Ya Allah..." Jeritan Sayuti apabila motosikal yang dipandunya dilanggar dari belakang lalu menyasarkannya ke gaung bersebelahan jalan. Parah.

Tiba di hospital, Mbah dikhabarkan Sayuti tidak dapat diselamatkan. Pendarahan dalam kepala terlalu banyak. Mbah sebak yang teramat. Tiada kata yang dapat diucapkan. Peristiwa itu hampir meragut semangatnya untuk berdakwah. Satu-satunya cahaya matanya yang amat disayangi, kini hilang dari dakapan buat selama-lamanya. Dalam masa setahun, pelbagai ujian yang berat dialaminya. "Ada hikmah yang Allah ingin sampaikan." Pujuk hatinya.

Kata-kata Datuk Malik kembali menyeka fikiran.

Ibu Khadijah menerima berita kematian anaknya penuh dengan kehibaan. Dia termenung sendirian. Murung. Banyak menghabiskan masa membaca al Quran, buat penenang barangkali.

Lat dua mingu kemudian, ibu Khadijah pulang ke rahmatullah, menjejaki anaknya Sayuti. Mbah semakin gundah. Angkara apakah dosanya sehingga hampir kesemua kejadian berlaku dalam selang masa yang berturut-turut. Mbah berpinar-pinar.

Mujur Nu'man dan Lubna mengisi ruang resahnya. Abdullah, santrinya yang mengambil alih tugasannya di ladang banyak memberikannya kata-kata penenang. Mereka tempat Mbah meranduk kasih pasrah.

***
"Mbah tidak pernah mengungkit akan kata-kata bapamu kepada Mbah. Tidak sekali-kali." Mbah menyeka matanya. Ada air mata yang mengalir tanpa sedar.

"Mbah! Maaf Mbah, jika pertanyaan saya tadi mengimbau rasa resah Mbah. Saya rasa sangat-sangat bersalah dengan sangka buruk saya."

"Kamu tidak bersalah Wan. Kamu benar. Hendak mencari kesahihan cerita harus membanding antara keduanya. Jika tidak ia akan jadi penghukuman yang berat sebelah."

"Berkenaan kematian bapamu, Mbah sangat-sangat simpati atas pemergiannya. Dia sebenarnya manusia yang baik dan bersemangat, tetapi barangkali ditekan oleh pihak atasan, kerna itu dia bertindak demikian. Mustahil juga Mbah dikaitkan dengan kematiannya kerana kematiannya berikutan kondisi jantungnya bukan?"

Ridhwan mengangguk. Dia jelas. Namun dia terperangkap dek angkara dengki dan dendam lama yang terpahat di hati manusia. Siapa lagi jika bukan ibunya.

"Bagaimana ini Mbah, saya tersepit...bak kata pepatah 'hendak ditelan mati emak, diluah pula mati bapa'."

"Ridhwan! Jika apa yang kamu maksudkan itu berkenaan lamaran kamu ke atas Lubna, insyaAllah masih ada usaha-usaha yang boleh dibuat. Tetapi hati ibu kamu itu kita serahkan kepada Allah dengan panjatkan doa kepadaNya."

"Maksud Mbah?"

"Lubna ada menceritakan serba sedikit, apa-apa pun semuanya ketentuan Allah, kita hanya merancang. Doalah lebih lagi."

"Maksud Mbah, saya masih ada peluang untuk melamar Lubna, begitu?"

"Semuanya ketentuan Allah, jika Lubna jodoh kamu, tidak akan ke mana, insyaAllah." Mbah tersenyum memandang Ridhwan yang sedikit ceria.

Lubna di dapur, dapat menangkap serba sedikit akan perbualan mereka di ruang tamu. "Mbah terimakah lamaran Ridhwan?" Hatinya bergetar meneka jawaban.



Azhan Rashid
Amman, Jordan



 

"








1 comment: