Monday, December 24, 2012

Aku Sunni, Engkau Syiah

Tiada kata yang terucap jika ia membabitkan perasaan antara si Adam dan Hawa.Bak kata pepatah 'Gunung yang tinggi akan ku daki, lautan api sanggupku renangi'. Begitu jua dengan pantun yang berbunyi ' Tanam pinang rapat-rapat, Agar puyuh tidak bisa berlari, Ku pinang-pinang tak dapat-dapat, Ku pujuk-pujuk ku bawa lari'. Hebat penangan CINTA.

Ebrahim dan Hala adalah dua kenalan yang pernah belajar di Universiti yang sama di Amerika Syarikat. Perkenalan berputik apabila Hala mencari-cari rakan kumpulan dalam pembentangan assignmentnya. Sebagai freshie yang baru menjejaki alam kampus, tentunya banyak perkara yang perlu dilalui.


Sebagai seorang muslim, tentunya Hala seboleh-bolehnya mencari orang yang sekepercayaan dengannya. Bukan kerana anti-sosial tetapi itu adalah ketetapan. Jika tiada gandingan, barulah boleh difikirkan rakan yang lain. Kebetulan kali ini, lecturernya menghendaki tugasan dijalankan dua orang sekumpulan. Rasionalnya, biar banyak bahan perbincangan. Hala tercari-cari siapa yang hendak dijadikan rakan. Semua disekelilingnya baru.

Tercetus dihatinya untuk menyemak senarai nama di luar bilik lecturernya. Ternyata ada seorang muslim yang mungkin boleh dijadikan gandingan.

Timbul persoalan, dia lelaki.

Hala memutuskan untuk tidak mengambil endah akan perkara ikhtilat. Sebagai seorang yang kuat dengan pegangan agamanya, dia berasa cukup waras dengan dunia sekitarnya. Baginya, bi'ah juga menjadi faktor pertimbangan.

***
"Macam mana awak boleh jadikan saya gandingan awak?, kan banyak lagi perempuan yang boleh jadi partner awak." Ebrahim menyoal dalam pada perbincangan untuk assignment bermula di dataran luar perpustakaan.

"Awak Muslim."

"Owh...itu saja."

"Ya...kenapa? Awak nak tarik diri ke."

"Tidak-tidak, sekadar peka...maaf, boleh saya bertanya lagi?"

"Apa dia."

"Awak tidak kisah dengan pandangan orang dengan hijab awak."

"Tak...kenapa? Ada suara-suara yang tidak berkenan ke."

"Setakat ni, takde saya dengar...tapi kiranya awak kuatlah."

"Saya tidak kuat, cuma Allah bagi ketabahan...ada juga yang bertanya, tapi saya jawab fashion."

"Oh, sebab itu nampak macam ada stylo sikit."

Mereka berdua tertawa dan dari hari ke sehari hubungan mereka berdua semakin akrab.

Hala juga lebih selesa untuk berkongsi pendapat dan pandangannya dengan Ebrahim. Mereka berdua mendapat inspirasi untuk terus cemerlang dalam pelajaran mengalahkan rakan-rakannya yang non-muslim. Menjadi satu kebanggaan kerana muslim yang minoriti bisa menjadi teladan kepada yang lain, majoritinya adalah non-muslim.

***

Kini tibalah saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua graduan. Hari KONVOKESYEN.

Segala jerit perih telah diladeni dengan jayanya. Bermula sebagai freshie yang terasing, kini di padang yang luas, yang menjadi tontonan sebahagian besar warga dan keluarga graduan, Hala dan Ebrahim bakal dinobatkan sebagai graduan terbaik fakulti untuk sessi  2010/11. Bangganya tidak keruan.

"Tahniah Ebrahim kerana hasil tunjuk ajar dan perkongsian daripada awak saya berada di sini sekarang." Hala menunjukkan pakaian konvokesyennya yang sedikit berlainan daripada graduan yang lain.

"Awak pun begitu juga, terima kasih banyak-banyak, tidak sangka kita boleh ke tahap ini." Gembira tidak terkira dikongsi bersama dengan keluarga Ebrahim yang berada disisinya.

"Apa khabar Hala, makcik dan pakcik gembira dengan kecemerlangan kalian...tahniah."

"Oh! Hala...lupa pula nak perkenalkan, ini emak dan ayah saya."

"Apa Khabar makcik, pakcik...terima kasih yang tidak terhingga juga kepada anak makcik, pakcik kerana sudi berkongsi dengan saya ilmu di dada."

"Ini semua rezeki dari Allah." Ayah Ebrahim menjawab.

"Di mana ibubapa kamu...teringin kami hendak berjumpa." Emak Ebrahim gembira.

"Entahlah, mereka ada, saya pun tengah tunggu mereka...janji hendak bertemu di tepi parkir kereta sini...masih tidak ketemu lagi."

"Tak apalah, jemput ke rumah, boleh kita berkenalan lebih rapat." Pelawa emak Ebrahim.

"InsyaAllah, jika ada keizinan." Hala melemparkan senyuman dan lambaian tanda perpisahan.

***

Berkat kecemerlangan, mereka ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dengan tajaan universiti. Mereka melonjak gembira apabila megetahui masing-masng menerima tawaran biasiswa dan tidak menyangka selepas terputus hubungan selama hampir tiga bulan, mereka dipertemukan semula.

Di sini mula berputik bibit-bibit cinta.

"Hala." Ebrahim agak tersekat-sekat untuk memulakan bicara.

Suasana di kafetaria fakulti amat kondusif untuk menyatakan rasa hatinya.

"Ya."

"Hajat dihati saya..." Tersekat.

Hala menunggu kata-kata Ebrahim.

"Saya hendak jadikan awak suri dihati ini." Sambil menunjukkan jarinya ke arah dadanya.

Hala tertawa dengan telatah Ebrahim.

"Maksud awak?"

"Ya, jika tiada halangan, ingin saya melamar awak menjadi isteri saya yang sah."

Hala terdiam, tidak terkata dengan gerangan hajat Ebrahim kepadanya. Dia kelihatan ikhlas dengan lamarannya. Hala menguatkan hatinya yang berdebar.

"Saya...secara jujurnya saya tidak mempunyai halangan dengan hajat awak, tetapi saya tidak boleh ketepikan ibubapa saya...beri saya tempoh untuk berbincang dengan kedua mereka, dan tempoh untuk saya beristikharah...boleh?"

"Saya setuju...mungkin berapa lama agaknya perlu diambil." Ebrahim mengetap bibir bawahnya, berasa diri seakan mendesak.

"Mungkin dalam tempoh seminggu."

"Ok..." Mengangguk tidak membantah.

***

"Assalamualaikum warahmatullah...' Usai salam solat Maghrib berjemaah diberikan, mereka sekeluarga berjabat tangan antara satu sama lain.

Ada sedikit keganjilan tampil pada Ebrahim, tidak seperti biasa. Dia seakan tidak biasa dengan solat berjemaah.

Di meja hidangan, makan malam disediakan untuk santapan bersama. Mereka tinggal bertiga sahaja di rumah, manakala adik bongsu Hala melanjutkan pelajaran di Australia.

Setiap pergerakan Ebrahim diperhatikan satu persatu. Bapa Hala agak strict, apatah lagi berkenaan pemilihan jodoh satu-satunya anak perempuannya yang sulung.

Namun, majlis taaruf berjalan lancar.

"Terima kasih pakcik, makcik...saya sungguh berbesar hati dengan undangan ini."

"Pakcik juga begitu, terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah kami."

Salam diberikan tanda ukhuwwah yang terjalin.

Di ruang tamu rumah, bapa Hala memanggilnya untuk berbincang.

"Hala...ayah tidak tahu hendak memulakan...begini, cuba kamu tanya apa pegangan mazhabnya."

"Kenapa ayah?"

"Kamu tanyalah dia dulu, setelah jelas semuanya baru kita boleh teruskan perbincangan tentang kamu."

"Hmm, baiklah ayah." Hala menganggukkan sahaja permintaan ayahnya.

***

Di kafetaria fakulti, seperti biasa Hala dan Ebrahim  menikmati makanan tengahari bersama.

"Ebrahim, ayah saya bertanyakan tentang pegangan mazhab awak...maaflah kalau soalan ini tidak menyenangkan."

Ebrahim juga agak keberatan untuk menjawab segera. Kepalanya seperti berpinar-pinar untuk penjelasan. Tetapi akhirnya dia mengakui dirinya Syiah.

Hala pula agak terkejut dengan jawapan Ebrahim. Fikirnya Ebrahim berlainan pegangan mazhab dalam Sunni, tetapi ia tersasar jauh. Rupanya Ebrahim seorang Syiah. Hatinya bergelora, tidak tahu hendak dikata. Orang yang sedang meniti kasih dihatinya adalah seorang Syiah. Hatinya gundah.

"Ebrahim, mungkin inilah perkara yang difikir oleh ayah saya, ternyata ini amat berat bagi saya dan keluarga."

"Tapi Hala, kenapa dengan Syiah? Bukankah kita sama?"

"Ayah saya amat keras tetang perkara ini...Ebrahim bagaimana ni?" Hala seperti meminta simpati kepada yang tidak mampu memberi.

"Ebrahim, ikhlas saya katakan...hal ini bagai 'diluah mati emak, ditelan mati bapa'."

"Apa yang harus dilakukan Hala."

Mereka bingung dengan situasi ini, ternyata ia menghimpit perasaan dan jiwaraga mereka.

***

"Tidak Hala, tidak boleh kamu meneruskan hubungan ini, kamu harus putuskan."

Ibu Hala mengurut-urut belakang Hala, agar bersabar. Hala tidak keruan dengan gesaan ayahnya. Tiada kata yang bisa terucap, kerana dia sendiri mengetahui penangan bisa mengingkari kata kedua ibubapa pada jalan yang hak dan mengahwini seorang yang Syiah.

" Ya Allah, kepadaMu aku pohon petunjuk."

Matanya menakung airmata hiba tidak terkira, hatinya perlukan masa untuk direda...


Azhan Rashid
Amman, Jordan

*Kisah ini diinspirasi dari laman sesawang suhaibwebb.com.







No comments:

Post a Comment