Monday, March 18, 2013

Mendominasi Dan Me'mandom'inasi

Pada minggu-minggu terdahulu, kelompok Tabligh dari Indonesia ada menziarahi Masjid Abdul Rahman Bin Auf, Sweileh, Amman sekitar tiga hari lama tempohnya. Berbetulan dengan musim syita' yang masih berbaki, aksesori alami yang biasa dipakai adalah snow cap.

Mudah. Kepala dan telinga terlindung bersekali.

Saya termasuk dalam golongan ini. Persis gaya pemuda tempatan. Terkadang sukar dikenalpasti samada Malizi atau si peribumi...ini ungkapan teman-teman. Mereka (Jemaah Tabligh) juga sudah siap siaga dengan perubahan cuaca tempatan.
Peringatan

Dalam sela waktu antara maghrib dan isyak mereka memberikan sedikit bayan. Sosok penampilan warga Asia nusantara, amat menarik perhatian. Saya duduk dengar.

"Tuan-tuan, hakikat kehidupan ini adalah perjalanan untuk menghampiri kubur. Hari-hari kita berjalan, samada ke pasar, ke masjid, bersiar-siar ke mana-mana...hakikatnya adalah tidak lain dan tidak bukan adalah  menghampiri kubur iaitu kematian..."
 
Seorang muda berdiri dan disampingnya memberi terjemahan dalam Bahasa Arab. Besar rasa hati mendengarnya. Jujur, saya tidak mendengarkan terjemahannya, cukup mendengar kalimat-kalimat asli bahasa yang dekat dengan saya.

Puas.

Pada hari berbaki, waktu yang sama, tampil lagi orang yang berlainan memberi bayan.

"Tuan,tuan...seharusnya tuan-tuanlah yang berada di tempat saya (merujuk kepada Arab), berada di hadapan,kerana bahasa al Quran bahasa tuan-tuan. Tidak bagi kami, kami perlukan terjemahan untuk faham. Tuan-tuan tidak perlu. Maka tuan-tuanlah sepatutnya ke hadapan memberikan peringatan."

Tersentak hati mendengar. Tidak tahulah Arab yang berada berkeliling di hadapan dapat hadam dengan kata-kata itu.

Pada saya, itu kata-kata berkesan. Dalam hati, saya memuji usaha dakwah mereka. Keberanian dan semangat mereka didoakan mendapat ganjaran.

 Mendominasi Dan Memandominasi

Dalam kalangan jemaah masjid yang mendengar, ada riak suka dan ada juga riak bersahaja. Ada juga kalangan yang tidak peduli langsung dengan kedatangan mereka. Tidak pelik, itu sudah biasa.

Terdetik di hati. Kalangan yang tidak mempedulikan mereka (jemaah Tabligh) ini mungkin berasa sudah cukup segala. Lekehan mereka barangkali, "Siapa engkau, hendak ingat-ingatkan kami."


Mereka berbangga dengan keturunan mereka tetapi mereka secara halus telah dimandomkan dengan ketuanan kebangsaan.  Realitinya, tiada beza mereka dengan kita, tetapi akibat bangga dengan apa yang mereka ada, mereka sukar menerima hakikat, ada yang lebih bagus daripada mereka. Maka mandom adalah perkataan sesuai.

Mandom dek sistem yang digunapakai.

Dominasi kebanyakan pemimpin Arab yang seakan tidak mahu rakyatnya lebih pandai dan lebih terbuka dengan perubahan, maka jadilah mereka seperti yang ada...berasa maju, namun hakikatnya dungu, kerana dengan itu sahaja senjata ampuh untuk mengekalkan mereka berkuasa.

Hanya mereka yang pernah keluar samada menyambung pengajian atau bekerja di luar negara seperti di negara-negara barat akan dapat membezakan kemandoman rakyat tempatan yang berbangga bukan pada tempat.

Pemimpin mereka mendominasi rakyat dengan memandominasikan mereka.

Hanya waktu sahaja yang menjadi penentu.


Azhan Rashid
Amman, Jordan

*Secebis catatan perjalanan.











No comments:

Post a Comment