Friday, August 31, 2012

Cakna PRUXIII

"Fi!...aku tahu engkau pendokong kuat Parti Islam...tapi Fi takkan engkau sanggup menggadaikan agama dek kerana hanya kuasa?"

Pak Rajab yang bertandang ke Warong Leman menunjukkan risau akan perkembangan yang berlaku lewat penantian PRUXII.

Nu'man dan Mbah sengaja menghabiskan masa di Warong Leman pagi ini, selepas solat subuh. Biarkan Lubna menarik nafas sebentar setelah bertungkus lumus menyediakan jamuan hari raya semalam untuk sehari suntuk.

Ramai tetamu, sahabat handai dan saudara mara baik di sebelah Mbah mahupun Mbah Wedhok, berkunjung ke rumah Mbah menyambung silaturrahim yang lama pudar.

Sambil menunggu makanan dan minuman sampai di meja.

Datang Pak Rajab yang sengaja duduk di meja Nu'man dan Mbah.

Pak Rajab tahu mereka seteru.

Pak Rajab mungkin sekadar mahu menilai isu.

"Assaalamualaikum." Mbah menghulur tangan, Nu'man juga begitu, sambil bangun mempelawa duduk sebagai tanda hormat.

Pak Rajab duduk bertentangan Mbah.

Berkumat-kamit mulut Pak Rajab, menjawab salam mungkin.

"Lama ndak nampak kamu Jab...kamu sihat?" tanya Mbah.

"Emm..baik." jawab Pak Rajab tidak mesra.

"Eh Leman! roti canai sepuluh bungkus...nasi lemak...lima pedas...lima tak payah sambal."jerit Pak Rajab memberitahu pesanan.

Semua pelanggan tahu pesanan Pak Rajab.

"Taiko Pak Rajab ni." dalam hati Nu'man berbisik. Senyum.

"Nasi lemak sepuluh la ya Pak Rajab." tanya abang Leman sambil menebar roti.

"Ha la..." Pak Rajab menekan suaranya.

"Ok.." sahut abang Leman.

Semua mengetahui perangai Pak Rajab, bekas Tok Empat Kampung Tengah. Kini, meluru ke sana ke sini mencari tapak berpijak, mencari tali hayat.

Namun, ramai masih menganggapnya ketua.

Patuh Syariah

"Jab...tidak timbul masalah menggadai agama hanya kerana isu yang sudah diketahui umum." Mbah membalas.

"Si Roket tu terang-terang hentam hudud...engkau kata tak menggadaikan agama...kau ni betul-betul la kuda tunggangan." bentak Pak Rajab.

"Keris dia tu macam kucing kurap tak sedar...orang dah tak suka...sibuk ngending-ngending kat Bulan pula." monolog Nu'man lagi, geram melihat Pak Rajab.

Mbah tersenyum...menhirup perlahan teh tarik kurang manis sambil menunggu roti canai dan telur rebus separuh masak siap.

Rasanya meja berdekatan juga memasang telinga mendengar ala-ala perdebatan.

"Mereka menghentam kerana doktrin Keris kamu yang berkuasa sudah lebih daripada separuh abad...mereka tidak tahu dan mereka bercakap pada kanun sivil yang sedia ada...mereka tidak bersalah membantah...sebab mereka tidak tahu dan tidak diberitahu sebelum ini..malah dimomok-momokkan lagi oleh Keris kamu." Mbah masih tenang menerangkan.

"Kau nak buat macam mana Fi, si Singh tu tetap berkeras tau dengan cakap dia...langkah mayat dia dulu, dia cakap...lepas tu kau punya MP pun dah beri cadangan supaya puak Bulan kau tu keluar dari Ikatan sedia ada...hah! tak ke tu dah terang lagi bersuluh tu, Fi.."

"Jab...Ikatan ni masih belum matang lagi, masih dalam proses suaikenal...bukan mudah hendak hilangkan karat-karat yang tebal yang dah berkurun lamanya Jab...pasti perlu ada diskusi mungkin, yang boleh beri pencerahan...tidak mengapa semua itu..." Mbah masih bertahan.

"Ya pasal cadangan MP itu...ya...itu buah pikirannya...bukan keputusan bersama...ndak mengapa itu." Mbah dengan slanga Indonesia sedikit menghirup lagi tehnya.

Nu'man hanya mampu mendengar, masih belum berdaya mengeluarkan kata-kata kerana yang di depannya, pangkatnya lebih tua. Hujah Mbah sudah cukup baginya.

"Ya lah kau tu Fi...sedap kau je cakap...daripada kau dok nak suaikenal lagi tu, baik kau terima je cadangan Tun tu...apa...gabung dengan Keris ni ha...selesai cerita....tutup kes."

"Oh itu masuk jerat...bukan selesai masalah itu...bahkan lagi terburai mungkin." Mbah sinis.

"Suaikenal itu bukankah romantik Jab..." ayat Mbah menambah bara di hati Pak Rajab...nampak merah padam mukanya.

" Alaa...pandailah kau...Melayu dengan Melayu bergaduh tak sudah-sudah...akhirnya bangsa lain yang berkuasa...dengan hudud kau tu, kau tengok negeri Serambi Mekah tu, sampai sekarang tak maju-maju...termiskin.." suara Pak Rajab makin mengeras, seolah-olah mahu membiarkan semua pelanggan kedai mengikuti perdebatannya.

Banyak mata mengerling ke arah meja mereka.

"Kita mahu Melayu yang bersih dan perlu diingat bukan Keris sahaja yang mewakili Melayu, Bulan juga didominasi Melayu...yang beza hanya Melayu berdaulat dan Melayu keparat...dan kamu juga perlu berhati-hati berkata-kata tentang hudud...takut akidah kamu tercemar Rajab." kali ini Mbah agak keras.

"Jika miskin disebabkan banyak sekatan, itu tidak mengapa Rajab..." sambung Mbah.

"Ahhh! sudahlah...Leman dah siap ke belum." Pak Rajab berteriak.

"Siap Pak Rajab...ada kat kaunter ni." Leman menyahut.

Sambil itu sempat Mbah menyambung.

"Rajab...Bulan ni ada pemandu syariahnya...ada Majlis Ulama'...Keris kamu belum lagi...sekadar sekretariat tidak mencukupi...sekadar untuk melawan Bulan sahaja bukan untuk membetulkan, tidak ada makna...kalau bank-bank yang ada banyak yang sudah patuh syariah...Keris kamu juga perlu patuh syariah, baru berkat." Mbah menutup.

"Ahh...buang masa je....Leman, masuk buku...aku tak bawa duit ni..."

"Pula dah..." Leman tercengang.

Pak Rajab berlalu meninggalkan meja makan Mbah dan Nu'man.

Nu'man cuba menghulurkan salam tetapi tidak dipedulikan.

"Tidak apa Leman, saya bayarkan untuk Pak Rajab."

"Okay, Pak Lutfi."

Mbah dan Nu'man saling berpandangan sambil berbalas senyuman.




Azhan Rashid
Amman, Jordan



 











No comments:

Post a Comment