Saturday, December 15, 2012

Ada Lara Dihatiku 3

Kerana Dia

“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an-Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Pak Ngah, adik kepada Datin Kamariah, ibu Ridhwan (Che Read) bertandang ke rumah untuk ziarah hujung minggu. Mereka menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga Che Read selepas menghabiskan masa cuti sekolah minggu sebelumnya di Cameron Highland. Berkebetulan Che Read juga pulang ke kampung pada minggu yang sama.

"Wan." Panggilan Pak Ngah kepada Che Read. "Kenapa rumah ni belum riuh rendah lagi...tak bersepah-sepah sana-sini lagi." Tanya Pak Ngah mengundang tanda tanya Che Read.

Matanya berkelip-kelip memandang Pak Ngah sambil dia melayan baby terkini Pak Ngah. Dia tidak membalas, tiada respon diberikan.


"Kau faham tak apa yang Pak Ngah cakap ni?" 

Seperti terkejut. "Cakap apa Pak Ngah, saya ralit melayan si budak kecil ni."

"Kau tak dengarkah atau pura-pura tak dengar?" Pak Ngah tersenyum sumbing.

"Eh...betul Pak Ngah saya tak dengar."

"Sudahlah tu Wan kau membujang, umur kau tu dah banyak dah, bila lagi kau nak membina masjid...mak kau tu dah lama nak bercucu...kau pula buat tak tahu saja."

"Masjid yang ada pun masih ramai yang tak pergi Pak Ngah..." Lirih Che Read.

"Apa Wan?"

"Eh, tak ada Pak Ngah, pasal bab ini saya masih pasrah pada takdir Pak Ngah."

"Pasrah pada takdir kau kata...astaghfirullah, kau ni dah hilang akalkah, orang leleki kena mencari, bukan duduk kat rumah tunggu pinangan datang tau..." Kata Pak Ngah sambil tergelak kecil.

"Maksud saya Pak Ngah, saya masih dalam fasa memilih."

"Haa...baguslah macam tu, siapa dia calon-calonnya, kalau boleh Pak Ngah tahu." Sengih Pak Ngah sambil mengurut-ngurut misai jarangnya.

" Kau dengarlah sangat cakap Ridhwan tu Ngah...mana ada calonnya, kalau ada pun aku tak berkenan." Ibu hadir dicelah-celah perbualan Che Read dan Pak Ngah. Pak Ngah seakan kaget.

"Ish! Mana satu yang betul ni..."

"Begini Ngah, si Ridhwan ni ada mencadangkan nama pada aku tempoh hari, tapi aku tak setuju...sampai ke mati aku tak setuju..."

"Ibu..." Che read menjerit di dalam hati.

"Eh! Kak, macam berat saja bunyinya, siapa dia kak."

"Cucunya Pak Lutfi tu yang dia minat, berombak-ombak dada aku dengar nama budak tu disebut si Ridhwan."

Che Read mendengar tanpa bantah. Dadanya bergelombang kecil.

"Oh! Cucunya si Pak Lutfi...dah besar ya budaknya...lawakah budaknya kak."

"Ish! Kau ni, jangan ditanya pada aku, tanyalah si bujang satu ni." Ibu meletakkan hidangan petang untuk adiknya dan Che Read. 

"Jemput minum Ngah, Ridwan! Minum sekali dangan Pak Ngah kau ni."

Che Read mengangguk sambil membelai-belai kepala si kecil Pak Ngah yang dipangkunya. Si kecil ketiduran.

"Wan! Jika cucunya si Pak Lutfi itu yang kau minat, Pak Ngah rasa sukar Wan."

"Kenapa Pak Ngah?" 

"Jika budak itu bukan cucunya Pak Lutfi, tidak ada masalah...no prob kata orang putih...sayang sekali kau Wan, ini ada kait-mait dengan cerita-cerita lama Wan."

"Eh...Pak Ngah ni, buat saya suspen sajalah...ceritakan-lah Pak Ngah."

Sambil menarik nafasnya dalam-dalam, Pak Ngah memulakan cerita. "Begini..."

***

"Dan! Apa kata kita buat projek baik punya." Anas mencadangkan sesuatu kepada Danial, seusai Asar di Masjid Tanjung Malim. Mereka singgah sebentar setelah pulang daripada kelas tambahan dari rumah cikgu Ibrahim untuk matapelajaran Metamatik Tambahan.

"Eh! Projek? Kau ni tak serik-serikkah...nak kena kes disiplin lagikah."

"Ini projek hasanah-lah, bukan mungkar..,kau ni, sangka baiklah sikit."

Danial tersenyum, dia mencapai helmet di motor. "Projek apa? Jangan projek mengarut dah lah."

"Apa kata kita bagi rapat itu Kak Farah dengan itu Abang Read-lah, amacam cantik tak?" Anas mendialogkan kata-kata cadangannya dengan lenggok ala-ala bahasa tamil.

"Wah! Cadangan menarik, tapi...bukankah Abang Read kata dia tidak ada hati dengan Kak Farah."

"Kau ni, jangan lurus bendul sangat, antara sebab dia cakap macam tu sebab Kak Farah tidak memenuhi ciri-ciri wanita muslimah yang didambanya...ada faham."

"Habis lepas tu, kau nak suruh Kak Farah berlakon pakai tudung labuh, pakai jubah semua bagai..."

"Lebih kurang macam tu, tapi kita bukan niatkan dia berlakon depan Abang Read, tapi dia berubah sebab kesan dakwah, amacam, ada berani?

"Biar betul kau ni, nak dakwah dia macamana."

"Ha, itulah...macam ni." Anas dan Danial berpakat untuk menjalankan operasi dakwah kepada Farah, rakan sekerja Che Read yang sebelum ini telah dimaklumi, Che Read tidak berminat untuk memenangi hati Farah.

***

Di Kolej Pertama, Universiti Malaya.  Lubna dan Amira sedang bersiap-siap untuk ke program ilmu di DTC (Dewan Tunku Canselor). Panel-panel yang dijemput untuk program kali ini menarik minat Lubna, ditambah dengan tajuk yang sangat dekat dengannya, kerana ia bakal memberi impak kepada keputusan masa hadapannya.

'Cita-cita dan Cinta'. Itulah tajuk yang bakal dikupas oleh para panelis.

"Lubna." 

Panggilan yang sangat sayup tetapi jelas bagi Lubna untuk mendengarnya. "Alamak! Farhan-lah Amira, dia menghala ke sini."

"Kau ada apa-apakah dekat dia." Amira menyoal. Lubna menggeleng.

"You pun ada dekat sini ya...kenalkan ini papa dan mama saya, mereka ke sini awal sikit sempena konvokesyen minggu depan, datang nun jauh dari Penang." Farhan, bekas Presiden Kolej Pertama memperkenalkan Lubna dengan keluarganya.

Salam diberi. "Apa khabar makcik, pakcik...selamat datang ke Universiti Malaya." Mesra Lubna menyambut tangan kedua-dua orang tua Farhan. Amira menarik lengan Lubna lembut, tanda suruh segera masuk ke dewan. 

Lubna faham.

"Maaf makcik, pakcik...kami ke dalam dulu ya, jumpa lagi nanti insyaAllah." Leraian senyuman diberi kepada kedua-duanya.

"Mama, itulah dia gadis yang Farhan  maksudkan...ok tak mama." 

Mamanya memandang ke arah papa Farhan.

"Sejuk mata kami memandangnya, jika ada jodohnya, kami tidak menghalang." Papa Farhan memberikan respon yang positif. Farhan menggilai gembira di dalam hati. Di benaknya berfikir bagaimana untuk langkah seterusnya.



Azhan Rashid
Amman, Jordan









No comments:

Post a Comment