Sunday, October 14, 2012

Ada Lara Dihatiku...

"Apa?...Kau jangan cari pasal Ridhwan...kau jangan sesekali cari pasal...jangan..." Ibu menggerak-gerakkan jari telunjuknya ke arah Che Read tanda protes atas hajat anak tunggalnya itu.

"Macam tak ada orang lain..." dengus ibunya lagi.

"Tapi bu, Rid rasa dialah orang yang paling layak jadi teman hidup Rid."

"Amboi! Meremang bulu roma ibu dengar kau cakap macam tu...hih."

"Kau dah termakan pentolnya Pak Lutfi la tu...ibu dah kata kau jangan dekat sangat dengan Pak Lutfi tu, inilah padahnya..."

"Perempuan kat tempat kerja kau sikit punya banyak,cucu dia juga yang kau terhegeh-hegeh."

"Ramai lagi perempuan yang cantik, kenapa dia yang kau berkenan...ibu tidak ada halangan malah ibu akan batalkan semua appointment ibu untuk merisik dan meminang...tapi dengan cucunya Pak Lutfi, tidak sekali-kali Ridhwan."

Ibu sangat berkeras dengan hajat Che Read untuk merisik cucu Mbah atau Pak Lutfi...Lubna.

"Kenapa ya?" getus Che Read dihati.

Karakter ibu yang lembut dan tidak pernah sesekali meninggi suara kepadanya sama sekali berubah.

Berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Sepanjang hayatnya, inilah pengalaman pertama dia dimarahi ibu.

Che Read tergumam.

Menilai kembali ayat yang dipertuturkan kepada ibunya.

"Adakah bahasa aku kurang sopan?"

"Adakah aku tidak beradab mengajukan hajat?"

Bak CD yang berputar tetapi tidak dapat diidentified.

"Aduh! payah nih." monolog Che Read.

Kelihatan ibu sedang bersiap-siap untuk keluar. Diambil tas tangannya di meja ruang tamu sambil  kunci Mercedes Kompressor dicapai.

Ibu bergegas keluar menarik daun pintu, pintu utama.

"Ibu ada meeting di balai raya kampung sebelah...mungkin balik lambat sikit...makanan ada di dalam tudung saji dapur, kalau kurang panas masukkan ke dalam microwave..."

"Kau fikirlah semasak-masaknya...Ibu pergi dulu...kalau ada apa-apa, call Ibu."

Suara ibu kembali mengendur, namun masih wujud ketegasan.

Setelah pemergian ayah, ibu semakin lincah dengan kerjaya politiknya, meneruskan karier ayah sebagai politikus dan sisa usianya banyak dihabiskan dengan ha-hal kepartian dan masyarakat.

"Ok bu." Che Read membalas lemah.

Suasana suram mewarnai ruang tamu rumahnya.

Che Read memandang sekeliling raung tamu rumahnya. Gaya hidup yang up to date.

Kombinasi Samsung Smart TV dan Home Theatre System tidak memberinya jalan tenteram malah menambah muram.

gambar hiasan


Che Read merebahkan dirinya di atas sofa ruang libur rumahnya mencari damai.

Volume TV dimute. Melengankan tangan di kepala.

Mencari fikir.

"Atau peristiwa aku mengikut usrah Mbah sangat menyakitkan hati ibu?...takkan macam tu sekali." bermonolog lagi.

"Bang?, Kak Farah macam ada hati kat abang je." kata-kata Anas berlegar-legar dibenak fikirnya.

Petang itu sungguh suram.

Di Kafetaria Perdanasiswa Universiti Malaya

Lubna dan abangnya, Nu'man bertemu janji untuk makan tengahari.

Suasana kafetaria sibuk dengan ramainya orang bermundar-mandir mengambil juadah makan tengahari.

Lubna dan Nu'man terceruk di bucu kanan kafetaria berdekatan dengan sinki basuh tangan.

Lebih privacy.

"Bang! Una ada terima PM dari Che Read..mmm, Abang Ridhwan."

Nu'man kelihatan selamba sambil menghirup air teh bengnya.

"Abang? Dengar tak?"

"Dengar...dia cakap apa?"

"Dia luahkan isi hati dia untuk melamar Una."

Nu'man seperti sudah meneka.

"Una ada bincang dengan Mbah ke pasal hal ini?"

"Belum lagi, abanglah orang pertama ni, abangkan wali Una...baru semalam Una perasan mesej dia dan ini first time dia mesej Una personally."

"Oh! Sebelum ni tak pernah berbalas-balas mesej...Oklah tu."

"Una memang tak ada masa nak bermain-main perasaan...paling kuat Una perasan ada orang secret admire kat Una, tapi tidaklah sampai meluahkan isi hati seperti ini...so ini first time Una terima mesej seperti ini dan Una pula seperti terbeban dengannya."

"Ini fitrah Una, tak siapa yang boleh halang...secara peribadi abang tidak ada masalah dengan Ridhwan, dia sahabat abang dan dia pun dah banyak berubah, tak seperti awal-awal remaja dulu...banyak sangat perubahan dia."

"Memang sebelum ini dia ada sebut-sebut nama Una dan bertanyakan Una...abang sekadar menjawab apa yang ditanya sahaja, tak lebih daripada itu."

"Cuma...pertamanya abang nak tanya dulu perancangan Una."

Lubna tekun mendengar tutur kata abangnya.

Alur matanya yang bulat mengerdip-ngerdip memerhatikan riak wajah abangnya memberi pandangan.


Lubna terdiam sejenak, berfikir.

Lalu dia menyatakan matlamatnya.

"Una ada hajat untuk sambung master terus, samada dapat SLAB atau tidak Una tak kisah, Mbah pun bersetuju sangat dan macam biasalah Mbah sanggup sponsor, macam abang."

Nu'man agak tersentak mendengar cita-cita adik kesayangannya ditambah lagi dengan pengorbanan yang dicurahkan oleh Mbah.

Senyap yang agak lama.

Nu'man menyambung.

"Mbah dah banyak bantu kita Una, kita adalah segala-gala baginya, tiada nilai yang lebih manis baginya melainkan hendak melihat kita berjaya Una."

"Una tahu bang."

Lubna dan Nu'man seakan mengimbau kembali nostalgia mereka menjadi yatim piatu setelah ibu dan ayah mereka terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa...lalu Mbah menghulur tangan membantu.

Lubna tunduk, ada genangan air mata yang ditahan...pantas tisu dicapai, air mata segera dirembeskan.

Nu'man masih dapat mengawal.

"Cuma kalau boleh, Una nak ke luar negara." sedikit sengau dan bergetar-getar suaranya dek kehibaan.

"Hah! luar negara, kat mana?"

"Timur tengah mungkin..."

"Una...di dalam je dulu, sudah berumahtangga baru keluar."

"Itu yang Una nak bincang..." Lubna menjawab yakin.

Nu'man masak dengan perangai Lubna, tiada siapa yang boleh menghalang hajatnya kecuali takdir Allah.

Sedari kecil sudah ditanam akan perkataan usaha dan takdir.

Mbah selalu memperingatkan.

"Tapi abang rasa tidak mungkin semudah itu...jangan salah faham maksud abang, Ridhwan memang lelaki yang soleh dan boleh dipertanggungjawabkan, tapi abang rasa ada satu halangan yang kuat yang perlu dia lalui...ibunya."

"Kenapa dengan ibunya bang?"

Nu'man menghabiskan sisa makanan berbaki di pinggannya lalu ke sinki belakang untuk mencuci tangan.

Lubna menghulurkan tisu kepada abangnya.

"Terima kasih." adab Melayu yang tidak pernah lekang di mulutnya walau ucapnya kepada seorang adik.

Nu'man membetulkan duduknya sambil mengesat-ngesat satu persatu jari jemarinya agar betul-betul bersih sambil mencari fikir bagi soalan Lubna.

"Mbah pernah bercerita kepada abang tentang hal Ridhwan...dia bersyukur sangat kerana baginya Allah sudah memakbulkan doanya."

"Pasal Ridhwan berubah tu?" tanya Lubna.

"Ya betul, tapi sebelum itu ada kejadian yang membuatkan hati Mbah terguris parah...dan Ridhwan adalah rentetan peristiwa itu."

"Apa dia bang."

Nu'man menarik nafas tenang lalu menceritakan.

"Ibu Ridhwan pernah menggunakan kuasa politiknya untuk melenyapkan kewujudan pondok Mbah, Pondok al Ghufran dan melucutkan jawatannya sebagai imam dan penceramah bertauliah."

"Siapa ibu dia bang...maksud Una apa pangkatnya."

"Orang politik Una...dia salah seorang ahli majlis daerah dan juga punya kabel yang kuat dengan majlis agama negeri...semuanya berlaku serentak gara-gara pengaruh Mbah mengimarahkan masjid dan anak-anak tempatan."

"Dan pernah Mbah berkata yang ibu Ridhwan mentohmah dirinya sebagai pencetus huru-hara kampung, pendakyah dan kalau boleh mahu Mbah keluar dari Kampung Tengah."

"Mbah tu kan gelarannya Kiyai Lutfi ya bang...Una tahu daripada Abdullah, penjaga ladang Mbah."

"Betul...dia tarafnya kiyai, tapi selepas pondoknya dimusnahkan, hanya orang-orang tertentu sahaja yang menggunakan gelaran tu."

Nu'man menyambung lagi.

"Kang Sayuti juga pernah dipukul oleh sekumpulan budak-budak motor kampung sewaktu pulang daripada ceramah...berdarah-darah kepala dan muka Kang Sayuti cerita Mbah..."

"Ya Allah...teruknya." Lubna menekuni dengan penuh perasaan.

"Last sekali kemuncaknya kata Mbah, ayahnya Ridhwan pernah menumbuk muka Mbah atas dasar menyebarkan berita-berita fitnah terhadap partinya langsung tersembul kata-kata...aku haramkan kaki aku dan anak cucu aku daripada menjejak ke tanah puaka ini sambil menuding jari ke arah tanah rumah Mbah."

"Astaghfirullah al adzim." berkerut muka Lubna mendengar cerita abangnya, Nu'man.

"Semenjak dari peristiwa tu, Mbah kata dia tidak akan membalas semua kejahatan mereka tapi mendoakan moga-moga anak-anak atau cucu-cicit mereka akan menerima hidayahNya dan kembali mentaati Allah SWT...nyata termakbul doa Mbah...Ridhwan berubah."

Lubna terkesima dengan cerita yang didengarinya.

"Tapi apa-apapun biarlah kita pasrah dengan  takdirNya."

"Ya bang..." Lubna seakan terkedu.

Di Sepertiga Malam

"Ya Allah, jika Engkau menghendaki aku bersatu dengannya maka permudahkanlah, aku redha dengan kehendakMu Ya Allah."

...

" Ampunilah segala dosa-dosa kedua ibubapaku Ya Allah, jauhkan kami dari azab nerakaMu...Ya Ghaffar Ya Qahhar Ya Rabbal 'Alamin."

Merintih, memohon petunjuk Illahi.

Che Read bermuhasabah, mengenang akan kekurangan dan kelemahan diri.

Tiada siapa yang dapat menghalang dari takdirnya.

"Ya Allah, aku pohon maghfirahMu Ya Allah."

Di Pagi Yang Indah Tapi Hatinya Gundah

Che Read mengemas-ngemas keretanya untuk bersiap pulang ke Tanjung Malim setelah menghabiskan cuti hujung minggu.

Hatinya masih dirundung wirang dek peristiwa semalam.

Dia menekan punat radio kereta, Sinar fm.

Lagu M.Nasir sedang berkumandang.

Jiwanya melayan.


Ibunya muncul membawa teh panas ke anjung rumah.

"Ibu tak ke mana-mana ke pagi ni?"

"Pukul sebelas nanti ada meeting...engkau macamana Ridhwan, dah kau fikir masak-masak?" tanya ibunya lembut.

Diperlahankan volume radio keretanya. Che Read seperti tidak mahu mengingat kembali peristiwa semalam.

Dia tidak menjawab.

"Ibu bersedia meminang sesiapa dan pada bila-bila masa sahaja untuk anak ibu tapi bukan dia...ibu harap engkau mengerti Ridhwan."

Ibu menegaskan kembali.

"Sudah, ibu nak buat sikit homework untuk meeting kejap lagi, ibu ke dalam dulu ya."

"Baik bu."

Che Read tidak membantah, di dalam hatinya hanya pasrah kepadaNya.

Namun, ada lara dihatinya...

Kembali memutarkuatkan radio keretanya.

Menukar ke siaran IKIM.fm.

Lagu Hijab Kekasih sedang ke udara.

Seperti memahami.

"Allahu Akbar." melepaskan keluhnya sedalam-dalamnya.



Azhan Rashid
Amman, Jordan

pentol - guna-guna















1 comment:

  1. يا أخي، وصّل القصة بسرعة.. (8

    ReplyDelete