Sunday, October 21, 2012

Perjuangan Itu Pengorbanan

Berita seorang aktivis muda Pakistan menjadi hebahan hangat di kaca TV saluran CNN. Apa yang lebih menarik lagi ialah aktivis itu adalah seorang remaja perempuan yang hanya berumur 14 tahun.

Che Read kelihatan sugul, berkerut keningnya tanda gusar dan lelah mendengar kejadian-kejadian yang melibatkan nyawa manusia bagai nyawa tiada lagi nilainya di mata manusia.

Begitu mudah menembak atau mencederakan mana-mana nyawa sebagai tanda protes.




Matanya menatap kepada buku Sahih Bukhari yang kebetulan berada di tangannya... bacaan buat melayan lena tidurnya di malam itu.

Sambil bermonolog.

"Siapalah yang tergamak menembak ni." tanya hatinya.

Rasa tidak keruan melihat seorang gadis yang masih remaja ditembak di kepala daripada jarak dekat semata-mata memperjuangkan nasib wanita untuk menerima tahap pendidikan yang sama seperti lelaki.

"Taliban disyaki terlibat?"

"Ya Allah, kenapalah diorang ni, kata negara pakai kanun Islam?...salahkah budak ni?...Ya Allah..." Che Read mengeluh.

Dia menyelak Sahih Bukhari ditangannya tadi.

 عَنِ الرُّبَيِّعِ بِنْتِ مُعَوِّذٍ قَالَتْ كُنَّا نَغْزُو مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَسْقِي الْقَوْمَ وَنَخْدُمُهُمْ وَنَرُدُّ الْجَرْحَى وَالْقَتْلَى إِلَى الْمَدِينَةِ

Daripada Rubaiyi’ binti Mu‘awwidz, katanya: “Kami (kaum wanita) berperang bersama dengan Nabi s.a.w., kami memberi minum kepada tentera, berkhidmat untuk mereka dan membawa mereka yang cedera dan mati pulang ke Madinah.”  (Riwayat al-Bukhari 3/1056.)

Sambil menggunakan jari telunjuk, dia membaca matan dan terjemahan hadith.

"Hmmm... zaman Nabi Muhammad SAW pun wanita ada peranan dan ada hak, inikan zaman sekarang?" merungutnya.

Sudah semacam satu fitnah kepada umat Islam kerana perbuatan seperti ini.

"Mesti dia orang kata Islam extremist."

Korelasi

Che Read melayangkan fikirannya sejenak, merenung makna perjuangan dan pengorbanan. Ada semacam satu korelasi relatif antara perjuangan dan pengorbanan.

Nabi Muhammad berjuang menegakkan syariat Islam  dan ramai tentera-tentera yang syahid dalam perjuangan.

Berjuang dan terkorban kerana Allah.

Nabi Ibrahim mendapat wahyu melalui mimpi untuk mengorbankan anaknya Ismail.

Kerana Allah diturut perintah, berjuang mempertahankan amanah walau ada halangan dari kaumnya, namun perintah tetap perintah. Perintah yang Maha Pencipta.

Berjuang dan berkorban kerana Allah.

Ada iktibar dari peristiwa.

Peristiwa ini juga menguatkan lagi korelasi antara perjuangan dan pengorbanan.

"Gadis yang bernama Malala ini pun berjuang untuk pendidikan wanita Pakistan...tapi ditembak, dia adalah korban demi perjuangan pendidikan wanita di Pakistan...hebat budak ini." reaksi hati Che Read.

Beberapa detik kemudian handphonenya berdering.

Hakikat Korban

"Nu'man." tutur hati Che Read.

Che Read segera mengangkat penggilan.

"Assalamualaikum."

"Wa'alaikummussalam." Nu'man membalas.

"Apa khabar...sihat?" soal Nu'man.

"Baik, alhamdulillah." balas Che Read.

Che Read membuang jauh-jauh firasatnya tentang panggilan dari abang Lubna, Nu'man. Dia mengharap ini  bukan panggilan tentang perkara pinangan. Dia juga berharap penggilan ini bukan jawapan kepada lamaran.

Che Read mengharap.

"Rid...nak bertanya sikit, anta nak buat korban tak kat kampung nanti....ada tinggal satu bahagian saja, satu bahagian RM350."

"Alhamdulillah...bukan." bisik Che Read lega kerana sangkaannya meleset.

"Ooo...hampir lupa pula, mmm...ana sebenarnya dah buat secara online tapi tak apa boleh juga, bagi no. akaun nanti ana bank in."

"Alhamdulillah, selesai semuanya...anta buat kat mana? tahun ini insyaallah masjid lima ekor lembu tumbang."

"Ana tak pasti buat kat mana, yang pasti dekat negara-negara miskin, macam Bangladesh, Kemboja gitu." jawab Che Read.

"Ok lah, jazakallahu khair...jumpa nanti kat kampung ya."

"Insyaallah."

Teringat Che Read pesan Mbah.

***
"Tanda aras kepada korban yang diterima itu adalah ikhlas...namun ikhlas itu payah untuk disukat, tidak boleh dinilai di mata kasar, lantas jadikan peristiwa Habil dan Qabil sebagai buktinya, orang yang ikhlas seperti Habil diterima korbannya, tidak bagi Qabil, kerna apa? Ikhlas tiada dihati Qabil...itu yang merosakkannya."

"Justeru ikhlaskanlah hati kita." pendek seru Mbah.

"Macamana orang yang menunjuk-nunjuk dengan korban Mbah?" tanya Che Read.

"Sukar...kerna ini soal hati...ya jika nampak sangat dengan korban itu dia mendapat publisiti atau ada helah untuk menilai kerja baiknya dengan banyaknya kuantiti kurbannya dan berbangga dengannya...maka itu berbalik kepada soal hati...bukan menuduh tapi ada ciri-ciri tidak ikhlas...wallahu ta'ala 'alam."
***

Che Read memadamkan menungnya.

Tercetus dihatinya membaitkan kata-kata...

"Berkorbanlah kerna cinta kepadaNya bukan dengan harta semata-mata yang bakal memalitkan jiwa ke lembah neraka..."

Na'udzubillah.






Azhan Rashid
Amman, Jordan




1 comment: