Thursday, June 21, 2012

Dakwah...Satu Tugasan Bukan Jawatan

Tangga masjid tua Kampung Tengah sedang disapu bersih.

Sosok tua yang masih cergas memegang penyapu lidi kelapa yang masih kehijauan, tenang menari-narikannya di setiap petak anak tangga masjid.

Bersih dan kemas.

Belum masuk waktu asar. Bahkan  masih berbaki 45 minit awal untuk berjemaah.

Namun sudah rutin Mbah yang suka menghabiskan sisa masanya untuk lebih awal ke masjid.

Dia bukan siak masjid, imam masjid pun bukan. Dia...hanya makmum yang setia berjemaah. Hanya mungkin faktor kesihatan barangkali boleh menggugat kelibatnya tidak kelihatan.

Sembang ba'da asar

"Assalamualaikum warahmatullah....Assalamualaikum warahmatullah."salam tahiyat akhir fardu asar.

Selang beberapa minit zikir dan doa dipanjatkan, jemaah bersurai keluar menyelesaikan amanah dunia masing-masing.

Seperti kebiasaan Mbah akan melabuhkan punggungnya di beranda pintu masuk masjid, menghabiskan zikir tambahan amalannya...zikir ma'thurat.

Siak, imam dan bilal...ajk utama masjid sudah pulang,

Mbah masih kelihatan di beranda masjid.

Datang Nu'man memberi salam.

"Assalamualaikum Mbah." ucap Nu'man.

"Walaikummussalam warahmatullah."jawab Mbah.

"Kabare Mbah, waras?" ayat lazim Nu'man menyantuni kejawaan Mbah.

"Waras, alhamdulillah." senyum Mbah, masih kekal bergigi.

Mbah kenal sosok tubuh Nu'man, anaknya allahyarham Ahmad Dali, bekas imam dan qari Kampung Tengah.

Walaupun Nu'man jarang berada di kampung dek bersekolah asrama semenjak darjah enam, namun dia  akrab dengan Mbah kerana allahyarham ayahnya sering membawanya berkunjung bersilaturahim ke rumah Mbah. Bahkan, sudah dianggap anak angkat.

Silaturahim mereka diteruskan walau tanpa ayahnya. Mbah ibarat guru rujuknya setelah ayah dan ibunya tiada.

Anak sulong daripada dua beradik ini setia mendengar kata-kata azimat Mbah, membangun diri. 

Masakan tidak, curahan ilmu Mbah yang bergraduasi daripada madrasah di sekitar Damsyiq dan pesantren di Jawa Timur ini ibarat penyubur jiwa baginya sehingga aturan hidupnya dan adiknya, Lubna direncanakan mengikut aturan Mbah.

Mbah meladeni kehidupan mereka, Nu'man dan Lubna seperti cucunya sendiri. Mereka adalah galang ganti satu-satunya anak tunggal Mbah, Sayuti yang sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya sewaktu pulang berceramah.

Mbah sudah pencen menjadi imam dek kerana keuzuran dan berasa pembawaan tuanya perlu diganti kerana meraikan jemaah belia muda yang menghampiri majoriti.

Mbah sekadar penasihat dan sesekali menjadi imam fardu yang sir, zohor dan asar. 

Nasihat yang berauthority. Sentiasa dihormati dan ditekuni.

Mbah cepat menyerap perubahan jemaah, kerana itu allahyarham ayah Nu'man diangkat menjadi imam, cadangan Mbah.

"Kamu bila lagi nak berdakwah di seluruh pelosok tanahair?" tanya Mbah seakan berseloroh.

"Hemmph, rasanya masih banyak yang rompong di dada saya ni Mbah, belum layak lagi lah Mbah...ramai lagi yang lain, yang berilmu." balas Nu'man merendah diri.

"Saya bukan dari bidang Usuluddin Mbah, sekadar bidang Syariah Ekonomi saja Mbah." tambahnya lagi.

"Kamu terlalu merendah Man, tidak selayaknya orang yang bergraduasi dari universiti seperti kamu tidak mampu memberikan sesuatu yang berfaedah kepada khalayak jemaah."sanggah Mbah.

"Layak bukan pada batas sijil semata-mata Man, layak juga diukur dari ilmu yang diamali, kamu sudah layak dari sudut praktisnya, ada ilmu sedikit, bagilah sedikit, ada banyak, berilah banyak. Jika tidak begitu, mungkin Islam di sampai ke nusantara ni Man." jelas Mbah mencabar Man.

"Kamu mahu tunggu mendapat professor baru kamu rasa layak untuk berdakwah kepada umat."tokok Mbah lagi.

Nu'man agak tersentak dengan kata-kata Mbah.

Termenung dengan makna di sebalik kata-kata Mbah.

"Apakah aku menanti tugasan, baru hendak berdakwah atau aku mahu berjawatan untuk berdakwah?" monolog Man.

"Tidak salah orang yang sekadar punya sijil menengah agama mahu menyampaikan agama, bahkan dituntut untuk menyebarkan risalah agama selagi tidak menyanggah syariat yang ditetapkan. Bahkan kamu lebih dari itu Man." seru Mbah.

"Cuma mungkin perlu bersesuaian dengan hadirin, latarbelakang ilmunya...tetapi jika ia sekadar memenuhi tuntutan  fardu ain penduduk kampung, sesuailah buat kamu."Mbah berhujah lagi.

Nu'man dapat menangkap apa yang Mbah ingin sampaikan.

Dakwah itu tuntutan.

Bukan menanti jawatan baru berkelapangan.

"Bahasa yang mudah, senang untuk memikat, bahasa professor, kadang-kadang orang kampung susah nak ingat." Mbah seakan berseloroh.

Tersenyum Mbah.

"Khuatir jika sudah berjawatan, marahkan si fulan itu, si fulan ini tidak berkelayakan, pada masa yang sama dia (profesor) sibuk tidak keruan untuk sampai-menyampaikan...untuk berdakwah" Mbah seakan menamatkan.

Mbah sinis.

Seakan ingin menyindir.

Mbah tidak salah, namun kata-kata Mbah sedikit menggugat pendirian Nu'man yang sering mengelak untuk menyampaikan.

Dakwah...satu tugasan bukan jawatan. 

Azhan Rashid
Amman,Jordan










No comments:

Post a Comment