Sunday, November 11, 2012

Sinis Muharram

Pada cuti hujung minggu ini seperti lazimnya Che Read mengambil peluang membersihkan persekitaran rumahnya sedari awal pagi sambil mencari peluh setelah sepanjang minggu kerjanya hanya berada di kantor yang berhawa dingin dan menghadap komputer semata. Terasa peredaran darah tidak berjalan lancar. Sejuk dan beku. Apatah lagi kebelakangan ini hujan membasahi bumi sepanjang hari.

"Hmm, lega dapat menghirup udara pagi, segarnya...alhamdulillah." getus hatinya sambil menghadap ke arah banjaran Titiwangsa yang masih diselimuti kabus tebal dek hujan sepanjang hari kebelakangan ini.

Tangan dan lengannya digerak-gerakkan. "Satu, dua....lapan." Warming up.

Sedang hendak menjatuhkan diri menolak bumi, kedengaran bunyi motor di laman depan rumahnya.

Anas dan Danial datang menyinggah. Motor di parkir di hadapan pagar.

Che Read sengaja membiarkan mereka memberi salam terlebih dahulu sementelah dia menghabiskan kiraan sepuluh menolak bumi.


"Assalamualaikum..." Anas memberi salam.

Che Read bangun lantas menjawab salam. "Bang, jom ke tasik, jogging?" Tanya Anas.

Danial duduk di tembok depan rumah menggodek-godek iPhonenya.

"Tasik Proton Citykah?"

"Yalah bang, mana lagi...mana lagi tempat yang best hendak berjogging." Anas seakan melawak.

Berbelah bahagi samada untuk menolak atau tidak.  "Hmm, boleh jugalah, jom."

Tasik Proton City

Belum ramai lagi yang mengunjungi kawasan tasik pagi hari minggu ini. Suasana yang masih berembun menyegarkan lagi suasan tasik.

Che Read melangkah laju meninggalkan Anas dan Danial mengelilingi kawasan tasik.

Habis sepuluh pusingan cukup, Che Read berhenti, berjalan perlahan di kawasan playground kanak-kanak yang kosong. Anas dan Danial masih termengah-mengah di belakang, lelah untuk menghabiskan pusingan yang ke berapa, tidak diketahui.


"Aduh bang, minta nafas bang, rasa macam hendak mati ini." Danial menggayakan diri seakan hendak terjatuh ke lantai playground kanak-kanak Tasik Proton City.

Anas juga lembik.

Che Read tersengih melihat gelagat dua anak usrahnya itu.

"Nah! minum sedikit air tawar ini, jangan duduk terus, jalan-jalan dahulu, barulah duduk...warming down."

"Hendak jalan apanya bang, hendak berdiri pun sudah tidak larat ini." Anas terlantar ke lantai playground meniarap. Penat sungguh lagaknya.

Danial pun begitu terlentang merenung langit.

Sekitar Muharram

Kelihatan dua tiga kelompok manusia sedang memulakan larian anak mengelilingi tasik. Cahaya matahari berdikit-dikit menyinari kawasan tasik yang tenang. Ada juga kelompok keluarga yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu berlibur dengan anak-anak mereka.

Ada juga kelompok yang seakan keluarga muda sedang asyik memerhati alam, meniti jambatan kecil sambil bergurau. Ada juga pasangan yang tidak dikenali statusnya, berdaftar ataupun tidak.

"Abang, Muharram tidak lama lagi, kita hendak sambut macamana ya bang?" Danial memulakan tanya.

"Eh! Engkau tidak tengok softboard dekat surau kitakah? Ada bacaan doa akhir tahun dengan awal tahun nanti." Anas menyampuk.

Che Read meneguk air mineralnya menghilangkan dahaga. Lega tekaknya.

"Kebanyakan surau kampung akan berbuat demikian, tapi bila abang rujuk beberapa ustaz dan melalui pembacaan, jelas ia tidak ada amalan khusus seperti kebiasaan yang dibuat, bahkan dikategorikan sebagai bid'ah." Che Read menjelaskan.

"Bid'ah?" Anas menggaru. "Bukankah sudah biasa dibuat orang bang?" Danial pula menyoal.

Che Read mengangguk, mengiyakan.

"Bid'ah itu secara mudahnya, mengada-adakan suatu dalam agama, asal tujuannya untuk melahirkan sifat kehambaan tetapi ia bertentangan dengan apa yang ada dalam al Quran, al Sunnah dan ijma' umat terdahulu... rasul tidak perintahkan pun untuk buat...macam itu lah lebih kurang."

Che Read meneguk lagi air mineralnya, menghabiskan saki baki air yang ada. Alhamdulillah.

"Abang bukan ahli dalam perkara ini, engkau orang boleh rujuk lagi pada mana-mana ustaz untuk penjelasan lanjutnyalah ya...abang setakat itu saja..."

Anas kebingungan. "Habis itu apa yang sunnah?"

"Buat bubur asyuralah." Kata Danial sambil tergelak. Che Read tersengih.

"Sunnahnya puasa pada 10 Muharram, tetapi dianjurkan lebih baik puasa sunat pada hari sebelumnya atau selepasnya atau ketiga-tiga harinya." Che Read menjawab selamba.

"Fuhh! puasa?" Reaksi Anas spontan.

"Sunat saja, tidak buat tidak menjadi hal." Che Read membalas.

"Itu yang terbaik, bagi mereka yang buat pasti ada tingkatan imannya, allahua'lam...yang penting buat pada perkara yang jelas ada asasnya, tidak hanya mengikut amalan yang lama." Che Read menjelas mudah.

Anas dan Danial memahami butiran Che Read.

"Berasaslah sedikit engkau  ini Anas, mengikut saja." Danial menyakat sambil menggosok-gosok kepala Anas, habis berselerak rambuat rapinya. Danial lalu berlari.

"Eh! Apa pula aku yang kena...hendak kena budak ini." Anas mengejar Danial, aksi seakan keanak-anakan.

Che Read menggeleng-geleng kepala melihat kerenah anak usrahnya.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

*menolak bumi - pumping




No comments:

Post a Comment