Thursday, February 14, 2013

Cinta Kopiah Dan Tudung Labuh

Puan Kamariah, ibu Ridhwan menyiapkan hidangan makan malam di dapur. Malam ini dia lapang. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, lewat tengah malam baru sampai ke rumah. Itulah gaya seorang wanita berjawatan. Apatah lagi jawatannya adalah jawatan yang berkepentingan kepartian.

Ridhwan ada meluahkan kebimbangan kepada ibunya. Tetapi ibunya tidak mengambil endah.

"Ibu! Ibu itu perempuan. Tinggal pula keseorangan di rumah yang besar begini. Wan bimbanglah ibu."

"Usah kamu risau, ibu ada pembantu setiap kali ibu keluar. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan."

"Zaman sekarang ini ibu, semuanya ada kemungkinan. Cukuplah arwah ayah sahaja yang terlibat dengan politik."

Ibunya buat dengar tidak dengar. Acuh tidak acuh.


Wednesday, February 6, 2013

Indahnya Allah Memberi Pandu

Iseng-iseng menekan papan kekunci komputer riba, pesanan dari buku bertajuk 'Teknik Surah Yusof'' / TSY , nukilan Puan Ainon Mohd. berlegar di kepala. Setiap bait perkataan yang ditulis, dinilai kembali agar dapat memberikan impak yang positif kepada yang sudi membaca.

Walau ia berfokus kepada penulis yang bercita-cita menghasilkan buku berlatar novel, ia menarik untuk ditatap sebagai penduan.

Saya amat berterima kasih di  atas saranan saudara Zahiruddin Zabidi. Penulis yang prolifik. Atas jasabaik informasi beliau, walau tidak berbengkel, pembacaan ini cukup berisi.

Buku ini secara amnya memberi panduan dan cara bagaimana penulisan yang baik berdasarkan nukilan indah dari surah Yusof.



Monday, January 28, 2013

Ditelan Mati Ibu, Diluah Mati Bapa

Asar itu agak mendung. Awan-awan gelap memayungi sekitar. Belum ada rintik-rintik air dirasa. Jemaah di masjid pula hanya dipenuhi tidak sampai sesaf penuh. Mbah mengambil tanggungjawab menutup rapat semua tingkap dan pintu masjid agar tidak kebasahan jika hujan turun sambil dibantu oleh seorang anak muda. Kelibatnya seperti dikenali.

"Mbah!" Sapaan lembut dari pemuda itu.

Mbah cuba mengecam.

"Subhanallah, Ridhwan. Kamu pulang ke kampung. Mbah hampir tidak mengenali kamu. Mengapa dibotak rambutnya." Tersenyum sambil tangannya dicium oleh Ridhwan.

Ridwan tidak menjawab.


Monday, January 21, 2013

Melihat Dan Menilai Watak-Watak Di Hadapanku

Pernah suatu ketika, berkursus di Kem Bina Insan, Institut Teknologi Mara (Kini UITM) di selatan tanahair. Seperti biasa pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan LDK. Kursus ini baru pertama kali diperkenalkan. Kami diberitahu, ia adalah arahan terkini dari pengetua yang baru dilantik. Ramailah yang mengeluh kerana cuti panjang mereka diganggu. Kursus ini adalah wajib.

Saya, pada ketika itu masih dikategorikan sebagai junior. Baru part two (semester dua), masih dalam tahun pertama. Tidak banyak bantahan daripada kami, si junior. Si seniorlah yang kedengaran bengkengnya. Tetapi, mahu tidak mahu ia adalah kursus WAJIB. Noktah.


Monday, January 14, 2013

Sukarnya Menjadi Seorang 'Aku'

Seronok mendengar pengalaman rakan-rakan sekelas. Mereka tidak lokek berkongsi malah bersemangat untuk bercerita tentang pengalaman masing-masing. Aku?

Aku sebenarnya berdoa agar guruku dihadapan tidak perasan yang aku tidak mengangkat tangan untuk perkongsian. Biarlah mereka sahaja yang bercerita. Usah pedulikan aku di ceruk ini.


Monday, January 7, 2013

Nawaitu

Dalam kelas Bahasa Arab Tinggi, Ustaz Saleh sedang menyampaikan pengajarannya di hadapan pelajar-pelajar tingkatan lima Nuruddin al Zanki. Seperti biasa kebanyakan mereka kurang mengambil endah. Sindrom ini bukan setakat tingkatan mereka sahaja, malah kesemua tingkatan lima yang ada sudah tuli dan beku dengan subjek bahasa ini. Entah di mana silapnya, tidak ramai yang peduli, hanya kerana subjek  ini sudah menjadi wajib ambil kepada warga Sekolah Menengah Islam ini, jika tidak, mungkin ia telah dibakul sampahkan sahaja.

Banyak usaha telah dilakukan untuk menarik minat pelajar, namun dari tahun ke tahun subjek ini mengundang kepada tohmahan ibubapa kerana ia penyebab keputusan SPM anak-anak mereka cacat.


Sunday, December 30, 2012

Mengapa Saya Menulis



Buya HAMKA

Keinginan menjadi seorang penulis membuak-membuak dalam diri tanpa saya sedar bilakah ia bermula. Saya mula cenderung meminati novel kerana satu peristiwa yang terjadi secara tidak sengaja.

Jujurnya saya amat skeptik dan jelek kepada novel dan pembaca novel pada awalnya.  Saya  pernah  menulis  sebuah  artikel  di  blog  mengenai  perkara  tersebut. Saya menganggap membaca novel adalah ibarat menghisap candu kerana mereka yang membaca novel seakan mengizin dan menginginkan suatu harapan palsu dan harapan tersebut tiada dalam alam nyata.