Thursday, October 30, 2014

Sedetik Aku MengingatiNya...

Sejak akhir-akhir ini aku banyak berfikir tentang perjalanan hidup. Bukan dulu aku mengabaikannya, tidak, tapi mungkin faktor kematangan, ia mengheret aku merenungkannya, bukan sekadar berfikir bahkan lebih dari itu.

Percaya atau tidak, hanya kini aku merasa nikmat kalimah La yukallifullahu nafsan illa wus'aha (al Baqarah:286), "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Ia menyelinap ke segenap alir darahku hingga aku benar-benar sedar, "Oh! Inilah jalan yang telah ditentukan."

Jika dicerita, ia seakan 'complicated', ada yang tekun mendengar, tidak kurang juga dengan yang ambil endah tak endah. Inilah situasi-situasi yang aku depani. Oleh sebab keacapan perkara itu berlaku, aku akan sentiasa meringkaskannya, cukup sekadar mereka tahu yang aku mengendung tanggungjawab dua orang anak yang besarku di sini, Malaysia, dan isteriku memikul tiga orang yang tengah hingga ke si kecil di bumi Syam, Jordan. Kenapa? Urusan belajar. Jika dicerita berlebihan, mereka akan hilang tumpuan kerana panjang berjela untuk disampaikan.


Saturday, June 22, 2013

Sekeras-keras Batu...

"Melihat air sungai mengalir di celah-celah batu, segar mata."

"Batu-batu sungai sebagai tanda indahnya ukiran makhluk Tuhan semesta alam."

"Batunya bukan batu yang biasa seperti batu kerikil. Tajam menyakiti orang. Bentuknya indah, elok rupanya." Perlahan nada Mbah menukil kata-kata kepada anak usrahnya.


Friday, June 14, 2013

Pergolakan Turki: Sisipan Pandangan

Foto yang menjadi kemarahan ramai
Hampir setiap malam semenjak seminggu lepas, saluran CNN hangat memaparkan suasana gawat di Turki khususnya di Taksim Square. Ramai yang ditemuramah. Dari yang berkepentingan hinggalah mereka yang  baru pertama kali terlibat dengan demonstrasi.

"Ini pengalaman pertama saya berlawan dengan polis, saya tidak pernah melaluinya sebelum ini, sangat mengerikan." Ujar salah seorang demonstrator kepada wartawan CNN.

Kadang-kadang diulang-ulang siarannya sehingga muak menonton. Jemu.


Saturday, April 20, 2013

Al Kisah Emak dan Anak

Azman seorang anak yang hidup berjauhan dengan keluarganya. Anak tunggal dan yatim semenjak usianya 10 tahun. Berkat usaha perit jerih ibunya yang sanggup berjuang demi amanat suami yang tercinta, Azman berjaya disekolahkan dan dididik hingga ke menara gading. Dia berasa sungguh bertuah. Agama tidak pernah dikesampingkan. Lahirnya Azman menjadi anak yang soleh dan bertanggungjawab kepada ibu yang membesarkannya.

Ibunya tinggal berseorangan di Kampung Hujung. Menghabiskan sisa usianya dengan mengajar anak-anak kampung mengaji dan kelas fardu ain. Inilah bekalan ilmu yang digunakan hasil daripada sistem pengajian negeri yang tidak hanya memberati ilmu duniawi bahkan ukhrawi. Tiada bosan walau hidup berseorangan.

Namun ibunya Azman seorang yang sangat klasik dengan dunia politik, bersemangat kebangsaan.

Azman...walau hidup di tengah kotaraya metropolitan yang hiruk pikuk, tidak pernah melupakan untuk bertanya khabar kepada ibunya yang tercinta. Setiap minggu pasti berdering telefon, tidak pagi...pasti petang, kadang-kadang malam.


Monday, March 18, 2013

Mendominasi Dan Me'mandom'inasi

Pada minggu-minggu terdahulu, kelompok Tabligh dari Indonesia ada menziarahi Masjid Abdul Rahman Bin Auf, Sweileh, Amman sekitar tiga hari lama tempohnya. Berbetulan dengan musim syita' yang masih berbaki, aksesori alami yang biasa dipakai adalah snow cap.

Mudah. Kepala dan telinga terlindung bersekali.

Saya termasuk dalam golongan ini. Persis gaya pemuda tempatan. Terkadang sukar dikenalpasti samada Malizi atau si peribumi...ini ungkapan teman-teman. Mereka (Jemaah Tabligh) juga sudah siap siaga dengan perubahan cuaca tempatan.


Thursday, February 14, 2013

Cinta Kopiah Dan Tudung Labuh

Puan Kamariah, ibu Ridhwan menyiapkan hidangan makan malam di dapur. Malam ini dia lapang. Tidak seperti hari-hari sebelum ini, lewat tengah malam baru sampai ke rumah. Itulah gaya seorang wanita berjawatan. Apatah lagi jawatannya adalah jawatan yang berkepentingan kepartian.

Ridhwan ada meluahkan kebimbangan kepada ibunya. Tetapi ibunya tidak mengambil endah.

"Ibu! Ibu itu perempuan. Tinggal pula keseorangan di rumah yang besar begini. Wan bimbanglah ibu."

"Usah kamu risau, ibu ada pembantu setiap kali ibu keluar. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan."

"Zaman sekarang ini ibu, semuanya ada kemungkinan. Cukuplah arwah ayah sahaja yang terlibat dengan politik."

Ibunya buat dengar tidak dengar. Acuh tidak acuh.


Wednesday, February 6, 2013

Indahnya Allah Memberi Pandu

Iseng-iseng menekan papan kekunci komputer riba, pesanan dari buku bertajuk 'Teknik Surah Yusof'' / TSY , nukilan Puan Ainon Mohd. berlegar di kepala. Setiap bait perkataan yang ditulis, dinilai kembali agar dapat memberikan impak yang positif kepada yang sudi membaca.

Walau ia berfokus kepada penulis yang bercita-cita menghasilkan buku berlatar novel, ia menarik untuk ditatap sebagai penduan.

Saya amat berterima kasih di  atas saranan saudara Zahiruddin Zabidi. Penulis yang prolifik. Atas jasabaik informasi beliau, walau tidak berbengkel, pembacaan ini cukup berisi.

Buku ini secara amnya memberi panduan dan cara bagaimana penulisan yang baik berdasarkan nukilan indah dari surah Yusof.