Tuesday, November 6, 2012

Diari Budak Nakal


Gambar Hiasan
Allahuakbar...Allahuakbar

Azan subuh sedang berkumandang. Rumah Anas berdekatan dengan surau, kira-kira lima tiang lampu TNB sahaja sampailah ke rumah Anas.

Suara azan subuh ini suara bilal Basar, warga vateran yang menginfaqkan tenaganya bagi mengisi ruang AJK surau yang ketandusan warga muda. Mana tidaknya, warga muda sedang asyik dibuai budaya leka. Ibu bapd mungkin boleh dipersalahkan kerana pentingkan ilmu dunia semata-mata berbanding ilmu akhirat, tidak menyeimbangkan kedua-duanya. Maka tiadalah pewaris yang hendak diwariskan.

Boleh juga disalahkan kepada warga tua kerana tidak memberi peluang kepada orang muda tampil ke hadapan menunjuk ilmu di dada, paling tidak pun menunjukkan caranya bagaimana.

Lalu tinggallah surau dengan bertunjangkan organisasi yang dimamah usia menunggu panggilan Illahi.


Anas menerkup bantal ke mukanya apabila mendengar azan subuh. Tidurnya tidaklah terlalu lewat tetapi akibat aktif dan ligat di siang hari, sehingga hendak menolak selimut yang tidak sampai seribu gram itu pun tidak larat.

"Aduh! aku baru sahaja hendak terlena, sudah bunyi azan...kalau sedap ok lah juga, ini tidak, suara serak berkahak pun hendak azan juga..." Rungut Anas dalam hati.

Anas anak bongsu dari tiga adik beradik, manakala yang sulung dan yang kedua sedang dan masih meneruskan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.

Dia anak kepada pesara kerajaan dan guru al Quran di kampung. Siapa yang tidak mengenali Pak Nawi dan Mak Muna, pasangan yang aktif dengan aktiviti kemasyarakatan di Kampung Wangi.

Seusai azan berkumandang. Bunyi ketukan pintu di biliknya.

"Anas...Anas, bangun, sudah subuh...cepat bangun, ayah pesan suruh ke surau." Ibu Anas menggerakkan.

Anas acuh tidak acuh, seperti tidak mendengar, sayup-sayup sahaja suara ibunya menyapa telinga.

"Ah! Mengantuklah." Hatinya membentak.

Sedar tidak sedar terasa dirinya lemas tidak bernafas seperti terjatuh ke dalam sungai  di bawah jambatan kampung. Anas menjerit. "Haaaaaaaaah." Tangan Anas tergapai-gapai ke atas, melolong meminta diselamatkan tetapi tidak terkeluar suara. Dia tercungap-cungap, mencari nafas untuk tidak terus lemas. Menggelitik badannya mencari talian hayat.

Tiba-tiba tangannya seakan ditarik. "Haahhhhhh!" Mencungap-cungap Anas menarik nafas ibarat kepenatan selepas larian seratus meter pecut.

"Ha! Itulah lain kali bila ibu suruh bangun...bangun jangan buat-buat tidak dengar."

Rupa-rupanya ibu Anas yang menyimbah air ke mukanya. Dek sebaldi air yang disiram, tilam dan cadarnya habis lencun..

"Ibu! kenapa buat macam ini...orang rasa macam hendak mati tahu tadi...kalau mati macam mana?" Anas seakan-akan hendak menangis diperkena ibunya sebegitu.

"Ibu sanggup hilang anak ibu waktu ibu hendak menegakkan kalimah Allah...rasakan, tidak serik-serik...sudah berapa kali diberi amaran, tidak mengikut...itulah padahnya." Ibu mengetap gigi melepaskan geram.

Anas melirih. "Wah! Mantap ayat."

"Orang belum baligh lagilah, tidak ada kewajipan sembahyang lagi..." Anas sedih dan mula menangis sambil memberi alasan.

"Belum baligh lagi kamu kata, umur sudah belasan tahun, sudah balighlah itu?"

"Mana ada apa-apa tanda baligh lagi, suara pun belum pecah lagilah..." Anas mengesat air mata yang semakin bercucuran dek sedih dengan perbuatan ibu yang julung-julung kalinya.

Geli ibu Anas mendengar jawapan.

Tawa dalam marah.

"Ada saja kamu hendak menjawab, sudah cepat sebelum waktu subuh habis...surau pun sedang berzikir, kamu masih seronok dengan tidur...pergi cepat ambil wuduk." Ibunya membentak.

Ada sahaja ayat balasan yang diberikan oleh Anas.

Kata orang tua-tua, anak ketiga memang agak unik, ditambah pula anak bongsu, maka itulah perwatakannya mungkin.

Ibu Anas tidak mengendahkan sangat  kata-kata berkenaan namun ia seakan-akan ada kebenaran.

Anas bangun dan berjalan laju menuju ke bilik air dalam kebasahan.

"Ya Allah... budak ini, kamu pakai kain pelekat semata-mata waktu tidur, kenapa?" Tanya ibunya.

"Malas...panas." Selamba Anas menjawab.

"Nanti ibu ikat kain kamu waktu tidur...tidur kamu itu lasak, kalau tersingkap bagaimana?" Gesa ibu sambil memegang baldi menelusuri jalan ke dapur.

"Bukan pelik pun..." Menyeringai muka Anas sambil berlari-lari anak mengelak daripada diapa-apakan ibunya.

Ibunya menggeleng-gelengkan kepala melihat keletah Anas.

***


Pagi Sabtu, Anas, Ajak dan Rudi merancang untuk mandi di hadapan sungai rumah Makcik Joyah. Plan yang mengujakan, tengahari itu juga mereka terjun mandi di sungai yang semakin tohor akibat projek pembangunan di hulu kampung.

Sungainya tidaklah terlalu bersih tetapi tidak pula boleh dikategorikan sebagai kotor dan jijik, di tahap sederhana sahaja.

Mereka tidak mengambil endah larangan agar menjauhi kawasan sungai itu. Pedulikan.

"Ajak! engkau mandi tidak pakai apa-apa?" Anas tanya.

"Apa kisah, nanti balik rumah seluar basah lencun, cari nahas." Jawab Ajak, Rudi pun mengiyakan.

"Ya juga...aku follow!" Bunyi percikan yang kaut kedangaran. Hari itu air agak berkelodak sedikit seakan air teh beng.

Mereka tidak tahu berenang tetapi lagaknya seakan gaya perenang sukan Olympic.

Seronok mereka bermain air sungai sehingga jari-jemari menjadi kecut dek terlalu lama berendam di dalam air.

Menyelam...tahan nafas dalam air, mengira siapa bertahan paling lama...membuat aksi somasok terjun ke dalam air...bermain pukul-pukul air, itulah aktiviti mandi sungai mereka. Seronok.

"Apa kata kita naik ke atas sekejap,ambil koko dekat kebun cina seberang sana, aku nampak sudah masak buahnya...sudah menguning...selepas itu terjun baliklah ke sungai, macamana?" Pelawa Rudi.

" Itu mencuri, berdosalah, aku tidak mahu makan benda haram...ibu aku kata nanti bebal, tidak pandai." Anas menjawab sambil menyelam ke dalam air.

"Apa yang haram, tidak salah kalau itu milik orang cina, sebab dia kafir." Ajak menyokong Rudi.

"Siapa yang kata?" Anas tanya.

"Abang aku." Ajak pantas membalas.

"Abang engkau ustazkah? Seingat aku abang engkau selalu ponteng sekolah, melepak kedai Makcik Jenab, itukah?" Anas selamba sambil menyelam lagi.

Ajak membisu.

"Mahu tidak?" Rudi meminta jawapan Anas, yang pasti Ajak sudah bersetuju. Belum pun sempat memberi respon, kedengaran suara memanggil seseorang.

"Anas!...Anas!"

"Anas! Kakak engkau datanglah...itu dia." Rudi mengejutkan Anas yang sedang keasyikan bermain selam-menyelam bersama Ajak.

" Sudah!, si penyibuk ini sudah datang...bila pula dia pulang ke kampung...cutikah? Dari mana dia tahu aku berada di sini." Anas mengeluh.

Ajak dan Rudi menyembunyikan muka dengan menyelam,terasa malu kerana kain baju mereka masih di daratan.

"Anas! Cepat balik, ibu sedang membebel tentang engkau, tengahari buta engkau mandi sungai?...lekas naik" Kakak Anas mengherdik.

Anas sangat meluat dengan kakak sulungnya ini, sering mendapat pujian ibu. Sememangnya dia sering menolong ibu di dapur, mengemas rumah dan sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Tetapi, Anas rimas kerana sering diperhatikan atas setiap tingkah lakunya oleh kakaknya.


"Tunjuk bagus...geram. " Anas mencebik.

"Kakak! Mana kakak tahu Anas ada dekat sini? Menyibuk, Tidak boleh tengok orang senang."

"Makcik Joyah mengadu dekat kakak tadi semasa pulang daripada kedai...naik cepat, kalau tidak kakak ambil semua baju dan seluar ini."  Kakak Anas mengugut.

"Ok! ok!, kami naik...Anas mari naik, malu nanti." Rudi memujuk Anas.

Anas mencebik. Anas sangat berang dengan ugutan kakaknya.

"Pandanglah belakang, kami hendak pakai seluar...hendak tengok jugakah?" Anas membentak.

Kakak Anas mencebik. 

Sambil memakai seluar masing-masing, Anas menakungkan air sungai ke dalam telapak tangannya lalu menyimbah ke arah kakaknya yang berdiri berdekatan dengannya. "Jom! lariiiiiiiiiiiii." Anas menjerit.

"Anaaas?"

Kedengaran ketawa mereka bertiga  terkekek-kekek melihat keadaan kakak Anas yang basah dek simbahan air sungai tadi. Berketetel mereka berlari.

***


Pak Ngah Anas datang bertandang ke rumah. Keluarga Pak Ngah memang selalu datang berkunjung waktu cuti hujung minggu. Adik kepada ayah Anas yang paling rapat dengan keluarganya.

Kebiasaannya mereka akan menumpang tidur buat semalam dua. Lazimnya begitu.

Pak Ngah punya satu-satunya anak perempuan...Sarah namanya. Tua setahun daripada Anas, tetapi disebabkan Anas adalah anak kepada abang Pak Ngah, maka pangkat Anas adalah abang.

" Lupakanlah tentang panggilan abang itu, meremang bulu roma." Monolog Anas.

"Anas, mari sini...ini Sarah" Ayah Anas memperkenalkan. "Pak Ngah kata selepas UPSR nanti dia ingin ke sekolah agama di Segamat. Kamu selepas UPSR nanti hendak ke mana pula agak-agaknya." Ayah membuat Anas tidak tentu arah.

Ayah Anas faham yang Anas memang tidak bersungguh di sekolah. Dia sengaja hendak memperli Anas di hadapan Sarah. "Aduh! pressure-pressure." monolog Anas.

"Bagus benarkah sekolah di Segamat, sekolah agama pula...bikin tension saja...hendak pandai bercakap Arablah itu...ana, ente...duduk-duduklah makan ini temfe la..." Anas kegelian sendiri, melawak dengan lahjah Arab.

Anas kesel sungguh tentang bab hendak berpindah sekolah, "Bukankah sudah bagus sekolah di kampung, lagi pun ada Ajak dengan Rudi, teman aku berkubang." Memang tidak pernah terlintas oleh Anas.

"Lagi pun macam bagus saja hendak duduk  berjauhan dengan keluarga...apa cara, baik duduk rumah, tidak payah basuh baju, streka baju...semuanya sudah siap tersedia." Anas mencebik.

"Anas! Tidak mengapa, bukankah Anas baru darjah lima, tahun hadapan bolehlah fikir ke mana arah haluannya." Pak Ngah lembut menasihat.

Pak Ngah memang baik orangnya, orang yang banyak terlibat dengan NGO Islam. Mungkin kerana itu dia lebih cenderung untuk menghantar dan treat anak dia,Sarah untuk ke sekolah agama.

Pak Ngah graduate dari Pennsylvania University, Amerika. Tapi perwatakannya memang jauh sekali dengan orang-orang kebiasaan yang baru balik daripada luar negara. "Sempoi saja Pak Ngah aku..." Anas sembang sendiri.

"Abang aku entah macam mana nanti...macam Pak Ngah atau tidak."Anas terfikir fasal abangnya yang duduk nun jauh di UK.

Sedang Anas melayani saluran AXN: CSI, datang Sarah mendekati. Ruang untuk tetamu rumahnya terpisah dengan ruangan libur, dibina demikian agar tidak mengganggu orang tua-tua berbual.

Kakaknya Nisa berada di dapur menemani ibu melayani Mak Ngah di dapur.

"Sarah!...Ingatkan di ruang tamu tadi." Anas bernada control.

Anas tidak rapat dengan Sarah kerana khuatir tidak dapat bersopan-santun ketika bercakap. Lazimnya dia gemar bersembang kasar terutama kepada kakaknya, Nisa. Padanya Sarah, "Feminine sangat..." Sebab itu dia cuba mengelak.

Sarah duduk di sofa single. Bertudung, berbaju kurung labuh yang loose serta berstokin kaki, membuatkan Anas bertambah segan untuk berbual. Terasa jantungnya berdegup kuat.

"Alamak! Tidak dapatlah aku hendak buat gaya bebas." Monolog Anas.

"Tidak kisah saya duduk di sini," Tanya Sarah.

"Tidak mengapa, duduklah, saya pun sedang menonton sahaja." Tersengeh control.

"Apa yang aku hendak bualkan," Menggaru kepala yang tidak gatal.

"Apa target untuk UPSR tahun ini." Tanya Anas spontan. "Aduh! Ayat control ini."

Terasa ayat yang dibina terlalu skema. "Selamba-selamba."

" Insyaallah straight A, doa-doakan saya ya!" Sarah tersenyum.

" Insyaallah saya akan berikan contoh soalan-soalan tahun lepas beserta buku-buku latihan yang saya sudah gunakan kepada Anas...mahu?"

" Sangat hebat..." monolognya lagi

"Boleh-boleh." Tergagap-gagap Anas bila menjawab.

" Tidakguna lagikah nanti..."

"Saya anak tunggallah, lupa?." Mengerling Sarah kepada Anas.

" First time dikerling perempuan, selalunya ditengking...macam itu rupanya orang perempuan...species lain ini, bukan macam kakak aku" Riak hatinya lagi.

" Oh! Anak pertama...anak tunggal, silap" Tiba-tiba tidak dapat membezakan antara anak pertama dengan anak tunggal.

"Bodohnya rasa." Anas menggaru.

"Anas! Saya hendak beri sedikit nasihat bolehkah?"

"Apa pula ini." Getus Anas dalam hati.

"Ya, boleh-boleh." controlnya  lagi.

" Bulan Muharram, sudah hampir tiba saya selalu perbahrui azam saya pada bulan Hijri, bukan bulan Masihi...saya amalkan puasa pada sembilan dan sepuluh haribulan Muharram dan berdoa agar saya dan keluarga sentiasa dirahmati serta minta ampun sebanyak-banyaknya, kerana kita selalu melakukan kesilapan...berdoa agar diterangkan hati, dimurahkan rezeki dan minta dimakbulkan doa-doa saya, lebih-lebih lagi untuk UPSR ini...begitulah, Anas cubalah buat seperti itu....insyaallah Allah akan perkenankan." Tersenyum Sarah dengan tazkirah selambanya di hadapan Anas.

"Free-free saja aku di sini dengar ceramah, dia ini macam tahu-tahu saja yang aku tak pernah buat macam itu, atau ayah suruh dia datang dekat aku bagi ceramah, konon-konon aku boleh berubahlah...setakat ini, Bukankah aku tidak pernah keluar dari top five dalam kelas...ingat aku ini siapa, nampak saja tidak bersungguh tapi otak brilliantlah." Anas mengomel dalam hati.

"Kadan-kadang walau kita ini pandai, tapi terlupa hendak bersyukur dengan Allah, lebih-lebih lagi hendak mengikut selalu perintahnya...yang wajib selalu ditinggal-tinggalkan apatah lagi yang sunat." Sambung tazkirah Sarah.

"Dia macam sudah tahu saja yang aku malas hendak bangun sembahyang...ibu cerita dekat diakah, atau dia  pandai-pandai buat ayat penyata saja...panas-panas." Ngomelannya lagi dalam hati.

Anas mengangguk-angguk tanda bersetuju.

"Betul, kita ini sama-sama mudah terlupa bukan? Terima kasihlah peringatkan saya." Anas seperti hendak mematikan tazkirah Sarah.

"Saya bukan hendak peringatkan awak, ini untuk saya, selalu sangat terlupa nikmat yang Allah beri kepada kita, banyak sangat bukan? Sampai kita terlupa, kadang-kadang kita ini  Allah berikan kepandaian tetapi tidak pernah bersyukur, menyangka kepandaian kita itu hasil daripada usaha kita sendiri, tapi sebenarnya Allah yang beri nikmat itu...benar?"

"Dia ini seperti mengetahui apa yang aku cakap dalam hati..." Anas pelik.

Sedang hangat memberi peringatan kepada Anas, muncul kakak Anas, Nisa menjemput mereka ke dapur untuk makan malam.

Pagi Ahad

"Terima kasih Pak Long, Mak Long, Kak Nisa, Anas...lain kali kami bertandang lagi insyaallah." Ucapan Sarah penuh santun.

"Huh! Lega rasa, kalau tidak banyak lagilh yang hendak diceramah kepada aku,mentang-mentanglah sekolah agama, dengan aku-aku sekali hendnak disekolah agamakan." Anas bicara dalam hati, tersenyum control mengawal muka, konon-kononnya sopan di hadapan tetamu.

Mereka melambai-lambai tangan kepada keluarga Pak Ngah. Nisa melihat Anas seperti termenung jauh ke arah kereta Pak Ngah yang semakin jauh menghilang.

"Engkau berangan ya...atau engkau suka kepada Sarah." Usik Nisa.

Anas agak tersentak.

"Apa pula suka dekat dia, dia tua dari Anaslah...usik-usik orang, entah-entah dia yang sudah berangan hendak kahwin agaknya."

"Budak ini...rasakan" Nisa mencubit lengan Anas.

"Aduh! Sakitlah.."

"Sudah-sudah...Anas, tengok Sarah, sopan orangnya, sederhana, menjaga agama...sudah panjang fikirnya...kamu kena jadi macam dia, contohi yang baik...ini tidak, hendak diberi amaran barulah hendak bergerak." Ibu meramas-ramas kepala Anas memberi ingatan.

"Nerd sangat hendak jadi macam Sarah, hidup tidak ada entertaiment, tidak mahu." Dalam hati Anas berbisik.

"Kahwinkan saja dia dengan Sarah ibu, insaf lah dia nanti." Sindir Nisa sambil terkekeh-kekeh mengetawakan Anas.

"Kurang asam betul kakak aku, hendak distokin busukkan mulut dia ini, baru dia tahu nanti seminggu tidak bercakap...stokin bola aku sudah sebulan tidak dibasuh" Geram Anas dalam hati.

"Anas, nanti ikut ayah ke surau ya, gotong-royong bersihkan kawasan sekitar surau sempena  menyambut bulan Muharram minggu hadapan." Ajak ayah.

"Aduh! Rosak program aku hendak pergi ikut memancing di tapak lombong hadapan rumah Ajak." Anas berlalu ke arah biliknya tanpa sebarang jawapan.

"Oh! Anas, tadi Sarah ada tinggalkan majalah ini, dia kata untuk kamu, ambil" Ibu menyerahkan majalah Gen-Q pemberian Sarah kepada Anas.

"Apa bendanya majalah ni, majalah Islamik? Tidak pernah-pernah aku baca majalah ini...ada tulisan pula dikulit majalah ini...'Gunakanlah kepandaian kita untuk Islam'...Ikhlas Sarah'..tidak pernah aku rasa sesyahdu ini...bagus betullah dia..." bermonolog.

"Terima kasihlah, tidak tahulah aku hendak baca bila, hendak suruh aku jadi ustaz agaknya dia ini...simpan sajalah dekat meja study aku ini." Fikir Anas.




Azhan Rashid
Amman, Jordan











 
























No comments:

Post a Comment